Sunday, November 9, 2008

Binasa Diri

PESANAN kepada perokok tegar — jika sayangkan keluarga, berusahalah untuk berhenti. Jika ia terlalu sukar, langkah terbaik anda boleh lakukan ialah merokok di luar rumah supaya isteri dan anak, khususnya yang masih kecil, terhindar daripada bahaya asap rokok. Apabila merokok, anda bukan hanya menjejaskan kesihatan diri tetapi secara tidak langsung dan tanpa disedari, asap rokok yang anda nikmati memudaratkan kesihatan orang di sekeliling, terutama ahli keluarga.B ahaya atau kesan langsung asap rokok terlalu kerap dibincangkan dan semua orang tahu. Yang mungkin masih kurang jelas ialah kesan terhadap perokok pasif atau sekunder, iaitu orang yang tidak merokok tetapi terpaksa menghidu asap rokok.Agensi Penyelidikan Kanser Antarabangsa (IARC) mendapati bukti kaitan rokok dengan kanser pada perokok aktif dan pasif.

Perokok sekunder juga berisiko mendapat kanser paru-paru pada kadar 20 peratus di kalangan wanita dan 30 peratus bagi lelaki yang tinggal serumah dengan perokok. Perokok sekunder yang terdedah kepada asap rokok di tempat kerja juga mempunyai risiko ini pada kadar 16 hingga 19 peratus dan risikonya bertambah dengan peningkatan pendedahan kepada asap rokok. Agensi Perlindungan Alam Sekitar California menganggarkan asap rokok menyebabkan 3,000 kematian setahun akibat kanser paru-paru di kalangan bukan perokok. Selain itu, orang yang terpaksa menghidu asap rokok mempunyai risiko 25 hingga 35 peratus mengalami kesengsaraan akibat penyakit arteri koronari (jantung) akut. Malah, masalah pernafasan kronik banyak dilaporkan di kalangan perokok pasif. Kesihatan kanak-kanak yang ada ibu bapa merokok di rumah juga terancam kerana terdedah kepada risiko jangkitan saluran pernafasan bawah dan otitis media (jangkitan telinga tengah), lebih kerap mendapat serangan asma serta sindrom mati mengejut di kalangan bayi.Rokok adalah punca utama lebih 90 peratus kes kanser paru-paru, 75 peratus kes bronkitis kronik dan emfisema (paru-paru rosak) serta 25 peratus penyakit jantung. Sebenarnya, merokok juga mendekatkan kita dengan pelbagai risiko kesihatan lain dari hujung rambut sampai hujung kaki seperti.
Kesan buruk asap rokok kepada bukan perokok:
l Rambut — berbau.
l Otak dan kesan mental — strok.
l Mata — berair dan pedih.
l Hidung — berasa tidak selesa dan rengsa.
l Pernafasan dan paru-paru — kanser paru-paru; memburukkan masalah pernafasan sedia ada seperti asma, penyakit saluran pernafasan kronik (COPD) dan emfisema.
l Jantung — melemahkan salur darah ke jantung, sakit dada dan serangan jantung.
l Rahim — bayi dilahirkan kecil (kurang berat), bayi meninggal selepas dilahirkan.

Secara global, jumlah perokok di seluruh dunia makin meningkat kerana pengaruh iklan dan kawan, walaupun pelbagai usaha kesedaran dilakukan. Di negara kita contohnya, ada yang menyifatkan kempen kesedaran dan program anti merokok sebagai pembaziran, tetapi jika diperhalusi ia sebenarnya memberi kesan positif, terutama pada golongan muda. Bagaimanapun, untuk melihat penurunan jumlah perokok mengambil masa lama kerana usaha berhenti merokok bukan mudah. Boleh dikatakan ramai perokok ingin berhenti, malah ada yang mencuba berkali-kali, tetapi masih gagal. Menurut Timbalan Pengarah Kesihatan Wilayah Persekutuan, Dr Sallehudin Abu Bakar, keinginan berhenti merokok perlu disertakan dengan semangat kuat, kesungguhan dan sokongan keluarga serta rakan untuk berjaya. Kajian menunjukkan perokok berumur dan ada latar belakang pendidikan baik mempunyai peluang lebih tinggi untuk berhenti merokok. Usaha berhenti ini lebih mudah di kalangan perokok sosial yang merokok sekali sekala berbanding perokok tegar. Malah, lebih memeranjatkan ialah perokok wanita lebih sukar berhenti merokok berbanding lelaki. Setiap tahun lebih 46 peratus perokok Amerika Syarikat cuba berhenti tetapi hanya lima peratus berjaya menahan diri daripada merokok setahun selepas mencuba. Peratusan kejayaan sama ditunjukkan di negara yang menjalankan program kawalan tembakau seperti Kanada, Australia dan United Kingdom. “Ada perokok berjaya berhenti dengan sekali cubaan, tetapi ramai perlu mencuba berkali-kali. Bagaimanapun, jika ada kesedaran dan keinginan berhenti, segera dapatkan bantuan kerana cubaan sendiri biasanya menemui kegagalan.“Kini ada 294 klinik berhenti merokok di seluruh negara yang sentiasa bersedia membantu anda. Atau dapatkan nasihat doktor di klinik berhampiran supaya anda boleh dirujuk ke klinik berhenti merokok.“Kebanyakan perokok memerlukan terapi penggantian nikotin untuk berhenti merokok. Selain itu mereka akan dibantu daripada segi kaunseling dan dipantau tiga hingga enam bulan.“Sehingga kini seramai 3,000 perokok berjaya berhenti merokok sejak klinik itu ditubuhkan pada 2000. Secara purata, peratus kejayaan berhenti merokok sekitar 15.6 peratus,” katanya. Ketua Program Penyedia Perkhidmatan Berhenti Merokok Bertauliah (CSCSP), Profesor Madya Dr Mohamad Haniki Nik Mohamad, berkata ketagihan nikotin jauh lebih teruk dan sukar dihentikan berbanding ketagihan dadah seperti kokain, amfetamin dan opiat. Ini kerana apabila nikotin memasuki otak, ia melekat pada reseptor nikotin untuk menghasilkan hormon dopamin iaitu hormon yang membuatkan seseorang berasa gembira dan puas. Kesan ini lama kelamaan mengubah pengaturan otak yang menyangka ia memerlukan nikotin untuk membolehkan seseorang gembira.“Dalam proses berhenti merokok, perokok akan mengalami pelbagai perubahan fizikal dan emosi yang dikenali sebagai sindrom ketagihan seperti resah, kecewa, marah, sukar tidur, selera makan bertambah, emosi berubah-ubah, berasa kurang sabar dan mudah terganggu.“Kebergantungan terhadap nikotin menyebabkan ramai terus merokok. Justeru, perokok diberi kaunseling untuk memahami masalah kebergantungan terhadap nikotin bagi meningkatkan kejayaan rawatan,” katanya.

Risiko
> Rambut berbau dan bertukar warna.
> Otak dan kesan kepada mental — strok, ketagihan, mengubah keseimbangan kimia dalam otak dan resah
> Mata — mata pedih, berair dan lebih banyak berkelip; kebutaan akibat kemerosotan makular dan katarak.
> Hidung — hilang sensasi dan kepekaan deria bau.
> Gigi — berubah warna menjadi kuning dan berkarat, plak, risiko kehilangan gigi dan penyakit gusi (gingivitis).
> Mulut dan tekak — kanser bibir, mulut, tekak dan anak tekak; sakit tekak; deria rasa berkurang dan nafas berbau.
> Kulit — berkedut dan cepat tua.
> Pernafasan dan paru-paru — kanser paru-paru; batuk berkahak, nafas menjadi pendek; mudah dapat selesema, pneumonia dan asma; penyakit saluran pernafasan kronik; penyakit tibi bertambah teruk.
> Hati — kanser hati.
> Buah pinggang dan pundi kencing — kanser.
> Sistem pembiakan lelaki — menyebabkan kecacatan sperma; kemandulan dan mati pucuk.
> Sistem pembiakan wanita — senggugut; menopaus awal; kanser serviks, kurang subur dan susah hamil.
> Luka dan pembedahan — luka lambat sembuh; lambat baik selepas jalani pembedahan.
> Kencing manis — risiko dapat kencing manis.
> Kaki — jika ada kencing manis, merokok kurangkan kepekaan kaki, penyakit salur darah.
> Tangan — kelancaran aliran darah terjejas; kuku menjadi kuning.
> Jantung — melemahkan saluran darah ke jantung; merangsang masalah salur darah tersumbat dan serangan jantung.
> Abdomen — ulser perut; kanser perut, pankreas dan usus serta salur darah bengkak.
> Tulang — osteoporosis; keretakan tulang belakang dan pinggul.
> Darah — leukemia.
> Sistem imun — jadi semakin lemah.

0 Comments:

Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]

<< Home