Monday, August 18, 2008

Majlis Permuafakatan Pelajaran di semua PPD

Majlis permuafakatan pelajaran yang menggabungkan kerjasama semua pihak bagi menangani sebarang masalah di setiap sekolah akan diwujudkan secara tetap di setiap Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) seluruh negara.

Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Razali Ismail berkata, antara isu yang boleh dibincang dan diselesaikan melalui majlis tersebut termasuk disiplin, kesihatan dan kebersihan sekolah serta masalah sosial pelajar.

Katanya, pihak yang terlibat pula termasuk polis, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), hospital, persatuan ibu bapa dan guru (PIBG) serta jawatankuasa kemajuan dan keselamatan kampung (JKKK).

Ia akan dilaksanakan secara berperingkat-peringkat. Sekarang di Terengganu sudah ada majlis tersebut dan ia amat membantu pihak sekolah menyelesaikan banyak isu sekolah dan pelajar.

Tuesday, August 12, 2008

Pengemaskinian Maklumat Pembayaran Cukai Berjadual (PCB)

Dimaklumkan perlaksanaan Pembayaran Cukai Pendapatan berdasarkan Jadual PCB telah dilaksanakan secara auto melalui sistem HRPY GFMAS mulai gaji bulan Februari 2008. Oleh yang demikian semua kakitangan diminta untuk mengemaskini maklumat diri dengan mengisi Borang Kemaskini Maklumat PCB.

Maklumat kakitangan yang telah dikemaskini hendaklah disahkan oleh Ketua Jabatan/Pengetua/Guru Besar dan dihantar ke Unit Gaji, Seksyen Bayaran, Bahagian Akaun, Kementerian Pelajaran Malaysia.

Adalah menjadi tanggungjawab kakitangan untuk mengemaskini maklumat kategori dan bilangan tanggungan LHDN (sekiranya terdapat perubahan) melalui borang perubahan (SG20). Tindakan ini dapat mengelakkan cukai terlebih potong daripada gaji bulanan kakitangan.

Di samping itu sekiranya maklumat yang diberi tidak tepat yang mengakibatkan lebihan potongan, setiap anggota berkenaan bertanggungjawab sepenuhnya ke atas potongan cukai pendapatan tersebut dan sebarang tuntutan hendaklah diuruskan sendiri dengan pihak LHDN.

Sekiranya terdapat sebarang pertanyaan pihak tuan boleh menghubungi pegawai-pegawai di Unit Gaji berikut:
Puan Rokiah binti Ahmad 03-88847318
Puan Norfazila binti Din 03-88847319
Cik Kogilawaniswary Vatumala 03-88847320
Puan Nur Azliza Yanty binti Ghazali 03-88847437

Penyamun Bermusim



MUSIM cuti sekolah yang akan bermula seminggu lagi seperti biasa menjadi tumpuan masyarakat mengadakan kenduri kahwin kerana ketika itulah masa paling sesuai untuk ahli keluarga sama ada jauh atau dekat untuk berkumpul. Itu belum lagi dikira jiran, penduduk kampung atau taman, jemputan khas serta kenalan pengantin. Semuanya akan hadir dengan satu tujuan, iaitu meraikan pengantin baru dan menerima pasangannya sebagai seorang daripada ahli keluarga dan masyarakat.

Tetapi, awas. Berhati-hati dengan tetamu yang tidak dikenali, berlagak seolah-olah ahli keluarga ketika kenduri kahwin tetapi mempunyai niat jahat tersirat mencuri apa saja yang berkenan di hati atau memberi pulangan lumayan. Jika awal 80-an hingga 90-an memang ada dilaporkan kes mencuri ketika kenduri kahwin tetapi ia lebih kepada kehilangan kasut atau basikal milik kanak-kanak. Tetapi trend semasa lebih kepada memecah masuk, menceroboh dan mencuri di rumah pengantin. Menariknya, ia berlaku di tengah-tengah hadirin penuh sesak di rumah, tetamu duduk menjamu dan sudah tentu pengantin sedang tersimpuh malu di atas pelamin.
Pada masa sama tuan rumah, sama ada bapa dan ibu pengantin sibuk melayan tetamu serta memastikan semuanya berjalan lancar atau tidak sebarang masalah akan timbul. Sudah tentu ketika ini soal keselamatan di bilik pengantin atau bilik utama agak longgar. Apa yang menarik perhatian ialah himpunan duit hantaran yang biasanya diletakkan di dalam album gambar, barang kemas atau barang bernilai seperti kamera atau apa saja yang terhidang di depan mata akan menjadi sasaran terbuka. Konsep rumah terbuka yang kebiasaan diamalkan keluarga Melayu sebenarnya memberi peluang kepada penjenayah untuk memecah masuk tanpa disedari atau lebih mudah dikatakan lebih berisiko berbanding jika diadakan di dewan atau hotel. Namun, persoalan sama ada kenduri wajar diadakan di dewan atau rumah mempunyai pro dan kontra tersendiri.

Penganalisis jenayah yang juga Exco Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia, Kamal Afendi Hashim berkata, tetamu yang datang ke majlis kenduri kahwin sebenarnya mempunyai pelbagai niat termasuk ada yang cuba melakukan jenayah. “Sesiapa saja boleh datang. Bahkan, boleh dikatakan ada yang sengaja datang untuk makan percuma, padahal langsung tidak dijemput atau mengenali keluarga pengantin. “Dalam hal mencuri dalam rumah atau bangunan, biasanya dilakukan wanita kerana golongan inilah yang paling ramai di dalam rumah pengantin dan terbabit secara langsung dalam kerja menghias, menyiapkan pelamin atau hal-hal wanita. “Wanita tidak mudah disyaki, jika ahli keluarga ternampak individu tidak dikenali, mereka tidak akan tergamak menghalau dan mereka juga bijak berlakon dengan mendapatkan sedikit maklumat awal mengenai latar belakang keluarga pengantin,” katanya. Kebiasaannya kes ini berlaku di kawasan pinggir bandar atau kampung disebabkan majoriti penduduk bandar kini lebih gemar dan selesa mengadakan kenduri di dewan atau hotel. Sehubungan itu, katanya, majlis di dewan lebih selamat kerana setiap tugasan mempunyai ahli jawatankuasa sendiri misalnya beberapa orang ditugaskan menjaga hal ehwal hadiah, tetamu. Ini sekali gus mengurangkan risiko barang dicuri. Bahkan, kebiasaannya barang hantaran juga tidak dibawa ke dewan dan majlis juga lebih tertumpu kepada acara utama iaitu bersanding, makan beradat, memotong kek serta sesi bergambar dan bertemu tetamu. “Kawalan di hotel atau dewan lebih ketat. Memang diakui kosnya lebih mahal berbanding kenduri di rumah, tetapi ia lebih selamat dan memudahkan keluarga pengantin kerana semuanya diuruskan di sana. “Tetapi ada juga kes menyamar sebagai wakil keluarga pengantin. Ia berlaku di rumah atau di dewan. Caranya cukup mudah, jika ada tetamu bertanyakan siapa bapa atau wakil pengantin, mereka cepat-cepat mengaku dia adalah wakil. “Adat orang Melayu, tetamu yang datang biasanya akan memberikan sumbangan. Ketika ‘salam berisi’ itulah penjenayah itu memainkan peranan dengan mengambil sampul surat berisi duit. Mereka cuma perlu berpakaian sama dengan tema keluarga dan letakkan bunga pada baju. Itu sudah cukup meyakinkan tetamu,” katanya.

INFO: Waktu kritikal berlakunya kecurian semasa kenduri kahwin : 3 jam
1 jam pertama - sebelum persandingan
2 jam pertama - semasa ketibaan pengantin, persandingan
3 jam pertama - selepas selesai, semua orang sibuk
Hanya 30 peratus yang datang kenduri benar-benar ikhlas untuk menyaksikan majlis perkahwinan pengantin dan berjumpa mereka iaitu kawan lama, keluarga dan jiran terdekat.
Tetamu lain adalah ‘populasi tetap’ iaitu, mak andam, catering, pasukan kompang, pasukan juruteknik sistem bunyi.
Bakinya adalah tetamu yang datang sekadar memenuhi undangan keluarga pengantin.

INFO: Modus operandi pencuri
Mendapatkan maklumat awal tempat kenduri kahwin berdasarkan poster atau apa saja tanda perkahwinan termasuk bunga manggar di persimpangan ke rumah pengantin sehari sebelum majlis.
Memakai pakaian hampir sama dengan tema pakaian keluarga pengantin.
Bertanyakan kepada jiran atau penduduk setempat mengenai latar belakang keluarga pengantin.
Duduk setempat untuk tempoh lama, misalnya di dalam rumah sambil memerhatikan keadaan sekeliling.
Kebiasaan akan membawa kanak-kanak dengan membiarkan anak bermain di sekitar rumah dan berlagak seolah-olah sedang menjaga mereka.
Akan menyelinap masuk ke bilik pengantin ketika waktu kritikal (sebelum, semasa dan selepas majlis persandingan).
Berpura-pura ke bilik air jika terserempak dengan tetamu lain ketika mencari bilik pengantin.
Kebiasaannya penjenayah ini mempunyai rakan yang bertugas sebagai pemandu yang menunggu di luar rumah.
Penjenayah bermusim ini biasanya menjadikan majlis keramaian, perjumpaan termasuk majlis kematian sebagai sasaran mereka.

TIP:
Kurangkan risiko kehilangan duit hantaran - Dicadangkan dibuat secara kiriman wang atau bank draf atas nama pengantin. - Menggubah wang hantaran kepada bentuk lebih selamat berbanding diletakkan di dalam album gambar kerana gubahan lebih sukar dibawa lari
Kebanyakan pencuri adalah wanita. Perhatikan individu yang mencurigai dan mendakwa sebagai ahli keluarga tetapi jarang bergaul atau ditemui berbanding ahli keluarga lain.
Kes ragut tetamu di luar rumah. - Jarakkan kedudukan ketika berjalan dengan mewujudkan zon penampan, misalnya menggunakan payung. Ini kerana, lingkaran payung secara automatik akan menjadi satu zon selamat dan sukar bagi peragut mencapai beg tangan di bahu.
Penggunaan tas tangan wanita bertali panjang. - Lebih selamat jika menggunakan tas tangan bertali pendek, mudah dipegang dan boleh diselitkan di bawah ketiak dan mengurangkan kecenderungan untuk meletakkan beg di atas meja makan.
Niat menghadiri majlis. Tukar persepsi menghadiri majlis perkahwinan untuk menunjuk-menunjuk barang kemas bagi mengelak anda menjadi sasaran mudah penjenayah.

Selamat Berjuang DSAI



Monday, August 11, 2008

Tema Hari Kebangsaan Malaysia Ke-51 2008


Perpaduan Teras Kejayaan



(Unity Is The Core of Success)

Sunday, August 10, 2008

Happy Birthday 2 DSAI Ke-61


Hari ini genaplah usia DSAI Ke-61.

Semoga panjang umur dan . . .

Wednesday, August 6, 2008

Kenyataan Akhbar Pengerusi SPR : P44 Permatang Pauh

KENYATAAN AKHBAR
PENGERUSI
SURUHANJAYA PILIHAN RAYA (SPR), MALAYSIA
BIL.17/2008
PILIHAN RAYA KECIL BAHAGIAN PILIHAN RAYA
PARLIMEN P.44 PERMATANG PAUH

1. Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah dimaklumkan secara rasmi pada 1 Ogos 2008 oleh Yang di Pertua Dewan Rakyat berhubung dengan kekosongan kerusi bahagian pilihan raya Parlimen P.44 Permatang Pauh berikutan dengan perletakan jawatan sebagai Ahli Dewan Rakyat oleh Y.B Datin Seri Dr. Wan Azizah binti Wan Ismail pada 31 Julai 2008.

2. Berikutan dengan kekosongan kerusi Dewan Rakyat tersebut, SPR, berpandukan kepada undang-undang yang berkaitan dengannya perlu mengambil tindakan-tindakan yang sesuai dan telah melantik seorang Pegawai Pengurus dan tiga orang Penolong Pegawai Pengurus untuk melaksanakan tanggungjawab menjalankan pilihan raya kecil untuk mengisi kekosongan berkenaan.

3. Mereka yang telah dilantik adalah terdiri daripada pegawai-pegawai berikut :-
Pegawai PengurusEncik Roslan bin Yahaya Pegawai Daerah, Seberang Perai Tengah.
Penolong Pegawai Pengurus
i. Encik Zainol Abidin bin Md. Noh Setiausaha, Majlis Perbandaran Seberang Perai.
ii. Encik Kamarul Haizal bin Koderat Ketua Penolong Pegawai Daerah (Pengurusan)Seberang Perai Tengah.
iii. Encik Azizal bin Ahmad Penolong Pegawai Daerah (Tanah)Seberang Perai Tengah.

4. Sehubungan dengan perkara ini, SPR telah bermesyuarat pada 6 Ogos 2008 untuk menetapkan tarikh-tarikh bagi menjalankan pilihan raya kecil sebagaimana yang diperuntukkan oleh undang-undang. Dengan ini diumumkan bahawa bagi menjalankan Pilihan Raya Kecil bahagian pilihan raya Parlimen P.44 Permatang Pauh, SPR telah menetapkan tarikh-tarikh seperti berikut :-
4.1 Tarikh Writ dikeluarkan : 7 OGOS 2008
4.2 Tarikh Notis dikeluarkan : 8 OGOS 2008
4.3 Tarikh Penamaan Calon : 16 OGOS 2008
4.4 Tarikh Pengundian : 26 OGOS 2008(Jika ada pertandingan)

5. Bagi tujuan pilihan raya kecil ini, menurut Peraturan 9 Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Pendaftaran Pemilih) 2002, Suruhanjaya Pilihan Raya menentukan bahawa Daftar Pemilih Induk 2007 yang diwartakan pada 5 Februari 2008 dan Daftar Pemilih Tambahan Suku Tahun Pertama tahun 2008 yang diwartakan pada 19 Jun 2008 dan dikemaskinikan sehingga 31 Julai 2008, hendaklah digunakan dalam pilihan raya kecil P.44 Permatang Pauh ini. Seramai 58,459 pemilih yang terdiri daripada 57,969 pemilih biasa dan 490 pemilih pos adalah layak untuk mengundi dalam pilihan raya kecil bagi P.44 Permatang Pauh ini.

6. Dalam tempoh pilihan raya kecil ini dijalankan, amat penting semua pihak mematuhi arahan pihak keselamatan dalam menjaga ketenteraman dan keselamatan awam. Oleh itu, semua pihak terutamanya parti-parti politik, calon-calon, petugas-petugas parti dan individu-individu lain yang terlibat perlu sentiasa mematuhi undang-undang pilihan raya serta tatasusila berkempen yang telah ditetapkan. Semua pihak perlu juga ambil ingatan bahawa terdapat beberapa kes petisyen pilihan raya bagi Pilihan Raya Umum 2008 masih dalam perbicaraan. Oleh yang demikian, calon-calon adalah diingatkan supaya tidak menyentuh isu-isu yang melibatkan kes-kes petisyen dalam kempen-kempen mereka.

7. Maklumat-maklumat lain berhubung dengan pilihan raya kecil bagi bahagian pilihan raya ini akan diumumkan dari masa ke semasa oleh Pengarah Pilihan Raya Negeri Pulau Pinang dan Pegawai Pengurus P.44 Permatang Pauh.

Sekian, terima kasih.

(TAN SRI DATO’ SERI HAJI AB RASHID BIN AB RAHMAN)
PengerusiSuruhanjaya Pilihan Raya
Malaysia.
6 OGOS 2008