Friday, November 30, 2007

‘Makcik PC’ ternipis di dunia

KUALA LUMPUR 30 Nov. – Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini melancarkan komputer ternipis di dunia hasil ciptaan terkini Mimos Bhd. (Mimos) yang dikenali sebagai ‘Makcik PC’.
Perdana Menteri menyifatkan kejayaan Mimos menghasilkan komputer tablet itu sebagai bukti keupayaan syarikat tempatan dalam bidang teknologi maklumat dan komunikasi (ICT).
Beliau juga yakin produk tersebut mampu melonjakkan nama Malaysia di peringkat global.
‘‘Sebelum terciptanya komputer ini, saya pernah meminta Mimos mencipta satu komputer yang murah dan mudah pada Ogos lalu untuk digunakan oleh semua peringkat umur masyarakat termasuk warga emas.
‘‘Akhirnya terciptalah komputer yang dikenali dengan ‘Makcik PC’ ini. Saya bangga dengan keupayaan Mimos menghasilkan satu komputer yang boleh memberi manfaat kepada semua lapisan masyarakat,’’ katanya.
Beliau berkata demikian ketika melancarkan produk itu semasa merasmikan Pameran dan Persidangan Inovasi Kebangsaan (NICE) 2007 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.
Perdana Menteri menyifatkan komputer itu amat istimewa dan mudah digunakan oleh semua golongan masyarakat.
Abdullah memberitahu, beliau terdorong mencadangkan kepada Mimos untuk menghasilkan sebuah komputer seumpama itu kerana mahu rakyat negara ini mampu memiliki sebuah komputer.
Komputer seberat kurang 800 gram yang dilengkapi dengan gajet terkini seperti WiFi, bluetooth dan jaringan Wimax sebagai sambungan rangkaian Internet tanpa wayar itu akan dijual di antara AS$160 (RM537) dan AS$300 (RM1,008) seunit.
Abdullah percaya harganya yang berpatutan membolehkan lebih ramai mampu memilikinya dan dengan itu jurang digital di kalangan masyarakat khususnya luar bandar dapat dikurangkan.
‘‘Saya percaya komputer ini akan menarik lebih ramai rakyat mendalami ilmu ICT,’’ ujarnya.
Selain untuk pasaran tempatan, komputer tersebut juga kata beliau, boleh dieksport ke luar negara.
Sementara itu, Abdul Wahab berkata, komputer itu dibangunkan agar boleh digunakan oleh semua peringkat umur.
‘‘Mimos akan bekerja dengan peserta industri untuk mengkomersialkan produk ini dalam tiga model untuk digunakan suri rumah, pelajar dan peniaga kecil,” katanya.
Mimos belum dapat menjangkakan bilakah komputer tersebut akan berada di pasaran.

Kalori dan Faktanya

A. Apa itu kalori?
Kalori adalah unit untuk mengukur tenaga.

B. Adakah badan perlukan kalori?
Ya, badan perlukan kalori untuk menjana tenaga, tetapi jika ia diambil (dimakan) terlalu banyak dan tidak dibakar, ia akan ditukar menjadi lemak dan disimpan dalam badan, ini akan menyebabkan pertambahan berat badan dan membahayakan kesihatan.

C. Macam mana saya hendak kira kalori dalam makanan?
Biasanya setiap produk yang dijual ada kiraan kalorinya di bahagian "Maklumat Pemakanan" dan kiraan juga boleh dibuat dengan mendarab berat dalam "gram" nutrisi berikut dengan nombor pekali yang disenaraikan.
Karbohidrat: Didarab dengan 4 kalori setiap gram
Protein: Didarab dengan 4 setiap gram
Lemak: Didarab dengan 9 setiap gram.
Contoh: Satu hidangan Sos Cili yang mengandungi;
Karbohidrat-53g (53g X 2 = 106 Kalori)
Protein-1g (1g X 4 = 4 Kalori)
Gula (juga Karbohidrat)-16g (16g X4 = 64 Kalori)
Jadi satu tuangan Sos Cili bernilai 174 kalori!

D. Berapa kalori diperlukan oleh lelaki dan wanita dewasa dalam sehari?
Lelaki: 2000-2500 kaloriWanita: 1600-2000 kalori

E. Apa akan berlaku jika saya makan lebih pada itu?
Setiap 8000 kalori yang terkumpul (tidak dibakar) akan menaikkan 1kg berat badan.

F. Berapa kalori dalam makanan orang Malaysia?
Kategori: Kuih Muih
1. Kasui berkelapa parut (sekeping) = 160 kalori
2. Kuih lapis (sekeping) = 130 kalori
3. Bingka ubi (sekeping) = 220 kalori
4. Cekodok Pisang (sebiji sederhana) = 180 kalori
5. Popia goreng (satu) = 130 kalori
6. Popia basah (satu) = 95 kalori
7. Pisang goreng (sekeping) = 170 kalori
8. Kek biasa tanpa krim (sepotong) = 87 kalori
9. Karipap (sebiji) = 130 kalori
10. Sandwich sardin (sekeping) = 70 kalori
11. Bubur kacang (semangkuk) = 100 kalori

Kategori: Lauk Pauk
1. Ikan kembong kari berkuah (seekor) = 85 kalori
2. Ikan tenggiri goreng bercili (sepotong) = 142 kalori
3. Ikan kembong goreng (seekor) = 140 kalori
4. Ikan senangin masam manis berkuah (sepotong) = 210 kalori
5. Daging lembu kari berkuah (2 kotak mancis) = 130 kalori
6. Ayam kari berkuah (sepotong) = 250 kalori7. Ayam goreng (sepotong) = 255 kalori
8. Ayam tandoori (sepotong) = 220 kalori
9. Sambal udang (setengah cawan) = 70 kalori
10. Sambal sotong (setengah cawan) = 55 kalori
11. Telor goreng (sebiji) = 110 kalori
12. Taukua goreng (sekeping) = 110 kalori
13. Kacang panggang dalam tin (2 sudu makan) = 40 kalori

Kategori: Makanan Rutin
1. Nasi putih (satu setengah cawan) = 260 kalori
2. Nasi lemak bersambal (sepinggan) = 400 kalori
3. Nasi goreng bertelur (sepinggan) = 635 kalori
4. Nasi briyani berayam (sepinggan) = 880 kalori
5. Nasi minyak kosong (sepinggan) = 445 kalori
6. Nasi ayam kosong (sepinggan) = 300 kalori
7. Mee goreng kosong (sepinggan) = 660 kalori
8. Mee sup (semangkuk) = 380 kalori
9. Mee hoon goreng (sepinggan) = 550 kalori
10. Roti putih (2 keping) = 156 kalori
11. Roti canai kosong tanpa kuah (sekeping) = 200 kalori
12. Capati tanpa kuah (sekeping) = 180 kalori
13. Pau ayam (sebiji) = 203 kalori
14. Emping jagung kosong (secawan) =160 kalori

Kategori: Makanan Segera
1. Peha ayam goreng (satu) = 130 kalori
2. Nugget ayam (satu) = 60 kalori
3. Kentang lecek (satu tub kecil) = 90 kalori
4. Sayur kobis hancur (satu tub) = 75 kalori
5. Burger keju (satu) = 425 kalori
6. Kentang goreng (satu kantung kecil) = 405 kalori
7. Sate ayam (secucuk) = 35 kalori
8. Pizza berkeju (sepotong) = 240 kalori

Kategori: Buah-buahan
1. Tembikai (sepotong) = 20 kalori
2. Betik (sepotong) = 45 kalori
3. Pisang emas (2 biji) = 76 kalori
4. Durian (5 ulas) = 64 kalori
5. Limau (sebiji) = 42 kalori
6. Jambu batu (sebiji) = 110 kalori
7. Nenas (sepotong) = 59 kalori
8. Epal (sebiji) = 63 kalori
9. Ciku (sebiji) = 44 kalori
10. Mangga (sebiji) = 103 kalori

G. Berapa yang selalunya orang dewasa makan sehari?
Makan Pagi: Nasi lemak bersambal (400 kalori) + Telor mata kerbau (21 kalori) + Teh Tarik (120 kalori) = 541 kalori

Pukul 10 pagi: Kuih karipap 3 biji (390 kalori) + Teh O (20 kalori) = 410 kalori

Makan tengahari: Nasi 3 cawan (420 kalori) + Ayam kari (250 kalori) + Dalca Sayur setengah cawan (150 kalori) + Air Tembikai (80 kalori) = 900 kalori

Minum petang: Kopi susu (120 kalori) + Popia Goreng 3 biji (390 kalori) = 510 kalori

Makan Malam: Nasi 3 cawan (420 kalori) + Ikan Tenggiri Masak Merah (142 kalori) + Kangkong goreng belacan (120 kalori) = 682 kalori
Jumlah (541 + 410 + 900 + 510 + 682) = 3043 kalori.

H. Apa akan berlaku jika tabiat makan kita seperti di atas berlarutan selama setahun?
Jika lelaki bakar 2500 kalori tetapi makan 3043 kalori sehari maka mereka akan simpan 543 kalori setiap hari sebagai lemak. 543 X 365 hari = 198, 195 kalori setahun disimpan. Jadi dalam setahun berat akan meningkat sebanyak 24.77kg!! (198,195 / 8000).

I. Bagaimana untuk bakar kalori?
Tingkatkan aktiviti harian, berjalan pantas, naik turun tangga, cuci kereta, bersukan, senaman. Kurangkan menonton TV atau bermain permainan komputer kerana badan hanya membakar 1 kalori seminit jika kita beraktiviti seperti ini dan ia sama nilai dengan kalori yang dibakar semasa tidur!

J. Berapa kalori dibakar dengan aktiviti yang kita lakukan?
Kalori yang dibakar bergantung pada berat badan dan ketumpatan tubuh seseorang.
Berikut adalah kiraan kalori yang dibakar seorang yang seberat 68kg beraktiviti selama sejam.
1) Menonton TV = 40 kalori
2) Berjalan pantas = 300 kalori
3) Bermain bola keranjang (agresif) = 450 kalori
4) Mengemas rumah = 240 kalori
5) Berkebun = 320 kalori
6) Bermain golf (bawa sendiri Club) = 385 kalori
7) Berbasikal statik = 380 kalori
8) Erobik = 405 kalori
9) Ping Pong = 280 kalori

Keistimewaan OKU



Pelbagai kelebihan dan keistimewaan

tersembunyi untuk OKU yang tidak

diketahui ramai.


1. Kemudahan Pendidikan:
KPM menyediakan kelas Pendidikan Khas - untuk masalah cacat penglihatan, pendengaran dan bermasalah pembelajaran. Kerajaan juga adakan pengecualian bayaran pendaftaran utk pelajar cacat pendegaran yg mengikuti latihan kemahiran di institusi pengajian kelolaan KPM. Pelajar yang berjaya juga akan mendapat elaun sebayak RM300.00 sebulan.

2. Kemudahan dalam aktiviti harian:
JKM memainkan peranan agar perjalanan aktiviti harian OKU berjalan lancar. "Kod Amalan Akses Bagi OKU ke bangunan awam. Oleh itu, bangunan awam telah disediakan "ram" dan "railings", laluan yang bersesuaian dengan kerusi roda, lif khas dengan rekabentuk sesuai, tempat letak kereta, tanda khas dan sebagainya.

3. Kemudahan dan galakan pelepasan cukai:
:: Ada pelepasan pengecualian cukai bagi ibubapa yang mempunyai anak OKU dibawah umur 18 tahun.
:: Majikan mendapat potongan cukai berganda yang memiliki pekerja OKU.
:: Mendapat ribet cukai kepada pembayar cukai yang membeli alat-alat khas utk kegunaan sendiri, anak2 atau ibubapa yang OKU.
:: Mendapat potongan cukai utk diri sebanyak RM5000.00 dan potongan utk isteri sebayak RM3000.00

4. Kemudahan Pengangkutan Awam:
Syarikat pengangkutan akan memberikan konsesi kepada OKU. Syarikat Penerbangan Malaysia, KTM, Bas Transnasional, PUTRA-LRT memberikan potongan sebanyak 50%.

5. Kemudahan Perumahan
DBKL menyediakan penyewaan rumah2 kos rendah atau rumah pangsa DBKL dengan pengurangan kadar sewa kepada OKU.

6. Pengecualian Bayaran Rawatan Perubatan:
OKU dikecualikan bayaran utk hospital kerajaan sahaja

7. Pengecualian Bayaran Dokumen Perjalanan:
Jabatan Imigresen menegcualikan bayaran bayaran ke atas perkhidmatan menyedia dan memproses dokumen perjalanan (paspot antarabangsa)

8. Kemudahan Peluang Pekerjaan:
:: Ada pekeliling Perkhidmatan Bil. 10/1988 yang telah dikeluarkan di mana kouta 1% peluang pekerjaan di sektor awam diperuntukkan kepada OKU.
:: Sektor swasta, ada Kod Amalan Penggajian Oran Kurang Upaya sebagai garis panduan untuk menerima pakai pekerja di kalangan OKU
:: OKU perlu membuat pendaftaran di Jabatan Buruh.

9. Pengecualian Duti Eksais:
OKU yang membeli kereta/motosikal nasional yang baru, akan mendapat pengecualian 50% duti eksasis dan perlu memohon secara bertulis Kepada :

Ketua Setiausaha Perbendaharaan,
Bahagian Analisis Cukai,
Tingkat 6 & 7, Blok Tengah,
Kompleks Kementerian Kewangan,
Presint 2, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62592 Putrajaya.

10. Kemudahan Alat Ganti OKU:
Kerajaan memberikan pengecualian duti impot dan cukai jualan ke atas semua peralatan direka khas untuk kegunaan OKU

11. Pencen Terbitan:
Kerajaan melalui JPA menyediakan pencen terbitan kepada anak/tanggungan penjawat awam yang meninggal dunia.

12. Kemudahan Mendapat Latihan dan Pemulihan:
JKM menyediakan program latihan kemahiran dan pemulihan diri di institusi Jabatan utk OKU. Setakat ini, perkhidmatan yg disediakan ialah untuk OKU kecacatan fizikal dan akal (bermasalah pembelajaran) sahaja.

13. Kemudahan Geran Pelancaran:
JKM membantu OKU yang berpenapatan kecil yang ingin memulakan perniagaan kecil dan memberikan geran maksimum RM2,700.00

14. Kemudahan Telekom:
Insentif disediakan ialah:- Bayaran sewa dikecualikan- Panggilan 103 (operator) tiada caj- Panggilan menunggu atau pindahan secara percuma- Strymex - RM66.00 sebulan secara unlimited.

Ingatlah Wahai Rakanku

Ini adalah tanda pertama dari Allah SWT kepada hambanya dan hanya akan disedari oleh mereka yang dikehendakinya. Walau bagaimanapun semua orang Islam akan mendapat tanda ini cuma samada mereka sedar atau tidak sahaja.

Tanda ini akan berlaku lazimnya selepas waktu Asar. Seluruh tubuh iaitu dari hujung rambut sehingga ke hujung kaki akan mengalami getaran atau seakan-akan mengigil.

Contohnya seperti daging lembu yang baru saja disembelih dimana jika diperhatikan dengan teliti kita akan mendapati daging tersebut seakan-akan bergetar. Tanda ini rasanya lazat dan bagi mereka yang sedar dan berdetik dihati bahawa mungkin ini adalah tanda mati maka getaran ini akan berhenti dan hilang setelah kita sedar akan kehadiran tanda ini.

Bagi mereka yang tidak diberi kesedaran atau mereka yang hanyut dengan kenikmatan tanpa memikirkan soal kematian, tanda ini akanlenyap begitu sahaja tanpa sebarang munafaat. Bagi yang sedar dengan kehadiran tanda ini maka ini adalah peluang terbaik untuk memunafaatkan masa yang ada untuk mempersiapkan diri dengan amalan dan urusan yang akan dibawa atau ditinggalkan sesudah mati.

TANDA 40 HARI

Tanda ini juga akan berlaku sesudah waktu Asar. Bahagian pusat kita akan berdenyut-denyut. Pada ketika ini daun yang tertulis nama kita akan gugur dari pokok yang letaknya diatas Arash Allah SWT. Maka Malaikat Maut akan mengambil daun tersebut dan mula membuat persediaannya ke atas kita, antaranya ialah ia akan mula mengikuti kita sepanjang masa. Akan terjadi Malaikat Maut ini akan memperlihatkan wajahnya sekilas lalu dan jika ini terjadi, mereka yang terpilih ini akan merasakan seakan-akan bingung seketika. Adapun Malaikat Maut ini wujudnya cuma seorang tetapi kuasanya untuk mencabut nyawa adalah bersamaan dengan jumlah nyawa yang akan dicabutnya.

TANDA 7 HARI

Adapun tanda ini akan diberikan hanya kepada mereka yang diuji dengan musibah kesakitan di mana orang sakit yang tidak makan secara tiba-tiba ianya berselera untuk makan.

TANDA 3 HARI

Pada ketika ini akan terasa denyutan dibahagian tengah dahi kita iaitu di antara dahi kanan dan kiri. Jika tanda ini dapat dikesan maka berpuasalah kita selepas itu supaya perut kita tidak mengandungi banyak najis dan ini akan memudahkan urusan orang yang akan memandikan kita nanti. Ketika ini juga mata hitam kita tidak akan bersinar lagi dan bagi orang yang sakit hidungnya akan perlahan-lahan jatuh dan ini dapat dikesan jika kita melihatnya dari bahagian sisi. Telinganya akan layu dimana bahagian hujungnya akan beransur-ansur masuk ke dalam.Telapak kakinya yang terlunjur akan perlahan-lahan jatuh ke depan dan sukar ditegakkan.

TANDA 1 HARI

Akan berlaku sesudah waktu Asar di mana kita akan merasakan satu denyutan di sebelah belakang iaitu dikawasan ubun-ubun di mana ini menandakan kita tidak akan sempat untuk menemui waktu Asar keesokan harinya.

TANDA AKHIR

Akan berlaku keadaan di mana kita akan merasakan satu keadaan sejuk di bahagian pusat dan ianya akan turun ke pinggang dan seterusnya akan naik ke bahagian halkum. Ketika ini hendaklah kita terus mengucap kalimah syahadah dan berdiam diri dan menantikan kedatangan malaikat maut untuk menjemput kita kembali kepada Allah SWT yang telah menghidupkan kita dan sekarang akan mematikan pula. Sesungguhnya mengingati mati itu adalah bijak.


Walimatul urus bukan pesta!

BAGI setiap pasangan yang diijab kabul, mereka diraikan dalam majlis kenduri kahwin atau disebut walimatul urus kerana melalui majlis inilah perkahwinan pasangan terbabit diketahui ramai pihak, sekali gus mengelak prasangka buruk terhadap mereka.

Majlis kenduri kahwin dianjurkan agama dan hukumnya sunat. Justeru, sesuailah dengan amalan yang dilakukan masyarakat hari ini, apabila ada perkahwinan diadakan majlis kenduri dengan dijemput orang ramai menghadirinya. Dari Anas bin Malik r.a menyebut Rasulullah s.a.w melihat di kepala Abdul Rahman bin Auf kesan kuning, lalu baginda bertanya: “Kesan apakah ini? Abdul Rahman menjawab: “Wahai Rasulullah aku sudah berkahwin dengan seorang perempuan bermaskahwinkan satu nawah iaitu timbangan sebanyak lima dirham emas.” Baginda mendoakan keberkatan untuk Abdul Rahman bin Auf dan berkata: “Buatlah kenduri walaupun dengan seekor kambing.” (Muttafaqun alaih) Tetapi dalam situasi kebelakangan ini, sesetengah majlis kenduri kahwin seolah-olah menjadi arena untuk menunjuk-nunjuk dan bersuka ria, diadakan besar-besaran di hotel mewah, membabitkan tetamu istimewa saja dan bercampur dengan unsur maksiat. Apakah ini bentuk walimatul urus dalam Islam? Penceramah bebas, Mohd Rani Awang Besar, berkata umat Islam sepatutnya bersederhana apabila mengadakan majlis itu, sesuai dengan nasihat Rasulullah s.a.w kepada umatnya supaya bersederhana dalam semua perkara.


Amalan sederhana itu katanya, bertujuan mengelak pembaziran dan unsur maksiat dalam majlis kenduri berkenaan.Gesaan bersederhana ini sesuai dengan ayat 26 surah al-Isra' bermaksud: “Berikanlah kepada kerabatmu, orang miskin dan orang musafir hak masing-masing dan janganlah kamu berbelanja dengan sangat boros.”Menurutnya, majlis kenduri terbabit boleh menjadi majlis yang diberkati jika bertepatan dengan anjuran Islam, tetapi sebaliknya menjadi majlis terkutuk apabila bercampur aduk dengan maksiat.“Bagi memastikan walimah yang diberkati Allah, pertama, kena menggunakan sumber rezeki yang halal, iaitu wang yang digunakan untuk majlis terbabit tidak diperoleh melalui cara haram.“Majlis yang diadakan itu juga perlu jauh daripada unsur riak iaitu menunjuk-nunjuk dan bertujuan berbangga-bangga dengannya,” katanya.Mohd Rani menegaskan, walimah urus bukanlah suatu majlis untuk berpesta dan bersukaria tidak menentu, malah ia adalah satu bentuk ibadat diperintah Allah yang perlu diadakan sebaik mungkin mengikut anjuran agama.“Elak daripada bercampur dengan unsur yang diharamkan, tidak melalaikan, tiada percampuran bebas antara lelaki dan perempuan, tiada lagu yang melalaikan dan benda lain yang tidak baik.


“Ulama besar yang warak dulu tidak menghadiri majlis kenduri apabila ada bunyi gong atau gendang, kerana mereka tidak mahu dilalaikan benda seperti itu,” katanya.Beliau menjelaskan, apabila mengadakan majlis kenduri kahwint jangan sampai berhutang sebaliknya buat mengikut kemampuan.“Tetapi bagi orang berada, tiada masalah untuk mengadakan walimah besar-besaran dengan syarat menepati dengan anjuran Islam, menjemput semua orang termasuk orang miskin supaya matlamat walimah tercapai, memupuk persefahaman dan perkenalan,” katanya.Mohd Rani berkata, masyarakat juga perlu mengelak daripada menjadikan walimatul urus seolah-olah satu bentuk komersial dengan menetapkan bayaran tertentu apabila mahu menghadirinya.“Majlis ini perlu dilakukan dengan ikhlas.


Tetamu juga perlu ikhlas dan apabila ada sumbangan atau hadiah kepada pasangan pengantin terbabit hulurkan dengan niat sedekah sebagai satu ibadat.“Orang dulu membantu pihak yang mengadakan walimah dengan membawa sedikit bahan makanan seperti gula,” katanya sambil mengingatkan pihak yang mengadakan walimah supaya tidak memaksa atau memandang sinis kepada tetamu yang tidak menghulurkan sumbangan.Menjadikan hadiah atau pemberian wang sebagai satu kemestian adalah menyusahkan tetamu terutama golongan miskin, malah berlawanan dengan roh Islam.Sementara itu, menurut Datuk Daud Che Ngah, sesetengah majlis kenduri kahwin kini tidak menepati anjuran agama kerana majlis dihadiri golongan tertentu saja iaitu orang kaya sesama orang kaya, manakala yang miskin diabaikan malah program kebaratan.“Orang yang mengadakan kenduri dengan menjemput orang kaya saja manakala orang miskin tidak dijemput, kenduri itu kenduri terburuk. “Jika panggil orang besar, hebat, saya ingat orang itu saja yang tahu, orang kampung tidak tahu.


Ramai yang mengadakan kenduri perkahwinan kerana bangga dan riak (menunjuk-nunjuk),” katanya.Dari Abu Hurairah r.a katanya, Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: “Makanan yang paling buruk adalah makanan walimah apabila orang yang perlu makan (si miskin) tidak diundang malah orang yang tidak perlu (orang kaya) diundang.” (Muslim) Katanya, dalam perkahwinan boleh mengadakan kenduri tetapi jangan terlalu mewah, bercampur maksiat dan terdedah aurat.

Alat tiruan harga tulen

Awas apabila membeli komponen alat ganti kereta nasional Proton dan Perodua. Ia kemungkinan diklonkan di China hasil kegiatan sindiket tertentu di negara ini.Kerja mengklonkan komponen itu cukup mudah — hanya hantar sampel tulen seperti penyerap hentak, palam pencucuh, cakera brek, penutup klac dan pelbagai komponen lain kepada dalang di China sebelum kilang di negara itu mengeluarkan alat ganti tiruan secara besar-besaran.

Produk tiruan itu dihantar semula ke Malaysia menggunakan kontena tanpa diisytiharkan secara terperinci alat ganti terbabit. Sindiket di Malaysia yang menerima penghantaran kargo itu pula akan membuat pembungkusan tertera jenama Proton Genuine Parts (alat ganti tulen Proton) serta pelekat kod bar dan logo Proton dan Perodua menyamai pelekat tulen.
Tanpa pengetahuan pelanggan, syarikat pembekal alat ganti yang memperoleh produk itu pada harga murah daripada sindiket terbabit menjualnya mengikut harga produk tulen.

Kebanyakan pelanggan hanya menyedari mereka tertipu apabila alat ganti tiruan yang dipasang mengalami kerosakan mendadak.Hasil maklumat yang diperoleh, sepasukan pegawai Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Putrajaya diketuai Penolong Pengarah Pasukan Petugas Khas (Perihal Dagangan) Barang Tiruan, Rosley Abdullah menjejaki sindiket terbabit. Sebelas anggota pasukan itu menyerbu kedai tiga tingkat di Taman Muda di sini, yang disyaki menjual pelbagai alat ganti kereta tiruan dan aksesori pada jam 3 petang semalam. Rosley berkata, ketika pihaknya membuat serbuan terdapat 10 pekerja sibuk melayan pelanggan di kaunter.

Menurutnya, hasil siasatan mendapati ratusan kotak alat ganti kereta tiruan Proton dan Perodua disimpan di tingkat satu, dua dan tiga kedai itu. “Siasatan mendapati semua komponen alat ganti tiruan itu diperoleh daripada pihak tertentu lebih setahun lalu. “Antara alat ganti kereta tiruan ditemui ialah penapis minyak enjin, penapis angin, penutup klac, palam pencucuh, cakera brek, penyerap hentak dan pelbagai komponen tiruan lain,” katanya yang menganggap sukar untuk dibezakan dengan produk tulen berikutan menggunakan kotak sama keluaran syarikat pengeluar alat ganti kereta sah.

Sebanyak 24 jenis alat ganti tiruan Proton dan 12 jenis alat ganti tiruan Perodua dijual di kedai itu.Untuk mengaburi pelanggan, kata Rosley, pemilik kedai terbabit meletakkan alat ganti tulen di bahagian hadapan premis. Pemilik kedai itu biasanya menunjukkan alat ganti tulen di kaunter tetapi akan ditukarkan dengan alat ganti tiruan yang disimpan di belakang kedai tanpa disedari pelanggan. Semua alat ganti tiruan terbabit dianggarkan bernilai hampir RM100,000 mengikut harga pasaran.“Pembeli yang menjadi mangsa tidak menyedari penipuan licik terbabit berikutan sukar mengenal pasti perbezaan antara alat ganti palsu dan tiruan,” katanya. Rosley berkata, walaupun alat ganti tiruan terbabit sukar dibezakan, kerjasama tiga pegawai syarikat Proton dan Perodua yang turut sama menyertai serbuan itu mengenal pasti identiti serta ciri-ciri alat ganti palsu terbabit. “Sindiket didapati masih terus mengeluarkan alat ganti tiruan kerana menyedari model kereta Proton dan Perodua paling popular di negara ini,” katanya.

Beliau berkata, KPDNHEP kini memburu anggota sindiket yang membekalkan alat ganti tiruan kepada kebanyakan kedai di seluruh negara. Menurutnya, pemilik kedai terbabit akan didakwa mengikut Seksyen 3(1)(B) Akta Perihal Dagangan 1972 yang boleh membawa hukuman denda RM250,000. “Penggunaan alat ganti tiruan pada kenderaan membahayakan nyawa pengguna berikutan kualiti produk yang rendah selain tidak mencapai piawaian,” katanya.

Tali Pinggang Keledar Diwajib Kepada Penumpang Tempat Duduk Belakang

Pemakaian tali pinggang keledar untuk penumpang tempat duduk belakang kenderaan akan diwajibkan mulai tahun depan sebagai usaha meningkatkan keselamatan dalam kenderaan, kata Ketua Pengarah Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR), Datuk Suret Singh.Beliau berkata berdasarkan kajian oleh Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya (Miros) baru-baru ini, pemakaian tali pinggang keledar bagi penumpang tempat duduk belakang dapat mengurangkan risiko kecederaan jika berlaku kemalangan.

Katanya ia sejajar dengan usaha kerajaan yang mahu memastikan penurunan kadar kemalangan jalan raya dapat terus dilakukan pada tahun-tahun akan datang."Kajian Miros mengenai keperluan pemakaian tali pinggang keledar untuk penumpang tempat duduk belakang sudah siap dan akan dibentangkan dalam mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Keselamatan Jalan Raya untuk kelulusan tidak lama lagi."Pelaksanaannya tidak menjadi masalah kerana ia hanya perlu pindaan kecil kepada Peraturan Tali Pinggang Keledar di bawah Akta Pengangkutan Jalan dan tidak perlu di bawa ke Parlimen kerana ia dibawah bidang kuasa Kementerian Pengangkutan," katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.Turut hadir ialah Ketua Pengarah Miros, Prof Dr Radin Umar Radin Sohadi dan Pengarah Penguatkuasa Jabatan Pengangkutan Jalan, Salim Parlan.

Sebelum ini, Menteri Pengangkutan Datuk Seri Chan Kong Choy berkata kementeriannya akan membentangkan kertas cadangan bagi mewajibkan pemakaian tali pinggang keledar untuk penumpang tempat duduk belakang bagi meningkatkan keselamatan dalam kenderaan.Sehubungan itu, penumpang yang tidak mematuhi peraturan itu akan disaman seperti pemandu dan penumpang hadapan.Di samping itu, Suret berkata pihaknya akan mempertingkatkan lagi kempen pemakaian tali pinggang keledar untuk penumpang tempat duduk belakang.

Pisang Goreng Dan Cucur Udang Digemari Orang Turki

Pisang goreng dan cucur udang ialah makanan ringan di kalangan rakyat Malaysia tetapi bagi orang Turki, makanan kegemaran itu dianggap luar biasa.Mereka mendapat maklumat langsung mengenai makanan ringan itu apabila Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC) menyertai Pameran Produk Makanan Antarabangsa ke-15 mulai 31 Okt hingga 3 Nov di Istanbul, Turki.Kira-kira 400 syarikat dari lebih 50 negara mengambil bahagian dalam pameran itu.Pengarah Wilayah Asia Barat MPOC Ahmad Zafri Zawawi berkata para pengunjung ke pameran itu terpesona mendapati pisang boleh digoreng dan udang dan tepung boleh menjadi makanan ringan yang enak.Katanya MPOC telah mengadakan demonstrasi memasak makanan ringan yang menggunakan minyak sawit, yang disambut baik oleh para pengunjung, terutamanya rakyat Turki yang tidak didedahkan kepada makanan Asia."Ia menjadi pembuka mata kepada mereka.

Demonstrasi itu juga menjadikan mereka lebih prihatin bahawa minyak sawit boleh juga digunakan untuk memasak," katanya kepada Bernama di sini.Sungguh pun minyak sawit terkenal di Turki, katanya ia tidak banyak digunakan untuk memasak."Kira-kira 300,000 tonne minyak sawit dieksport ke Turki setiap tahun dan daripada ini, 200,000 tonne digunakan bagi pelemak makanan dan majerin dan selebihnya bagi produk lain seperti sabun," kata Zafri, yang berpangkalan di sini.Katanya demonstrasi memasak itu menarik sambutan pelawat dan mewujudkan kesedaran di kalangan mereka yang minyak sawit boleh digunakan untuk memasak selain dari minyak bunga matahari dan kacang soya.MPOC menyertai pameran itu untuk mempamerkan dan mempromosikan minyak sawit dan produknya kepada usahawan dan pengguna bukan sahaja di Turki tetapi juga negara jirannya."Matlamat utama ialah mewujudkan dan dan meluaskan hubungan dengan peserta industri utama di Turki dan Timur Tengah dan untuk menilai pasaran minyak sawit dan potensinya bagi pengembangan," katanya.

Zafri berkata Turki ialah sebuah pasaran penting bagi minyak sawit Malaysia, seperti terbukti oleh peratusan yang tinggi jumlah import minyak dan lelemaknya.Katanya MPOC menerima kira-kira 60 pertanyaan termasuk dari pelawat perdagangan berhubung dengan bekalan minyak sawit pada pameran itu.Katanya Turki juga berminat terhadap biodiesal dan membuat pertanyaan mengenai bahan bakar itu.Biodiesel ialah campuran diesel petroleum dan sebarang minyak sayuran seperti kacang soya, biji sesawi dan minyak sawit.

Thursday, November 29, 2007

Sembang-sembang

Tentang orang-orang yang hadir dalam hidup kita. Yang kadang-kadangnya bertujuan, kadang-kadang pula bermusim atau mungkin juga untuk sepanjang hayat! Jika kita sudah mampu untuk membacanya, mudahlah untuk kita berkawan dengan sesiapa jua. Tidak timbul masalah ditinggalkan/dipinggirkan/diabaikan oleh kawan. Tidak juga timbul masalah untuk menentukan siapa kawan, teman atau sahabat.Jika yang datang itu bertujuan. Dia seringkali menepati apa yang kita cari. Dia akan membantu dalam susah dan senang, akan membimbing dan menyokong kita dari belakang. Dia di sisi sebagaimana yang kita inginkan. Kemudian, tanpa sebarang perselisihan faham atau mungkin kerana masa yang tidak mengizinkan, dia akan berkata atau melakukan sesuatu untuk meninggalkan kita. Mungkin kerana waktunya sudah sampai (mati), atau sekadar meninggalkan kita begitu saja. Atau mungkin juga meninggalkan kita untuk memberikan kita ruang untuk bertanya dan bermuhasabah diri setelah sesuatu perkara yang diperkatakannya memerlukan kita mengambil waktu untuk berfikir.Jika yang datang itu bermusim. Dia tentunya hadir kerana giliran kita untuk berkongsi dan belajar sesuatu melaluinya telah tiba atau tertulis. Melaluinya, kita akan menikmati ketenangan. Kita akan terhibur dengan gelagat dan gurau-sendanya. Atau mungkin juga, dia akan mengajar kita tentang sesuatu yang tidak pernah seumur hidup kita lakukan (atau terfikir untuk lakukan!). Biasanya, orang yang datangnya bermusim ini akan memberikan sesuatu (kemeriahan/kesedihan/ketenangan) yang sungguh luar biasa! Namun cuma untuk semusim...atau mungkin untuk beberapa episod/musim dalam hidup kita.Jika yang datang itu kekal sepanjang hayat. Dia akan hadir bersama pelajaran yang akan mendewasakan kita. Tugas kita ialah untuk menerima pelajaran yang dibawanya itu. Menghargainya dan mempraktiskan setiap apa yang dipelajari bersama itu kepada orang lain. Supaya kita boleh menjadi seseorang yang bertujuan; bermusim atau sepanjang hayat untuk kehidupan seseorang. Ada juga orang berkata, cinta itu buta, namun persahabatan itu celik!Setuju?Yang pasti, apa pun yang datang tentunya ia menjadi sebahagian daripada kehidupan. Terima kasih kerana menjadi sebahagian dari kehidupanku! Samada kalian dari kalangan bertujuan; bermusim atau sepanjang hayat!

Saturday, November 10, 2007

Kelebihan 10 hari pertama bulan Zulhijjah

Imam al Bukhari Rahimahullah meriwayatkan daripada Ibnu ‘Abbas r.a bahawa Nabi s.a.w bersabda, Tiada suatu hari pun, amalan kebaikan padanya mempunyai kelebihan melainkan pada hari-hari ini – iaitu 10 hari Zulhijjah.
Para sahabat baginda bertanya, Apakah juga (pengecualian itu) termasuk jihad pada jalan Allah? Ujar Baginda, Tidak juga (termasuk) berjihad pada jalan Allah kecuali bagi seorang yang keluar dengan jiwa raga dan hartanya dan tidak membawa pulang apa-apa pun.
Imam Ahmad r.a. dari Ibnu Umar r.a. bahawa Rasulullah s.a.w bersabda, “Tiada suatu haripun, amalan kebaikan padanya mempunyai kelebihan melainkan pada hari-hari 10 Zulhijjah ini, oleh kerana itu perbanyakkanlah padanya tahlil (La Ilaha Illa Allah), takbir (Allah Akbar) dan tahmid (Alhamdu Lillah).
Ibnu Hibban di dam kitab Sahihnya meriwayatkan dari Jabir r.a. bahawa baginda s.a.w bersabda, “Seutama-utama hari adalah hari Arafah”.

Amalan yang dianjurkan padanya

1. Menunaikan ibadah haji dan umrah yang merupakan sebaik-baik amalan. Banyak hadis menyatakan kelebihan ibadah ini di antaranya : Sabda Nabi s.a.w.: “Satu umrah ke umrah yang lain menghapuskan (dosa) yang dilakukan di antara keduanya dan haji yang baik (diterima) tiada baginya balasan melainkan syurga”.

2. Berpuasa pada hari-hari tersebut atau sekadar kemampuannya – terutamanya pada hari Arafah. Tidak dinafikan bahawa puasa adalah di antara amalan yang terbaik dan ia adalah pilihan Allah seperti yang dinyatakan di dalam sebuah hadis qudsi, “Puasa itu adalah bagiKu dan Akulah yang membalasinya, dia meninggalkan keinginan nafsunya, makanan dan minumannya semata-mata keranaKu”.
Imam Muslim meriwayatkan dari Abi Qatadah r.a. bahawa Rasulullah s.a.w bersabda, Puasa pada hari Arafah, saya mengharap Allah akan menghapuskan (dosa) setahun yang lalu dan setahun yang mendatang.

3. Takbir (Allahu Akbar) dan berzikir padanya, firman Allah s.w.t yang bermaksud, (Dan supaya mereka menyebut nama Allah pada beberapa hari yang termaklum), hari-hari tersebut dijelaskan sebagai 10 hari di bulan Zulhijjah. Sebab itulah para ulama menyarankan supaya diperbanyakkan berzikir pada hari-hari tersebut sebagaimana mafhum hadis Ibnu Umar r.a. yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad, di antaranya, “Oleh kerana itu perbanyakkanlah padanya tahlil (La Ilaha Illa Allah), takbir (Allah Akbar) dan tahmid (Alhamdulillah)”.

4. Bertaubat dan meninggalkan segala maksiat dan dosa, semoga dengan amalan baik dapat mencapai keampunan dan rahmat Allah. Ini kerana maksiat adalah punca kepada jauh dan terhindarnya seorang hamba dari rahmat Allah manakala ketaatan pula adalah punca dekat dan kasihnya Allah kepadanya.

5. Memperbanyakkan amalan soleh terutama amalan sunat tambahan seperti solat sunat, berjihad, membaca al-Quran, menyeru kepada kebaikan, mencegah kemungkaran dan seumpamanya kerana semuanya akan digandakan pada hari-hari tersebut.
Amalan yang dikerjakan ketika itu walaupun kecil tetapi ia lebih disukai oleh Allah dibandingkan pada hari-hari lain. Begitu juga amalan yang besar seperti berjihad di jalan Allah yang dikategorikan di antara amalan yang terbaik, tidaklah mendapat kehebatan pahala pada hari-hari itu melainkan apabila kuda (kenderaan) yang ditungganginya terbunuh (binasa) dan darahnya keluar (dia cedera atau mati syahid).

6. Disyariatkan bertakbir pada beberapa hari yang mulia itu pada waktu siang atau malam terutama selepas menunaikan fardu solat lima waktu yang dikerjakan secara berjemaah.
Bagi mereka yang tidak menunaikan ibadah haji, takbir bermula dari waktu subuh hari Arafah (9 Zulhijjah) dan bagi yang menunaikannya takbir bermula pada waktu Zuhur hari raya haji (10 Zulhijjah), semuanya berakhir sehingga waktu Asar pada hari ke-13 Zulhijjah.

7. Disyariatkan amalan korban (menyembelih haiwan ternakan) pada hari raya haji dan hari-hari Tasyriq (11, 12 dan 13 Zulhijjah). Ia merupakan sunah Nabi Ibrahim a.s. setelah Allah s.w.t mengujinya dengan perintah menyembelih anaknya Ismail tetapi ditebus ujian itu dengan digantikan seekor haiwan untuk disembelih.

8. Imam Muslim meriwayatkan dari Ummu Salamah r.a bahawa Nabi s.a.w bersabda, Apabila kamu telah melihat anak bulan Zulhijjah dan ada di kalangan kamu yang ingin berkorban (sembelih haiwan ternakan), hendaklah dia menahan dirinya dari (memotong) rambut dan kukunya, dan di dalam riwayat lain : “Maka janganlah dia memotong rambut dan kukunya sehinggalah dia berkorban.
Perintah (sunat) ini berkemungkinan ada persamaan dengan hukum bagi mereka yang membawa haiwan ternakan (ketika mengerjakan haji) dari kampung mereka yang telah dijelaskan oleh Allah, maksudnya, (Dan janganlah kamu mencukur rambut kamu sehinggalah haiwan ternakan (yang dibawa untuk dihadiahkan dagingnya kepada penduduk Mekah) itu sampai ke tempatnya).
Larangan (memotong rambut dan kuku) ini pada zahirnya adalah khusus kepada pemunya haiwan korban tersebut sahaja dan tidak termasuk isteri dan anak-anaknya melainkan mereka juga mempunyai haiwan seumpamanya, dan tidak mengapa jika yang berkenaan membasuh dan menggosok kepalanya kemudian terjatuh beberapa helai rambutnya.

9. Setiap muslim hendaklah berusaha menunaikan solat hari raya secara berjemaah, mendengar khutbah oleh imam selepas solat tersebut supaya mendapat pengajaran daripadanya.
Sepatutnyalah kita mengetahui hikmat di sebalik perayaan ini. Ia merupakan hari menyatakan kesyukuran dengan melakukan kebaikan. Janganlah pula dilakukan padanya perkara yang mendatangkan kemurkaan Allah dengan mengerjakan maksiat, kesombongan, pertengkaran dan sebagainya yang boleh menjadi sebab kepada terhapusnya amalan kebaikan yang dikerjakannya sebelum itu.

10. Penuhilah hari-hari berkenaan dengan ketaatan kepada Allah, berzikir, bersyukur, menunaikan perintah-Nya, menjauhi larangan-Nya, mendekatkan diri kepada-Nya semoga mendapat rahmat dan keampunan-Nya.
Peristiwa Sejarah Bulan Zulhijjah
Di sebalik bulan Zulhijjah yang terkenal dengan bulan haji, ia juga mencatatkan beberapa peristiwa di dalam diari sejarah pembinaan dan perjuangan umat Islam. Ia menjadi nadi dan titik-tolak kepada pengukuhan akidah dan pemantapan sahsiah serta kekuatan ukhwah ummat di dalam meneruskan perjuangan Baginda s.a.w.

Antara peristiwa tersebut adalah:

1. Nabi Muhammad s.a.w membawa dagangan Khadijah ke negeri Syam, di sana baginda diberitahu tentang kenabiannya oleh pendita Nasthurah. Ia berlaku pada tahun kelima sebelum pelantikan baginda menjadi nabi.

2. Peristiwa Baiah Al-Aqabah (perjanjian setia Al Aqabah) pada tahun ke-13 selepas pelantikan baginda menjadi nabi. Ia disertai oleh 73 orang lelaki dan 2 orang perempuan dari kaum Aus dan Khazraj.

3. Peperangan As Sawiq pada tahun kedua Hijrah, Nabi s.a.w keluar mengekori kumpulan Abu Sya’ban yang menceroboh dan memerangi penduduk pinggir kota Madinah. Semasa melarikan diri mereka mencampakkan guni-guni gandum yang dibawa bagi mempercepatkan perjalanan supaya tidak dapat diekori oleh baginda.

4. Pada 7 Zulhijjah tahun kelima Hijrah satu kumpulan tentera Islam dihantar ke perkampungan Bani Sulaim yang diketuai oleh Ibnu Abi Al ‘Arjak.

5. Kelahiran Ibrahim putera Nabi s.a.w pada tahun kelapan Hijrah, ibunya bernama Mariyah Al Qibtiyah.

6. Pada tahun ke-10 Hijrah, Nabi s.a.w mengerjakan ibadah Haji yang dikenali dengan Hajjatul Wada’. Di sana baginda menyampaikan amanat-amanatnya yang kesemuanya adalah peraturan dan aturcara kehidupan di dalam Islam.

7. Abu Bakar As Siddiq mengerjakan ibadah Haji bersama umat Islam selepas kewafatan Nabi s.a.w pada tahun 12 Hijrah.

8. Peperangan Dathin yang dipimpin oleh Umamah Al Bahiliy menentang tentera Rom, berakhir dengan kemenangan tentera Islam.

9. Kemenangan tentera Islam yang diketuai oleh Yazid bin Abi Sya’ban menentang tentera Rom yang dikepalai oleh Sarjius di dalam pertempuran Wadi ‘Arabah di Palestin.

10. Pada tahun 23 Hijrah, Khalifah Umar Al Khattab meninggal dunia dibunuh oleh Abu Lu’luah Al Majusi.

11. Pelantikan Uthman bin ‘Affan sebagai khalifah yang dipilih sebulat suara oleh sebuah majlis Syura yang ditubuhkan oleh Umar Al Khattab sebelum kematiannya.

12. Pelantikan Ali bin Abi Talib sebagai khalifah menggantikan Uthman bin Affan pada tahun 35 Hijrah.

13. Kematian Yahya bin Aktham seorang ulama dan panglima tentera Islam pada tahun 242 Hijrah di Rabdah, sebuah kota di pinggir Madinah semasa berusia 82 tahun, pernah menjadi hakim kota Basrah, kadi besar dan penasihat kerajaan.

Selamat menyambut Kehadiran 01 Zulhijjah bersamaan 11 November 2007