Saturday, January 26, 2008

Ya Allah, Tabahkan lah hati ku ini . . .

Minggu ini, terasa amat cepat berlalu, Alhamdulillah dapat aku tempuhi dengan nafas yang tercunggap2.

Seperti yang dirancang, minggu ini aku "kena" latih budak utk menghadapi Kejohanan Badminton MSSD Muar yang akan berlangsung pada 29 - 31 Jan. 2008. Bermakna Jam 3.00 pm aku dah terpacak kat gelanggang Badminton Stadium.

Malang menimpa anak aku, dia pengsan kat sekolah SAB1 hari selasa. Jam 9.00 - 10.35 am. Aku amat kesal apabila pihak sekolah lewat memaklumkan pada aku, kul 10.30 am baru tahu. Pada hal jarak sekolah aku dengan anak tak sampai pun 1 km. Nak kata tiada no. tel aku. Tak mungkin sebab kat guru kelas aku dah beri. Beberapa guru yang ngajar anak aku pun dah tahu no. aku. Lagipun kat beg, buku tulis, dompet dah ku labelkan nombor phone aku. Seperti biasa le ibu bapa dipersalahkan, konon nya tak bersarapan pagi. Berkat ilmu DakLan, aku mendengar je kemarahan/luahan hati GB. Lepas dia berceloteh aku pun start mematah hujah2 GB. Kan aku dah bersedia dengan spy2 kat sekolah tu. Lagipun kan anak aku "glamour" kat SAB1. Terima kasih DakLan. Sekurang2 dpt le belajar sesuatu yang bermakna kat IPPM tu. Melopong mulut GB tu dibuatnya.

Petang selasa, ketika aku berlatih badminton, anak aku mengadu sakit di dada. Aku bawa ke klinik swasta tapi dia syor ke hospital. Aku terus le bawa ke hospital. Anak aku terpaksa di tahan di wad.

bersambung . . . hari sabtu (sekarang) bapa mertua aku lak masuk wad. so sekrg aku kena jaga. Almaklum le wife aku anak sulung & perempuan tunggal.
Ya Allah, Tabahkan lah hatiku ini . . .

Sunday, January 20, 2008

KALENDAR PEPERIKSAAN PTK-SSM 2008 KEMENTERIAN PELAJARAN MALAYSIA


Saturday, January 19, 2008

Selamat Berhari Asyura

10 Muharam - Dinamakan juga hari 'Asyura'. Pada hari itu banyak terjadi peristiwa penting yang mencerminkan kegemilangan bagi perjuangan yang gigih dan tabah bagi menegakkan keadilan dan kebenaran.

Peristiwa penting berlaku pada 10 Muharam:

Nabi Adam bertaubat kepada Allah.
Nabi Idris diangkat oleh Allah ke langit.
Nabi Nuh diselamatkan Allah keluar dari perahunya sesudah bumi ditenggelamkan selama enam bulan.
Nabi Ibrahim diselamatkan Allah dari pembakaran Raja Namrud.
Allah menurunkan kitab Taurat kepada Nabi Musa.
Nabi Yusuf dibebaskan dari penjara.
Penglihatan Nabi Yaakob yang kabur dipulihkan Allah.
Nabi Ayub dipulihkan Allah dari penyakit kulit yang dideritainya.
Nabi Yunus selamat keluar dari perut ikan paus setelah berada di dalamnya selama 40 hari 40 malam.
Laut Merah terbelah dua untuk menyelamatkan Nabi Musa dan pengikutnya dari tentera Firaun.
Kesalahan Nabi Daud diampuni Allah.
Nabi Sulaiman dikurniakan Allah kerajaan yang besar.
Hari pertama Allah menciptakan alam.
Hari Pertama Allah menurunkan rahmat.
Hari pertama Allah menurunkan hujan.
Allah menjadikan 'Arasy.
Allah menjadikan Luh Mahfuz.
Allah menjadikan alam.
Allah menjadikan Malaikat Jibril.
Nabi Isa diangkat ke langit.

Thursday, January 17, 2008

Makanan 'menanti' di muka pintu


SEBELUM ini, mungkin kebanyakan kita menganggap hanya beberapa restoran makanan segera saja yang menawarkan perkhidmatan penghantaran ke rumah. Sebenarnya bukan hanya restoran makanan segera saja yang dapat menghantar makanan segera terus ke pintu rumah anda. Hidangan yang sebelum ini anda fikir hanya boleh dinikmati di ruang restoran yang berhawa dingin juga boleh dinikmati dalam suasana santai di rumah.

Perkhidmatan Room Service Deliveries (RSD) membuatkan anda tidak terseksa keluar menghadapi kesesakan jalan raya dan beratur menanti giliran semata-mata untuk menikmati makanan yang diidamkan di restoran kegemaran anda. Setakat ini, RSD adalah satu-satunya perkhidmatan penghantaran makanan terbesar untuk rangkaian restoran terpilih di ibu negara mulai jam 11 pagi hingga 11 malam setiap hari. Konsep perkhidmatan seperti ini sebenarnya sudah lama dipraktikkan di bandar maju seperti London dan New York. Di Malaysia juga ia bukan sesuatu yang terlalu baru sebaliknya sudah mula diperkenalkan sejak 2002.

"Perkhidmatan ini semakin mendapat sambutan sejak tiga tahun lalu. Kini, kami menjalankan perkhidmatan penghantaran untuk lebih 100 restoran terkemuka yang menyediakan pelbagai hidangan lazat. "Malah, pelanggan tetap RSD juga sudah mencecah 10,000 orang," kata Steven Chew yang bertindak sebagai Pengurus Pembangunan Perniagaan Asian Room Service Sdn Bhd, syarikat yang menjayakan perkhidmatan ini. Idea membawa perkhidmatan ini ke Malaysia adalah berikutan ketiadaan perkhidmatan penghantaran ke rumah dan pejabat oleh kebanyakan restoran sedangkan permintaan untuk perkhidmatan berkenaan wujud. Ia juga didorong oleh perubahan dalam gaya hidup masyarakat hari ini yang kian sibuk.
"Golongan yang sibuk biasanya tidak mempunyai banyak masa untuk memasak di rumah dan selalunya tidak berkesempatan untuk menikmati hidangan kegemaran ketika bekerja atas faktor waktu yang terhad. "Makanan yang boleh dipesan melalui penghantaran pula kebanyakan makanan segera. Sesekali pastinya mereka teringin untuk menikmati hidangan istimewa di restoran. Perkhidmatan yang dijalankan RSD ini dapat memenuhi keinginan mereka itu," katanya. Kata Chew, untuk membuat pesanan, pelanggan hanya perlu merujuk menu yang disediakan dan membuat pesanan melalui panggilan telefon.
"Sebelum itu, mereka harus melengkapkan butiran diri yang diperlukan seperti nama, alamat kediaman atau pejabat dan nombor telefon. "Maklumat ini akan menjadi rujukan untuk pesanan yang seterusnya," katanya. Harga pesanan minimum adalah RM20 dan setiap penghantaran akan dicaj RM10. Bagi setiap pesanan, RSD memberi beberapa jaminan seperti penghantaran dalam tempoh kira-kira satu jam atau satu jam 15 minit di zon yang lokasinya agak jauh dari pusat bandar. Mereka akan memastikan hidangan yang dihantar kepada pelanggan masih berkeadaan panas. Pelanggan turut dibenarkan membuat beberapa pesanan dari restoran berlainan.
"Setiap hari, purata panggilan yang diterima RSD adalah sekitar 100 panggilan. Kebanyakannya datang dari kawasan Bangsar dan beberapa kawasan sekitar Kuala Lumpur. "Peningkatan bilangan pelanggan mungkin dipengaruhi pertambahan bilangan restoran yang berada di bawah perkhidmatan kami, yang mana secara tidak langsung memberi lebih banyak pilihan hidangan untuk pelanggan. "Ketepatan masa penghantaran juga menyumbang kepada peningkatan ini," katanya. Selain penghantaran makanan, RSD merancang untuk meluaskan perkhidmatan mereka kepada penghantaran barangan runcit dan juga penghantaran ke dobi. Ia dijangka dilaksanakan tahun ini. "Kami juga bercadang untuk meluaskan perkhidmatan ini ke Singapura tahun depan memandangkan ia antara pasaran strategik di rantau ini.
"Tahun berikutnya kami akan meneroka ke negara lain pula," ujar Chew sambil menambah, tiada had maksimum untuk jumlah hidangan yang ingin dipesan dan pelanggan juga boleh membayar menggunakan kad kredit. RSD akan mengadakan promosi istimewa sempena Tahun Baru Cina dan Hari Kekasih Februari ini. Untuk maklumat lanjut, layari www.roomservicedeliveries.com
Hidangan tetap panas, lazat Ribuan pelanggan Room Service Deliveries (RSD) di sekitar Lembah Klang yang berada di sekitar Lembah Klang mempunyai menu RSD yang menyenaraikan pilihan hidangan dan restoran yang dibahagikan mengikut kawasan iaitu sekitar Kuala Lumpur & Ampang, Bangsar & Petaling Jaya, Subang & Sunway serta Pulau Pinang. Menu ini dihasilkan dan diedar setiap enam bulan agar senarai restoran dan menu dapat dikemaskini sekali gus memperluaskan lagi pasaran. Pelanggan hanya perlu mendapatkan menu, memilih restoran kegemaran mereka, memilih nombor hidangan yang diingini, kemudian menghubungi 03-6201 2400. Wakil khidmat pelanggan akan mengambil pesanan, memberitahu jumlah yang perlu dibayar pelanggan serta tempoh penghantaran pesanan berkenaan. RSD akan menghantar dua salinan faks pesanan itu kepada restoran supaya mereka (restoran) menyediakan hidangan dalam tempoh 20 ke 25 minit berikutnya. Seorang daripada kakitangan penghantaran RSD akan mengambil hidangan yang dipesan dari restoran itu bersama satu daripada salinan faks dan terus menghantarnya kepada pelanggan yang membuat pesanan dalam masa satu jam. Setiap pesanan yang hendak dihantar diletakkan di dalam 'Hot Bags' yang direka khusus untuk memastikan pelanggan menerima makanan yang panas, lazat dan sedia untuk dinikmati.
Ketika pesanan diambil dari restoran, kakitangan penghantaran itu mesti membuat panggilan FOB (food on board) kepada pusat khidmat pelanggan RSD dan membuat panggilan sekali lagi ketika pesanan sudah dihantar kepada pelanggan. Cara ini membolehkan pusat khidmat pelanggan RSD mengawasi dan memastikan pesanan dapat diterima pelanggan dalam tempoh yang dijanjikan. Fokus perkhidmatan RSD adalah kepada pelanggan yang ingin menikmati makanan mereka di rumah.
Oleh itu, perkhidmatan ini tidak memberi persaingan kepada operasi perniagaan di restoran yang mengambil bahagian malah menjana pendapatan tambahan kepada mereka serta membantu untuk memaksimumkan pengeluaran dari dapur restoran. Waktu puncak penghantaran iaitu antara jam 6 petang hingga 8 malam juga tidak berselisih dengan waktu puncak kesibukan di restoran (sekitar jam 8 hingga 10 malam). Biasanya, RSD akan sibuk menerima panggilan dari pelanggan ketika cuaca hujan, berlangsungnya perlawanan bola sepak atau ketika cuaca tidak baik yang mana waktu begini kebanyakan individu lebih senang berada di rumah.

Wednesday, January 16, 2008

Takwim Peperiksaan Tahun 2008


UPSR
Ujian Bertulis 9 - 11 September 2008

PMR
Ujian Bertulis 14 - 20 Oktober 2008

SPM
Amali 13 - 15 Oktober 2008
Ujian Bertulis 12 November - 4 Disember 2008

STAM
Ujian Lisan 13 - 18 Julai 2008 & 20 - 25 Julai 2008
Ujian Bertulis 14 - 16 Oktober 2008 & 20 - 21 Oktober 2008

SPM (Ulangan)
Bahasa Melayu 24 Jun 2008
Matematik 25 Jun 2008

Tuesday, January 15, 2008

PEMAKAIAN PAKAIAN BATIK MALAYSIA OLEH PEGAWAI AWAM

Mengikut SURAT PEKELILING PERKHIDMATAN BILANGAN 1 TAHUN 2008,
Kerajaan telah memutuskan supaya hari pemakaian batik oleh pegawai awam iaitu pada hari pertama dan hari ke-15 setiap bulan dipinda kepada setiap hari Khamis.

Pindaan ini juga melibatkan hari pemakaian fesyen pakaian batik Malaysia alternatif pegawai lelaki seperti yang ditetapkan di perenggan 4, Surat Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 1 Tahun 2006.

Monday, January 14, 2008

DI MANA SHARLINIE?


Sharlinie Mohd. Nashar, 5, dilaporkan hilang ketika bermain bersama kakaknya di padang permainan yang terletak kira-kira 200 meter dari rumahnya di No. 29, Jalan PJS2C/11N, Taman Medan, Petaling Jaya.
Mangsa diculik kira-kira pukul 11.30 pagi. Ketika itu mangsa sedang leka bermain bersama kakaknya, Sharliena yang berusia lapan tahun.
Ketika hilang mangsa memakai baju-T dan skirt berwarna biru muda serta selipar warna merah jambu.

Sunday, January 13, 2008

ETIKA KELAKUAN PELAJAR SISTEM MERIT DEMERIT


Alhamdulillah, akhirnya berjaya juga disiapkan.

Saturday, January 12, 2008

Sabtu Yang Pertama

Hari ini macam biasa le, lepas membasuh kasut sekolah anak, aku menyidai baju yang dah dibasuh malam tadi. Kul 8.00 pagi aku bawa le anak2 gi bersarapan di Kopitiam kegemaran anak2. Mana lagi kalau tidak di depan bus station Muar. Tapi aku pelik le ngapa org2 panggil bus station Pagoh. aku ada tanya2 orang dia orang kata sebab kebanyakan bas ke Pagoh. Siasat punya siasat, tak betul maklumat tu. Begitu selera anak makan satay, telur rebus, nasi lemak, roti bakar dan mee rebus. Almaklum le sabtu pertama dia orang dapat menikmati kelumrahan yang biasa dilalui setiap sabtu. Tapi bila dah 4 ini, kelam kabut le sikit. Mungkinkah bertambah lagi selepas ini?

Pukul 9.30 aku ke Pasar Awam Parit Jawa, membeli lauk2 untuk minggu depan. Al maklum le Aleeya & Raszique ini tak suka makan di warung2 atau restoran. Dia lebih gemar dimasak sendiri dan yang cerewetnya nakkan ikan, sotong, udang & ayam yang segar. Dulu aku makan aja apa yang mamaku hidangkan.

Selepas tu aku bawa anak ke Pantai Leka, Parit Jawa melihat suasana air pasang, bot2 nelayan dan yang paling anak2 aku suka, melihat burung2 bagau berterbangan.

Jam dahpun pukul 11.30 pagi, apa lagi, singgah le makan Asam Pedas di Warung Pak Yahya TV3. Begitu selera anak2 aku makan termasuk le emak bapaknya. Mungkin sebab dah 2 bulan mereka berpuasa. Tapi macam biasa le yang berdua itu hanya makan ikan2 aja.

Petang2 begini apa lagi, tarik le selimut. Anak2 pun dah tido . . .

Malam sabtu ini aku teruskan usaha membuat Sistem Merit Demerit menggunakan Excel. Berkat "didikan" Dr. Kah, aku "dah mahir" menggunakannya. Insya Allah sebelum 21 Januari ini dah boleh digunakan. Ini le satu2nya projek terbaru aku, almaklum le salah seorang pelajar cemerlang kspk tmk 2007.

Friday, January 11, 2008

Ronda2 Kat Melaka

Semalam merupakan cuti umum sempena Maal Hijrah. So dapat le aku membawa anak ronda2 kat Melaka setelah "berehat" hampir 2 bulan. Destinasi pertama tentunya bersarapan kat Warung Lot 85. Setelah tu aku menuju ke destinasi kegemaran anak2 aku. Sudah tentu le Zoo Melaka. Almaklum le dah hampir 2 bulan tak ke sana. Banyak gak perubahannya.

Selepas makan di Warung Pak Enal, sudah tentu le ke Mahkota Prade. Melayan kerenah anak2 membeli apa2 yang patut. Kemudian ronda2 ke Tanjung Kling. Jam dah pukul 5 pm. Anak2 pun dah kepenatan. Apa lagi, terus le balik . . .

Thursday, January 10, 2008

Profesion perguruan tagih kejujuran

SESI persekolahan 2008 sudah bermula. Tahun baru membawa azam baru bagi guru yang sudah tentu ingin memperkasakan diri bagi mempertingkatkan kejayaan dalam profesion perguruan. Laporan akhbar pada 2007 yang menunjukkan 200 aduan salah laku guru dengan pelbagai masalah etika kerja, disiplin dan moral serta rasuah perlu diberi perhatian serius oleh guru dan masyarakat.

Bagi guru, salah laku yang dilakukan oleh guru akan menjejaskan nama baik profesion perguruan di mata masyarakat dan bagi masyarakat pula, isu salah laku ini akan menjejaskan kepercayaan masyarakat terhadap guru yang diamanahkan untuk mendidik anak mereka seperti kata pepatah 'ketam mengajar anaknya berjalan betul sedangkan diri sendiri jalan bengkang bengkok'. Guru perlu sedar bahawa segala tindak tanduk dan perlakuan mereka sentiasa menjadi perhatian masyarakat setempat, tambahan lagi jika guru itu bertugas di kawasan luar bandar yang penuh dengan peradaban hidup masyarakat kampung atau masyarakat yang sentiasa memandang tinggi kepada tatasusila kehidupan.

Guru perlu peka kepada persekitaran mereka seperti kata pepatah 'di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung'. Dalam profesion perguruan pula seseorang guru yang memegang amanah untuk menjawat jawatan guru akan terikat dengan etika profesionalisme sebagai seorang guru yang mesti dijunjung dan dipatuhi selagi mana jawatan sebagai guru itu dipegang individu terbabit. Sebagai seorang guru pula, segala etika tatasusila perguruan serta disiplin dan moral bagi seorang guru sudah dihafal dan dilaksanakan dalam kerjaya mereka sebagai guru. Pada masa sama, guru juga perlu memahami bahawa etika profesionalisme itu bukan saja tertakluk kepada perundangan yang tertulis dalam buku, tetapi menjangkaui kehendak dan keperluan semasa dan masyarakat.

Seorang guru perlu mempunyai moral dan disiplin diri yang diterap dengan jelas dan jitu dalam membentuk diri menjadi seorang guru yang berakhlak mulia. Guru menjunjung amanah sebagai pendidik yang perlu bersikap jujur dan ikhlas terhadap pelajarnya, sekolah dan pentadbiran organisasi pendidikan secara keseluruhannya. Guru perlu amanah dalam menjalankan tugasnya. Amanah dan jujur dalam tugas sangat dipandang tinggi dalam kerjaya perguruan, seseorang guru tidak boleh merungut, memberontak dalam diam dan secara terang dan mengutuk pihak berkaitan jika ditugaskan di sekolah di pedalaman atau negeri dan kawasan yang tidak mereka sukai.

Guru juga tidak boleh melakukan tugasan dan aktiviti seperti berikut yang menjejaskan etika profesionalisme, seperti:

Datang lambat ke sekolah dengan pelbagai alasan tidak munasabah.

Berpakaian selekeh dan tidak kemas dan tidak menunjukkan contoh sahsiah diri yang baik di mata pelajar.

Berkomunikasi dengan bahasa yang buruk dan kasar, terutama terhadap pelajar yang boleh menjejaskan perhubungan yang baik antara guru dan pelajar.

Berniaga dalam masa kerja dan menjalankan aktiviti pengajaran dan pembelajaran yang memberi manfaat kepada diri.

Mengajar yang tidak memberi kesan positif kepada pelajar seperti mengajar terlalu lambat, tidak membuat persediaan mengajar yang baik, tidak mengikut sukatan pelajaran, tidak memberi kerja rumah kerana malas hendak menanda kerja rumah pelajar, duduk semasa mengajar, membebel dan berborak dengan pelajar dalam waktu mengajar, marah dan memaki hamun pelajar dalam masa mengajar dan pelbagai lagi perkara yang boleh menjejaskan proses pembelajaran yang berkesan.

Terlalu memanjakan pelajar sehingga membabitkan emosi dan perasaan pelajar terganggu, terutama pelajar atau guru yang berlainan jantina. Keadaan ini membuatkan ada pelajar yang memendam perasaan 'cinta' kepada guru mereka dan disebabkan perhubungan mesra ini ada guru lelaki yang mengambil kesempatan terhadap pelajar perempuan seperti mencabul dan merogol pelajar berkaitan.

Guru sepatutnya menjadi pelindung, pendorong dan pendidik kepada anak muridnya. Dalam keadaan ini guru perlu sentiasa mampu mempertingkatkan diri dan profesionalisme profesion perguruan dengan menjalankan aktiviti dan tanggungjawab terhadap diri, profesion perguruan dan terhadap agama, bangsa dan negara.

Memajukan diri dengan membuat tugasan dan aktiviti yang relevan untuk mempertingkatkan proses pengajaran dan pembelajaran. Guru perlu sentiasa membaca, membuat rujukan dan semakan terhadap hal semasa dan pelbagai aspek ilmuan yang boleh ditunjuk pakai kepada pelajarnya.

Guru perlu terus mempertingkatkan diri sendiri dengan menyambung pelajaran ke peringkat lebih tinggi bagi tujuan membina ilmuan dalam bidang yang menjadi kepakaran mereka. l Guru perlu sentiasa menjaga sahsiah diri yang baik bagi mempertingkatkan reputasi dan maruah mereka sebagai guru dan profesion perguruan.

Guru perlulah berterusan memberikan komitmen yang padu terhadap sekolah dan pentadbiran pendidikan dengan menghadiri kursus yang diperuntukkan untuk guru bagi mempertingkatkan lagi profesion perguruan dan keilmuan mereka.

Guru perlulah setia dan amanah terhadap profesion perguruan dengan tidak berbelah bagi kepercayaan mereka terhadap tugasan terhadap guru. Janganlah guru sentiasa memikirkan kepentingan diri dengan menjalankan tugas sampingan seperti menjadi guru tuisyen dengan komited, tetapi tugas hakiki sebagai guru di sekolah tidak dilaksana dengan sempurna.

Guru perlu konsisten dalam menjalankan tugas dan tidak dipengaruhi emosi yang tidak stabil disebabkan masalah peribadi dan masalah pentadbiran sekolah. Contohnya, jika guru ditegur pengetua kerana hal disiplin, guru melepaskan kemarahan itu kepada pelajarnya. Atau jika guru memohon pertukaran sekolah dan permohonan terbabit ditolak, guru membuat tindakan 'mogok' secara senyap dalam tugas dengan tidak bertugas dengan baik, merungut dan sebagainya dengan tujuan untuk 'tunjuk perasaan' kerana permohonan tukar sekolahnya ditolak. Ini adalah pelanggaran etika yang tidak boleh dilakukan.

Guru tidak harus terbabit dengan isu sensitif yang berlaku dalam persekitaran mereka seperti isu politik, perkauman dan agama. Guru tidak boleh menghasut, mendorong dan menyemai semangat 'pemberontakan kasar dan halus' secara langsung atau tidak langsung dalam jiwa dan perlakuan pelajarnya. Ada guru yang melakukan perkara ini secara sengaja menerusi soalan ujian, contoh tugasan ataupun perdebatan dalam kelas.

Jika guru melakukan perkara ini dengan tujuan untuk mengumpul sokongan dan mendapat 'keahlian baru' dalam keadaan menyokong pendirian atau kumpulan yang diikuti guru terbabit, ia adalah perlanggaran etika profesionalisme perguruan.

Bukan mudah untuk menjadi guru yang mendokong etika profesionalisme perguruan tinggi, tetapi ia tidak juga susah untuk dilaksanakan dan dilaksanakan oleh seorang guru kerana pokok pangkalnya adalah kemahuan, kejujuran, komitmen dan kerjasama guru untuk bersama-sama masyarakat lain mempertingkatkan kejayaan anak bangsa demi agama, bangsa dan negara Malaysia tercinta.

Masa untuk tumpu aktiviti pembelajaran

SESI persekolahan 2008 sudah memasuki minggu kedua. Walaupun kebanyakan sekolah sudah memulakan aktiviti pengajaran dan pembelajaran (P&P), masih kedengaran keluhan ibu bapa mengenai bebanan yang terpaksa mereka pikul dalam membuat persediaan persekolahan anak-anak mereka.

Antara keluhan yang paling hangat diperkatakan itu ialah mengenai yuran tambahan yang dikenakan pihak sekolah terutama yuran persatuan ibu bapa dan guru (PIBG), yuran komputer, caj pakaian sukan dan beberapa caj tambahan lain yang bagi mereka tidak wajar dikenakan pihak sekolah. Oleh kerana media turut memaparkan mengenai permasalahan itu, menjadikan isu berkenaan terus diperkatakan sehingga kini.

Isu berkaitan pendidikan sememangnya tidak pernah sunyi daripada menjadi perhatian masyarakat. Sama ada ia mengenai kejayaan pelajar, apatah lagi jika isu itu berkaitan kegagalan atau kelemahan pihak tertentu kerana ia turut menyentuh soal kepentingan pendidikan anak mereka.

Sebab itulah saban tahun, setiap kali bermulanya sesi baru persekolahan, isu pembiayaan persekolahan anak-anak sering menjadi tumpuan. Daripada isu kecil seperti kenaikan harga makanan di kantin sekolah hinggalah kepada kenaikan tambang bas dan harga uniform pelajar sering mendapat liputan media dan yang paling banyak diperkatakan ialah mengenai isu yuran persekolahan. Sama ada suka atau tidak, pendidikan akan terus menjadi fokus masyarakat sepanjang tahun. Soal disiplin, keselamatan pelajar, makanan, tambang bas, kebersihan sekolah, buku, prestasi akademik, asrama malahan semuanya akan menjadi perhatian ibu bapa dan masyarakat.

Tahun ini isu yuran persekolahan yang menjadi perbualan sejak September 2007 lagi, menjadi tumpuan utama berbanding tahun sebelum ini berikutan kerajaan mengumumkan pemansuhan yuran khas sekolah dalam pembentangan Bajet 2008 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Tanpa mendapat maklumat secukupnya mengenai nilai sebenar yuran khas sekolah yang dimansuhkan itu, ibu bapa menaruh harapan begitu tinggi bahawa langkah kerajaan akan dapat meringankan beban yuran yang terpaksa dibayar setiap tahun, lebih-lebih lagi apabila dikaitkan pula dengan pendidikan percuma untuk semua di mana Perdana Menteri turut mengumumkan perluasan Skim Bantuan Buku Teks kepada semua pelajar tanpa mengira pendapatan seisi rumah seperti yang disyaratkan sebelum ini. Malahan ada segelintir ibu bapa beranggapan pengumuman mengenai pemansuhan yuran khas sekolah itu bermakna ibu bapa tidak perlu membayar apa-apa langsung apabila sesi persekolahan baru 2008 dibuka.

Sehubungan itu, seperti yang dilaporkan media, ada sebilangan ibu bapa yang terperanjat dan keliru apabila tiba di sekolah mereka ditunjukkan senarai panjang yuran yang perlu dilunaskan, sama seperti tahun sebelum ini, malahan di sesetengah sekolah yurannya melebihi yuran yang perlu dibayar pada tahun sebelumnya apabila ada sekolah yang menaikkan yuran PIBG, serta beberapa caj tambahan lain. Bagi pihak yang mengetahui keadaan sebenar, kekecohan yang berlaku itu sudah dijangka berikutan maklumat yang tidak mencukupi sampai ke pengetahuan ibu bapa. Lebih memburukkan keadaan terdapat pula sekolah yang mengenakan caj tambahan yang tidak wajar seperti caj tandas.

Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, ternyata agak kecewa dengan apa yang berlaku. Barangkali ramai yang masih ingat, beliau pernah menyatakan kerajaan terpaksa menyediakan sejumlah peruntukan tambahan yang besar bagi menampung pemansuhan yuran khas sekolah, pemansuhan yuran peperiksaan serta perluasan Skim Pinjaman Buku Teks kepada 5.7 juta pelajar berbanding 4.5 juta juta sebelum ini. Harapan beliau ialah jangan ada di kalangan rakyat yang tidak menghargai bantuan yang dinikmati itu kerana bantuan yang disalurkan kerajaan untuk pendidikan adalah besar. Misalnya bagi menampung kos pemansuhan yuran peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR), Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan yang terbaru Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM), kerajaan terpaksa menanggung perbelanjaan sejumlah RM210 juta setahun.

Berikutan perluasan Skim Bantuan Buku Teks percuma kepada semua pelajar pula, kerajaan terpaksa menyediakan peruntukan tambahan sejumlah RM128 juta. Manakala pemansuhan yuran khas sekolah yang bernilai RM4.50 bagi murid sekolah rendah dan RM9 bagi sekolah menengah, kerajaan perlu menyediakan peruntukan tambahan berjumlah RM36.7 juta mulai tahun ini. Daripada jumlah itu, RM22.7 juta membabitkan yuran khas sekolah menengah, manakala RM14 juta lagi untuk sekolah rendah. Tahun ini juga, kerajaan akan mengagihkan uniform percuma untuk kegiatan kokurikulum kepada pelajar dari keluarga yang berpendapatan seisi rumah kurang daripada RM1,000 sebulan bagi memastikan setiap pelajar berpeluang membabitkan diri dalam kegiatan kokurikulum beruniform. Peruntukan yang harus disediakan bagi tujuan itu berjumlah RM188.8 juta. Terdapat banyak lagi bantuan lain yang disediakan kerajaan sepanjang 2008, antaranya bantuan makanan di asrama dengan peruntukan sejumlah RM1.14 bilion, rancangan makanan tambahan (RM276 juta), skim bantuan tuisyen (RM181.94 juta), bantuan makanan SBT (RM65.02 juta), program susu sekolah (RM26.7 juta), biasiswa (RM268.47 juta), pelajar kurang upaya (RM13.8 juta) dan tabung KWAPM (RM214.69 juta).

Kita harap isu yuran persekolahan tidak akan berpanjangan, sebaliknya dapat ditangani secepat mungkin. Biarlah selepas ini guru dapat memberi tumpuan sepenuhnya kepada aktiviti pembelajaran demi kemajuan anak-anak kita. Jika ada pihak yang masih tidak berpuas hati, mereka haruslah duduk semeja dengan pihak sekolah supaya masalah mereka dapat ditangani secara muafakat. Marilah kita bekerjasama dengan pihak sekolah dalam menjayakan pelbagai program yang dirancangkan sepanjang tahun ini, sama ada kegiatan akademik mahupun kokurikulum. Banyak sekolah yang memerlukan sokongan sumber kewangan bagi mengisi dana untuk menjalankan pelbagai program berkenaan. Oleh itu setiap ibu bapa wajar memberi kerjasama dan jangan hanya pandai mencari kelemahan pengurusan sekolah.

Akhir sekali, ‘Selamat Tahun Baru 2008’ kepada semua guru. Jadikanlah setiap pengalaman suka duka yang dilalui sepanjang 2007 sebagai cabaran untuk mencatat kejayaan lebih gemilang pada 2008, demi kemajuan pendidikan anak bangsa.

Wednesday, January 9, 2008

Hidupkan suasana cinta, suami isteri

APABILA wujud perkahwinan, tidak semestinya semua berjalan dengan baik dan bahagia. Ada banyak perkara yang boleh mengubah tanggapan kita dan kita perlu banyak bersabar. Di bawah ini diperturunkan pengalaman masyarakat serta tanggapan mengenai perkahwinan dan pengalamannya selepas berkahwin.

1. Berkahwin tidak bermakna anda tidak akan keseorangan lagi.
Saya dan suami baru saja mengikuti kaunseling. Tiada apa-apa yang drastik cuma kami dapat rasakan bahawa kami semakin berjauhan dari segi emosi dan fizikal. Jiwa semakin terasa keseorangan. Nasib baik kami berdua cepat sedar dan sanggup mendapatkan bantuan daripada mengambil tindakan yang bertentangan.

2. Berkahwin tidak bermakna anda akan berasa menyintai atau dicintai setiap hari.
Kebahagiaan dalam perkahwinan tidak berlaku sekelip mata kerana masalah tentu akan timbul. Ada masalah besar dan ada yang kecil. Kadangkala anda akan merasakan diri sudah tidak dicintai. Amat penting bagi masing-masing mengucapkan perasaan cinta dan mencintai.

3. Anda masih perlu menghangatkan suasana.
Kami suami isteri mempunyai kerjaya yang sangat sibuk dan jarang dapat meluangkan masa bersama. Untuk mengelakkan perasaan seperti teman sebilik saja, kami cuba terapkan kebiasaan untuk memeluk antara satu sama lain dan bercerita setiap malam sebelum melelapkan mata.

4. Perkahwinan adalah sesuatu yang menyeronokkan.
Saya dan isteri amat menyenangi kehadiran masing-masing. Kami gemar bergelak ketawa bersama, bergurau dan mengusik. Setiap hari ada saja SMS yang dihantar, kadangkala lawak jenaka dan ada juga mesej berunsur seks nakal.

5. Lazimnya salah seorang akan lebih banyak berkorban.
Mana ada yang 100 peratus adil pembahagiannya. Selalunya isteri akan lebih banyak berkorban terutama dari segi kerjaya. Kadangkala ada yang terpaksa melepaskan kenaikan pangkat kerana tidak ingin rumah tangga kucar-kacir.

6. Pasangan anda akan berubah mengikut masa.
Anda harus menerima kenyataan bahawa masing-masing akan berubah mengikut masa. Kadangkala dari segi perangai, rupa paras, bentuk badan dan hobi. Tiada orang yang akan kekal sama seperti mula berkenalan dulu.

7. Anda tidak semestinya bersetuju dalam semua perkara.
Suami akan tetap mahu menggunakan wang bonus untuk membesarkan garaj manakala isteri inginkan sofa baru. Terimalah hakikat bahawa masing-masing ada keinginan yang berbeza. Yang penting tolak ansur, mungkin bonus tahun ini mengikut kehendak isteri manakala bonus tahun depan untuk suami pula.

8. Semakin lama berkahwin semakin bahagia.
Pasangan yang memahami kehendak masing-masing dan mengamalkan tolak ansur dalam kebanyakan perkara sepanjang mereka berkahwin, lazimnya akan berjaya melawan badai atau masalah. Mereka inilah yang dapat menikmati kemanisan berumahtangga. Mereka inilah pasangan sehati sejiwa masing-masing.

9. Hubungan seks ada turun naiknya.
Kadangkala sangat berkesan dan ada kalanya tidak begitu memberangsangkan. Masing-masing seharusnya menerima bahawa ia bergantung kepada mood dan keadaan sekeliling.

10. Perasaan ego berlebihan amat berbahaya.
Apabila berlaku perselisihan, masing-masing menjadi begitu sensitif dan mementingkan ego. Jika terlampau mengikut ego, anda mungkin akan memanjangkan masalah yang kecil. Elakkan daripada menyimpan perasaan marah terlalu lama kerana pasangan anda mungkin akan berubah hati. Sanggupkah anda?

Tuesday, January 8, 2008

Didik anak satu cabaran


DALAM proses memahami dan memupuk hubungan dengan anak, harus disedari kehendak anak yang sedang membesar. Apatah lagi dalam dunia yang serba mencabar kini, meskipun ia satu tanggungjawab, mendidik anak dianggap suatu cabaran kepada ibu bapa.Impian menjadikan anak sebagai individu berguna menjadi iltizam setiap insan. Namun, dalam proses menuju matlamat itu, banyak cabaran yang perlu ditempuh.

Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara memberi petua bagaimana memupuk hubungan mesra dengan anak.

- Rasa selamat
Menyayangi anak sepenuh hati akan memberi perasaan selamat pada anak dan membina emosi anak yang kental. Walaupun perlu mendisiplinkan anak, beri jaminan tindakan anda itu kerana perasaan sayang. Nakal hanya pada perbuatan dan itu yang harus diberikan disiplin, bukannya memarahi anak itu. Jika anak menunjukkan sikap tidak menghormati anda sebagai ibu dan bapa, tegur si kecil dan beri penjelasan. Disiplin boleh diberi melalui nada suara yang tegas, menyekat permainan kesukaannya atau pukulan ringan, jika perlu.Anak harus sedar perbuatannya salah tetapi pada masa sama, si kecil tahu ibu dan bapanya berbuat demikian kerana sayang.

- Rasa dihargai
Sentiasa menghormati pandangan dan pendapat anak yang sedang membesar. Mereka bukannya patung atau barang hiasan. Anak mempunyai perasaan dan keinginan untuk diterima serta dihargai sebagai individu. Oleh itu, babitkan dirinya dalam perbualan seharian keluarga seawal usia satu tahun. Jika anak mahukan perhatian ketika anda sedang berbual dengan tetamu, jangan memarahinya. Dakap anak dan katakan anda mempunyai tetamu dan akan menemaninya sebentar lagi. Beri jaminan dan bermain dengan anak seperti yang dijanjikan. Ini menunjukkan anda menghargainya sebagai individu.

- Rasa penting
Kadang kala ibu bapa ingin memberi sepenuh kasih sayang menyebabkan anak dikongkong daripada membuat sebarang keputusan sendiri. Beri mereka peluang untuk memegang tanggungjawab. Latih anak yang sedang membesar melakukan beberapa tugas kecil dalam keluarga mereka berasa dirinya penting. Sebagai permulaan, minta anak membasuh cawannya sendiri.Anak nakal berpunca daripada keperluannya yang tidak dipenuhi. Sayangi anak sepenuh hati dan menerima anak seadanya. Pada masa sama, si kecil mahukan jaminan ibu bapanya akan sentiasa memberikan rasa selamat, menghargai dan menerimanya sebagai sebahagian ahli keluarga. Ini akan memastikan emosi anak tumbuh sihat.

-Jadikan waktu membesar menceriakan
Keluarga bahagia keluarga yang ceria. Rumah tempat untuk memupuk keceriaan, suasana riang dan membina kenangan manis. Rumah yang ceria juga mewujudkan suasana harmoni yang boleh dinikmati seisi keluarga. Jadikan aktiviti anda dan anak sesuatu yang ceria dan bukannya membebankan. Keseronokan bermain dengan anak mampu mengembalikan kenangan zaman kecil anda. Anak harus melihat anda bukan sekadar orang dewasa yang bijak, pembuat keputusan, pencari rezeki dan pembuat peraturan tetapi sebagai kawan yang ceria. Kenangan ini akan kekal sebagai kenangan masa kecil yang menceriakan. Namun, anak harus dididik untuk ceria seseorang tidak perlu mencederakan atau mengecilkan orang lain.

- Hadiahkan mereka nilai murni
Menjadi lumrah kanak-kanak yang meminta sebarang benda yang mereka lihat di televisyen atau milik kawannya. Malangnya, ibu bapa menurut saja kemahuan anak mereka tanpa menyedari memberi hadiah hanya akan menggembirakan anak untuk sehari tetapi pendidikan nilai murni akan memanfaatkan anak seumur hidup. Latih anak menghargai setiap pemberian daripada rakan dan sanak-saudara. Ini akan menyemai nilai bertimbang rasa, kesyukuran, persahabatan dan hormat-menghormati pada jiwa anak. Si kecil harus belajar mengucapkan terima kasih. Pastikan juga anak menjaga setiap pemberian berkenaan dengan baik. Misalnya, jika si kecil menerima buku, dia mesti belajar menjaga buku itu dengan baik walaupun tidak menyukainya. Anda harus mengehadkan pemberian hadiah sehingga anak benar-benar tahu menghargai dan menjaga setiap hadiah yang diterima. Jika tidak, anak akan mengambil kesempatan atas kemurahan hati anda.

Monday, January 7, 2008

Kesan Susu Formula?

MEMILIH susu formula untuk bayi kadangkala memeningkan kerana tidak tahu jenis mana yang baik dan sesuai dengan si kecil. Setiap jenama dan jenis susu formula mempunyai kelebihan masing-masing direka khusus bagi memenuhi pelbagai keperluan bayi.

Sebenarnya sebaik atau semahal mana pun susu formula, ia masih tidak dapat menandingi susu ibu. Inilah sebabnya Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyarankan penyusuan badan secara eksklusif (memberi susu badan saja) sekurang-kurangnya selama enam bulan supaya bayi anda mendapat semua manfaat yang dianugerahkan Tuhan kerana kandungan susu badan berubah mengikut keperluan bayi. Sebaiknya pemberian susu badan diteruskan sehingga 12 bulan dan selepas tempoh ini, barulah anda boleh memikirkan susu alternatif untuk bayi apatah lagi bagi wanita yang perlu kembali bekerja atau kurang susu badan. Ini kerana sistem penghadaman bayi belum cukup matang untuk menghadam protein susu dan garam yang terkandung dalam susu formula. Pemilihan susu formula perlulah dibuat berlandaskan kesihatan bayi, umur, keperluan pemakanan dan harga. Secara amnya susu formula boleh dibahagikan kepada dua jenis iaitu yang berasaskan susu (lembu) atau soya. Kebanyakan susu formula adalah dalam kategori pertama dan harganya jauh lebih murah berbanding susu formula berasaskan soya. Susu formula berasaskan susu lembu diubahsuai sebaik mungkin untuk menyamai khasiat susu ibu.

Dalam proses ini kandungan karbohidrat, protein dan lemak akan diubahsuai mengikut peringkat umur sasaran selain diperkaya dengan vitamin dan mineral. Malah, ada juga susu yang direka khas untuk bayi pra matang (lahir tidak cukup bulan). Jenis kedua ialah susu berasaskan soya yang juga mengalami proses pengubahsuaian dan ditambah vitamin serta mineral. Ia tidak mengandungi susu tetapi mempunyai khasiat yang setanding dengan susu formula biasa. Biasanya susu formula jenis ini hanya disarankan untuk bayi yang mengalami masalah penghadaman (pencernaan) atau alahan terhadap protein susu lembu. Kelebihannya, ia mudah dihadamkan.

Tiada kaedah khusus yang boleh digunakan untuk menentukan kesesuaian susu bagi bayi anda. Langkah pertama ialah memberikan anak minum susu berasaskan susu lembu. Jika dia tidak menunjukkan gejala alahan, bermakna susu berkenaan sesuai untuknya.Namun, jika anak anda mengalami masalah pencernaan atau alahan susu lembu (seperti cirit birit atau muntah setiap kali diberikan susu formula berasaskan susu lembu), segeralah berbincang dengan doktor bagi memilih jenis susu yang sesuai untuk si kecil. Teknologi pembangunan susu formula sangat memberangsangkan. Pengusaha berlumba meningkatkan nilai untuk memberi lebih manfaat kepada bayi dengan menambah pelbagai bahan yang terdapat dalam susu ibu seperti asid dokoheksanoik (DHA) dan arakidonik (ARA) khusus bagi membantu perkembangan otak dan mata. Selain mementingkan perkembangan otak, rumusan susu formula baru memberi penekanan terhadap kesihatan sistem pencernaan bayi. Rumusan ini mengandungi immunofortis iaitu campuran oligosakarida yang bertindak sebagai makanan kepada bakteria baik dalam usus bayi.Antara matlamat kepada pembangunan susu bayi dengan rumusan immunofortis ialah untuk:

Meningkatkan perkembangan sistem imun (mengurangkan risiko jangkitan dan alahan)
Merangsang perkembangan otak, visual dan kognitif. Mengurangkan ketidakselesaan sistem penghadaman seperti sembelit, cirit birit, muntah, sakit perut, jeluak (muak). Menurut Pengarah Penyelidikan dan Pembangunan Pemakanan Bayi, Royal Numico Asia Pasifik, Dr Jacques G Bindels, oligosakarida ialah karbohidrat yang tidak boleh dicernakan. Ia akan merangsang peningkatan bilangan dan aktiviti bakteria bifido dalam usus. Penambahan koloni bakteria bifido ini terbukti memberi kesan positif dan mampu meningkatkan daya tahan bayi terhadap sebarang jangkitan yang berlaku dalam usus. Kesihatan usus yang baik mempunyai kaitan rapat dengan perkembangan sistem imun bayi kerana dua per tiga (60 hingga 70 peratus) daripada sistem pertahanan badan terdapat di dalam usus. Selain itu kajian ke atas tikus mendapati pemberian immunofortis mampu meningkatkan tindak balas terhadap vaksin dan mengurangkan reaksi alahan.

Berdasarkan 12 kajian bebas ke atas 1,600 kanak-kanak kecil menunjukkan immunofortis mampu melembutkan najis dan mengurangkan 50 peratus risiko jangkitan saluran pernafasan dan cirit birit di kalangan kanak-kanak berumur kurang dua tahun berbanding bayi yang diberikan susu formula biasa. Sehubungan itu, pengambilan antibiotik bagi meningkatkan ketahanan bayi terhadap jangkitan bakteria juga dapat dikurangkan sehingga 75 peratus. Ini adalah perkembangan yang sangat baik kerana pengambilan antibiotik secara berlebihan boleh membawa kepada pembentukan jenis bakteria yang lebih berdaya tahan terhadap antibiotik.

Sunday, January 6, 2008

Jadilah Pendengar Yang Baik

MENJADI pendengar yang baik adalah segala-galanya bagi memulakan komunikasi lebih berkesan, sama ada sesama keluarga, rakan mahupun lingkungan yang lebih luas. Ada hanya tahu bercakap tetapi kurang mendengar.

Masalah ketidakcukupan masa bersama anak membuatkan mereka mencari orang luar terutama kawan rapat untuk berkomunikasi.

Bahkan ada di kalangan anak bermasalah cuba melakukan perbuatan tertentu sekadar meraih perhatian ibu bapa. Menjadi ibu bapa yang baik terutama mendengar masalah anak-anak melatih seseorang menjadi insan yang lebih baik dalam mengendalikan masalah terutama melatih sifat sabar dan mulia.

Kebanyakan masalah yang berlaku di kalangan anak yang meningkat remaja disebabkan cara komunikasi kurang berkesan menyebabkan sesuatu masalah gagal ditangani. Komunikasi dalam keluarga sebenarnya salah satu faktor untuk mewujudkan keluarga yang ceria, bahagia dan harmoni. Ada ibu bapa yang hanya meluangkan masa antara lima hingga 10 minit sehari untuk berbual dengan anak-anak.

Untuk itu, ibu bapa harus kenal pasti karakter dan personaliti anak. Jika ibu bapa rapat dengan anak-anak, mungkin pengaruh mereka akan lebih berkesan. Oleh kerana tidak menjadi pendengar yang baik, anak-anak sering bermasalah. Mereka lebih suka meluahkan perasaan di kalangan rakan sebaya mereka. Ini disebabkan rakan sebaya lebih memahami dan mendengar segala luahan perasaan berbanding orang yang lebih dewasa.

Untuk memotivasikan anak-anak, ibu bapa perlu menggunakan kaedah komunikasi yang berkesan agar matlamat dan harapan mewujudkan insan yang berguna serta berakhlak akan tercapai.

Berikut beberapa petua ke arah kaedah komunikasi berkesan selain meningkatkan motivasi:

1. Ganjaran.
Anak yang tidak mempunyai motivasi dalaman yang kuat boleh dimotivasikan secara luaran dengan menyediakan pelbagai bentuk ganjaran. Lihat kelebihan anak dan suburkannya, mereka pasti mengulangi kebaikan itu di masa depan.Pelbagai bentuk ganjaran boleh diberikan seperti hadiah, puji-pujian atau pelepasan daripada tugas harian. Ganjaran bukan saja diberikan terhadap pencapaian tetapi usaha yang diberikan. Kajian menunjukkan kebanyakan kanak-kanak dan remaja tidak cemerlang dalam kerja rumah serta tugasan kerana mereka tidak tahu apa yang patut dilakukan. Ibu bapa sepatutnya perlu menjelaskan perkara berkaitan.

2. Tetap dan mantapkan matlamat.
Setiap anak mestilah disuruh menetapkan matlamat untuk pendidikan dan masa depan. Ikuti perkembangan anak dan pastikan setiap anak mampu merealisasikan matlamat masing-masing.

3. Berikan perhatian.
Anak akan memberikan tindak balas positif terhadap ibu bapa yang ambil berat mengenai diri dan masalah mereka. Memahami adalah lebih baik daripada menghukum.

4. Pembabitan dan penyertaan.
Salah satu kunci motivasi diri ialah pembabitan aktif dan penyertaan dalam setiap aktiviti kekeluargaan. Rangsang anak untuk terbabit dalam aktiviti luar, berinteraksi antara adik-beradik dan saling membantu. Anak akan lebih bermotivasi apabila mereka rasa diri mereka penting dan diperlukan. Oleh itu, babitkan mereka dalam pelbagai kerja ibu bapa seperti memasak, mengemas rumah atau berkebun.

5. Penuhi keperluan.
Ibu bapa harus sedar setiap anak memerlukan daya hidup, kasih sayang, kuasa memilih, keseronokan dan kebebasan. Misalnya, berikan peluang anak yang lebih tua menyelesaikan masalah kecil di kalangan adik-beradik.

6. Kepelbagaian emosi dan watak.
Kekuatan memori ada kaitannya dengan tahap emosi yang membentuk pengalaman seseorang. Anak akan lebih mudah mengingat dan memahami sesuatu yang disertai dengan pendekatan emosi. Anak lebih bersedia untuk belajar apabila ada unsur kepelbagaian emosi dan watak kerana mereka tidak akan bosan. Jangan malu untuk mempelbagaikan watak, gaya dan pendekatan untuk menarik minat anak terhadap apa yang mahu disampaikan.

7. Terapkan aspek kemahiran.
Ajarkan mereka beberapa aspek kemahiran komunikasi dan sosial. Contohnya, beri peluang mereka 'memberi ceramah' atau melayan tetamu yang datang.

Berikut antara langkah untuk menjadi pendengar yang baik:
- Wujudkan suasana mesra dalam perbualan atau interaksi.
- Dengar dengan teliti.- Berikan perhatian sepenuhnya.
- Saling berpandangan dan lihat tepat ke dalam anak matanya.
- Angguk kepala tanda gerak balas serta ikuti perbualannya dengan berkata, 'ya'.
- Selami perasaan orang yang sedang bercakap dan hayati ceritanya.
- Ubah mimik muka seiring dengan perkara yang dipertuturkan.
- Elak mengkritik.
- Jangan menyampuk dan memotong cerita yang belum selesai.
- Susuli dengan soalan sebagai tanda anda memang mendengarnya dengan penuh minat.
- Ulangi apa yang dibicarakan sebagai tanda anda faham atau untuk memastikan apa yang anda fahami itu betul.

Saturday, January 5, 2008

12 Pelajar KSPK TMK IPPM mendapat keputusan Cemerlang


Alhamdulilah, akhirnya kita tamat juga kursus kspk tmk sesi 2007.

Tahniah kepada rakan2 yang mencatatkan satu lagi rekod ippm.

Buat pertama kalinya tmk mencatat rekod dengan pencapaian:

12 pelajar cemerlang,

4 pelajar kepujian dan

4 pelajar lulus.

Sudah tentunya penyelaras program kspk berbangga "mendidik" anda.

Slip Keputusan

Untuk makluman rakan, slip keputusan tidak dihantar kepada kita.
Kawan2 yang nakkan slip keputusan, perlu datang mengambilnya ataupun menghantar sampul surat bersetem ke :

Unit Peperiksaan,
Institut Perguruan Perempuan Melayu,
Durian Daun,
75400 Melaka.

Thursday, January 3, 2008

Cari kawan di hujung jari

PERJALANAN kehidupan sering membawa seseorang ke arah dan haluan berbeza. Secara tidak langsung, ia turut menjarakkan sesebuah jalinan persahabatan.

Setiap individu yang muncul dalam kehidupan seseorang sebenarnya memberi sumbangan dalam kisah kehidupan mereka. Ada di antaranya memainkan peranan yang besar serta meninggalkan kesan mendalam dalam ingatan.

Apabila sesebuah persahabatan terlerai kerana masing-masing mengharungi jalan hidup berlainan yang sudah 'dicaturkan' buat mereka, jarang sekali jalinan persahabatan itu dapat bercantum semula, apatah lagi jika perpisahan berkenaan meniti jarak waktu yang panjang.

Ambil masa sejenak dan imbas semula zaman persekolahan anda. Berapa ramai rakan yang muncul di ingatan anda dan berapa ramai pula yang masih berhubungan dengan anda. Tidak begitu ramai bukan? Kadangkala, apabila kenangan dulu terlintas di fikiran, timbul rasa untuk mengetahui apakah khabar rakan lama itu dan apa agaknya yang mereka lakukan ketika ini. Bagi yang 'proaktif', ingatan yang hadir itu tidak dibiarkan berlalu begitu saja tetapi dijadikan penggerak untuk mereka menjejaki semula rakan yang pernah mengharungi suka duka bersama-sama mereka suatu ketika dulu.

Ketika penggunaan telefon bimbit belum meluas dan sebelum wujud internet berserta pelbagai kemudahan berupa laman sembang dan juga jaringan sosial di dalamnya, ramai yang merasakan sukar untuk mereka mengekalkan sesebuah ikatan persahabatan. Tamat persekolahan, hanya maklumat seperti alamat dan nombor telefon kediaman biasanya yang boleh diharapkan tapi bila jarang berhubung dan ada pula di antara rakan yang sudah berpindah ke tempat lain, persahabatan yang ada boleh terputus begitu saja. Karier, komitmen sosial dan keluarga adalah antara faktor yang selalunya membuatkan sesebuah jalinan persahabatan terputus.

Namun, sejak meluasnya penggunaan internet dan adanya medium seperti laman jaringan sosial yang boleh dikatakan menjadi suatu trend kebelakangan ini, ramai individu kini berasa 'terpanggil' untuk mencari semula rakan sekolah, sepermainan atau sekerja yang sudah lama tidak ditemui. Kata orang, walaupun semakin jauh perjalanan hidup dan semakin banyak persahabatan yang dijalinkan, rakan yang bersama-sama ketika meniti usia remajalah yang paling diingat-ingat kerana dengan merekalah bermacam pengalaman pahit manis mengenai kehidupan kita tempuhi dan pelajari.

Matlamat menjejak semula rakan lama biasanya subjektif. Sesetengah orang ingin menyambung semula hubungan persahabatan yang pernah terpisah, ada pula yang mahu mengimbas kisah menarik yang pernah dilalui bersama dan tidak kurang juga yang terdorong oleh rasa rindu selepas sekian lama tidak berjumpa. Bagi anda yang berhasrat untuk menjejak semula rakan lama, internet boleh dijadikan saluran untuk anda merealisasikannya.

Anda boleh memulakannya dengan menggunakan 'khidmat' enjin pencarian. Carian yang mudah dapat membantu anda. Ramai menyatakan enjin pencari popular seperti Google dan Yahoo! memudahkan usaha mereka mendapatkan maklumat terkini mengenai rakan lama. Ini kerana, sesebuah enjin pencarian mengandungi berbillion laman bermaklumat. Taip saja nama penuh atau nama panggilan rakan lama anda di enjin pencarian. Hasil pencarian itu berkemungkinan akan menemukan anda dengan maklumat seperti pekerjaan, tempat tinggal atau kegiatan yang dilakukannya sekarang ini. Jika tidak pun, tidak mustahil akan ada maklumat yang berguna untuk anda menjejaki rakan anda itu. Bagi maklumat yang lebih tepat, taipkan carian yang lebih terperinci. Laman seperti Classmates.com umpamanya, menjadi medan bagi lebih 40 juta pengguna (kebanyakannya di Amerika Syarikat dan Kanada) untuk mencari rakan, dari peringkat prasekolah sehinggalah ke universiti melalui maklumat seperti profil diri dan latar belakang akademik yang diisi setiap pemegang akaun ketika mendaftar.

Ramai yang berjaya bersatu semula dengan kumpulan rakan lama mereka dan dapat bersahabat seperti dulu. Di peringkat tempatan pula, ada beberapa laman jaringan sosial yang menjadi saluran, antaranya ekawan.com yang disertai 150,000 pengguna berdaftar dan membolehkan ahlinya berhubung dengan kenalan baru, rakan sekelas, rakan sekerja dan rakan yang telah lama terputus hubungan. Selain dua laman yang dinyatakan ini, terdapat banyak lagi laman jaringan sosial yang boleh menjadi ruang untuk anda menjejak semula rakan lama anda. Friendster.com. Myspace.com, Facebook.com atau pelbagai laman seumpamanya adalah antara contoh laman yang dilihat efektif dalam menghimpunkan komuniti atau jaringan rakan, baik yang lama mahupun yang baru. Penggunanya boleh mencari rakan lama mereka menerusi data profil seperti nama, sekolah yang pernah dihadiri ataupun hobi dan minat rakan lama mereka yang masih diingati.

Tidak dinafikan, proses ini akan mengambil sedikit masa lebih-lebih lagi jika kebanyakan rakan yang dicari itu tidak menyertakan maklumat yang tepat mengenai diri mereka ketika mendaftar di laman web tempat anda mencari mereka itu, namun apabila usaha gigih anda itu membuahkan hasil, ia tentunya bermakna buat diri anda dan rakan. Melalui laman seperti ini juga sebenarnya, anda boleh membuat pengumuman terbuka mengenai pencarian rakan lama anda itu. Mungkin ada pengguna lain di komuniti yang sama mengenali rakan yang anda cari itu Mungkin pada pandangan sesetengah anda, kehilangan rakan lama ini tidak memberi sebarang kesan pun dalam kehidupan mahupun masa depan. Namun, tidak salah rasanya jika anda pertimbangkan juga kelebihan yang diperoleh apabila bertemu semula dengan rakan lama. Pertemuan berkenaan barangkali boleh menjadi permulaan kepada sesuatu yang positif.

Contohnya, jika ada di antara rakan lama anda yang berjaya dalam sesuatu bidang yang kebetulan anda juga mempunyai minat mengenainya, anda boleh mendapatkan pandangan atau nasihat daripada mereka. Begitu juga dengan peluang pekerjaan atau perniagaan. Oleh kerana anda dan rakan sudah saling mengenali, mungkin lebih mudah bagi anda dan rakan untuk menjalankan sesebuah kerja atau perniagaan bersama. Apapun, anda tetap perlu berhati-hati dalam berkongsi maklumat diri dalam sesebuah laman web (biarpun bertujuan mencari rakan lama). Hanya kongsi maklumat yang dirasakan benar-benar perlu saja kerana apa saja maklumat yang dipaparkan di dunia siber menghadapi risiko untuk dieksploitasi pihak tidak bertanggungjawab. Mungkin banyak lagi manfaat dan keuntungan yang boleh diperoleh dan hanya diketahui sebaik saja anda dan rakan lama dapat bergandingan semula. Sebagai langkah pertama, sertailah laman komuniti di web yang anda rasakan 'strategik' dan bersedialah untuk bersatu semula dengan 'geng kamceng' anda dulu!

5 tips jejak insan dirindui SESEKALI mungkin anda tertanya-tanya apa agaknya yang rakan lama anda lakukan sekarang ini. Untungnya, kehadiran internet memudahkan kita menjejak semula rakan lama. Di sini terdapat beberapa langkah yang dapat membantu anda berhubung semula dengan rakan lama:

  • Fikirkan semula siapakah rakan lama yang sering anda kenang dan rindukan.
  • Gunakan medium yang ada di internet seperti laman web jaringan sosial atau laman web khusus untuk menghimpunkan rakan yang belajar di sekolah yang sama. Di samping itu, jangan lupa juga untuk menyemak buku panduan telefon.
  • Apabila sudah memperoleh maklumat yang boleh dipercayai (alamat atau nombor telefon), jangan teragak-agak untuk cuba menghubungi. Seseorang harus memulakan langkah pertama.
  • Pastikan sama ada rakan lama anda itu masih berminat untuk berkawan dengan anda. Cuba ajak rakan itu bertemu. Jika beliau kelihatan seperti tidak berminat, usah kecewa. Sekurang-kurangnya anda sudah berusaha.
  • Jika anda berjaya menghubungi dan bertemu semula dengan rakan lama anda, jadilah sahabat yang baik dan memahami. Apapun, beri mereka sedikit masa dan ruang untuk membiasakan diri dengan kemunculan anda di dalam hidup mereka semula. Hormati persahabatan berkenaan, kongsi sebanyak mana maklumat yang boleh dan tidak mustahil persahabatan yang terjalin kembali ini akan menjadi lebih baik daripada yang dulu.

Tuesday, January 1, 2008

Selamat tinggal ...

SEKEJAP sungguh 365 hari 2007 berlalu. Rasanya, baru saja menyambut ketibaan 1 Januari 2007, 1 Januari 2008 pula sudah hampir menjenguk.

Begitulah cepat masa berlalu. pejam celik pejam celik, apa yang sebenarnya kita lalui dan berjaya capai sepanjang 365 hari itu? Ini soalan biasa. Saban tahun soalan serupa kita utarakan. Saban tahun juga kita merangka pelbagai perkara baru menjelang tahun baru gara-gara tidak berpuas hati dengan apa yang dilalui selama ini.

Membuat azam memang mudah, tidak perlu diajar tetapi mencapainya memang payah. Ciptalah, senarailah 1,001 macam azam yang ingin dicapai tetapi jika tidak disertai usaha dan kesungguhan, ia akan menjadi sia-sia.

Selamat tinggal 2007 ...
Selamat datang 2008 ...

Selamat melayari blogg...

Bicara Buat Guru . . .

Jika hari ini seorang Perdana Menteri berkuasa
Jika hari ini seorang Raja menaiki takhta
Jika hari ini seorang Presiden sebuah negara
Jika hari ini seorang ulama yang mulia
Jika hari ini seorang peguam menang bicara
Jika hari ini seorang penulis terkemuka
Jika hari ini siapa saja menjadi dewasa;
Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa
Dengan lembut sabarnya mengajar tulis-baca.

Satu gelaran atau status yang dianggap tinggi dan mulia di sisi masyarakat. Cikgu atau guru ni seperti satu gelaran yang hebat. Maklumlah, tanpa guru siapalah anda semua. Angkasawan Malaysia yang pertama pun pergi ke angkasa dengan menuntut ilmu dengan guru-guru.

Tuntutlah ilmu walau sampai negara china sekalipun. Ini membayangkan anda semua bahawa untuk mendapatkan ilmu itu kita perlu menjelajahi seluruh pelusuk dunia. Yang kita cari itu ilmu, tetapi kita perlu menuntut dengan berbantukan guru. Tanpa guru, kita tak tahu apa itu ABC dan 123. Dan anda semua takkan dapat membaca blog ini tanpa mengenal ABC. Betul tak?

Sekarang ni, Tuntutlah ilmu sampai ke negara china sekalipun perlu kita hayati. Guru-guru sekarang semakin kurang dihormati. Pelajar-pelajar sekarang langsung tidak menghormati guru sebagai pendidik mereka, apatah lagi sebagai orang yang lebih tua dari mereka. Banyak kes-kes yang kebelakangan ini menyalahkan guru sebagai penyebabnya. Adakah ini wajar?Sebagai orang yang berakal dan berfikiran waras, fikirlah sendiri.

Ada sebuah sajak Perdana Menteri Malaysia(Abdullah Ahmad Badawi) menyatakan,

Aku cari bukan harta bertimbun-timbun,
Untuk hidup kaya,
Aku cari bukan wang berjuta-juta,
Untuk hidup bergaya,
Aku cari bukan kawan-kawan,
Untuk hidup sekadar berfoya-foya,
Aku cari mana dia Al-Ghazali,
Aku cari mana dia Al-Shafie,
Kita bongkar rahsia kitab suci,
Cari panduan,
Kita bongkar rahsia sunah Nabi,
Cari pedoman,
Aku hidup kerana Dia Rabbi,
Dialah teman,
Dialah wali,
Dia mencukupi,
Aku hidup bererti,
Menikmati damai abadi.

Renung-renungkanlah