Wednesday, August 6, 2008

Kenyataan Akhbar Pengerusi SPR : P44 Permatang Pauh

KENYATAAN AKHBAR
PENGERUSI
SURUHANJAYA PILIHAN RAYA (SPR), MALAYSIA
BIL.17/2008
PILIHAN RAYA KECIL BAHAGIAN PILIHAN RAYA
PARLIMEN P.44 PERMATANG PAUH

1. Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah dimaklumkan secara rasmi pada 1 Ogos 2008 oleh Yang di Pertua Dewan Rakyat berhubung dengan kekosongan kerusi bahagian pilihan raya Parlimen P.44 Permatang Pauh berikutan dengan perletakan jawatan sebagai Ahli Dewan Rakyat oleh Y.B Datin Seri Dr. Wan Azizah binti Wan Ismail pada 31 Julai 2008.

2. Berikutan dengan kekosongan kerusi Dewan Rakyat tersebut, SPR, berpandukan kepada undang-undang yang berkaitan dengannya perlu mengambil tindakan-tindakan yang sesuai dan telah melantik seorang Pegawai Pengurus dan tiga orang Penolong Pegawai Pengurus untuk melaksanakan tanggungjawab menjalankan pilihan raya kecil untuk mengisi kekosongan berkenaan.

3. Mereka yang telah dilantik adalah terdiri daripada pegawai-pegawai berikut :-
Pegawai PengurusEncik Roslan bin Yahaya Pegawai Daerah, Seberang Perai Tengah.
Penolong Pegawai Pengurus
i. Encik Zainol Abidin bin Md. Noh Setiausaha, Majlis Perbandaran Seberang Perai.
ii. Encik Kamarul Haizal bin Koderat Ketua Penolong Pegawai Daerah (Pengurusan)Seberang Perai Tengah.
iii. Encik Azizal bin Ahmad Penolong Pegawai Daerah (Tanah)Seberang Perai Tengah.

4. Sehubungan dengan perkara ini, SPR telah bermesyuarat pada 6 Ogos 2008 untuk menetapkan tarikh-tarikh bagi menjalankan pilihan raya kecil sebagaimana yang diperuntukkan oleh undang-undang. Dengan ini diumumkan bahawa bagi menjalankan Pilihan Raya Kecil bahagian pilihan raya Parlimen P.44 Permatang Pauh, SPR telah menetapkan tarikh-tarikh seperti berikut :-
4.1 Tarikh Writ dikeluarkan : 7 OGOS 2008
4.2 Tarikh Notis dikeluarkan : 8 OGOS 2008
4.3 Tarikh Penamaan Calon : 16 OGOS 2008
4.4 Tarikh Pengundian : 26 OGOS 2008(Jika ada pertandingan)

5. Bagi tujuan pilihan raya kecil ini, menurut Peraturan 9 Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Pendaftaran Pemilih) 2002, Suruhanjaya Pilihan Raya menentukan bahawa Daftar Pemilih Induk 2007 yang diwartakan pada 5 Februari 2008 dan Daftar Pemilih Tambahan Suku Tahun Pertama tahun 2008 yang diwartakan pada 19 Jun 2008 dan dikemaskinikan sehingga 31 Julai 2008, hendaklah digunakan dalam pilihan raya kecil P.44 Permatang Pauh ini. Seramai 58,459 pemilih yang terdiri daripada 57,969 pemilih biasa dan 490 pemilih pos adalah layak untuk mengundi dalam pilihan raya kecil bagi P.44 Permatang Pauh ini.

6. Dalam tempoh pilihan raya kecil ini dijalankan, amat penting semua pihak mematuhi arahan pihak keselamatan dalam menjaga ketenteraman dan keselamatan awam. Oleh itu, semua pihak terutamanya parti-parti politik, calon-calon, petugas-petugas parti dan individu-individu lain yang terlibat perlu sentiasa mematuhi undang-undang pilihan raya serta tatasusila berkempen yang telah ditetapkan. Semua pihak perlu juga ambil ingatan bahawa terdapat beberapa kes petisyen pilihan raya bagi Pilihan Raya Umum 2008 masih dalam perbicaraan. Oleh yang demikian, calon-calon adalah diingatkan supaya tidak menyentuh isu-isu yang melibatkan kes-kes petisyen dalam kempen-kempen mereka.

7. Maklumat-maklumat lain berhubung dengan pilihan raya kecil bagi bahagian pilihan raya ini akan diumumkan dari masa ke semasa oleh Pengarah Pilihan Raya Negeri Pulau Pinang dan Pegawai Pengurus P.44 Permatang Pauh.

Sekian, terima kasih.

(TAN SRI DATO’ SERI HAJI AB RASHID BIN AB RAHMAN)
PengerusiSuruhanjaya Pilihan Raya
Malaysia.
6 OGOS 2008

0 Comments:

Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]

<< Home