Friday, May 16, 2008

Hadiah Hari Guru

Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini mengumumkan beberapa insentif untuk guru dalam usaha kerajaan memperkasakan profesion perguruan.

Perdana Menteri berkata bertepatan dengan gagasan kerajaan membangunkan modal insan dan bersesuaian dengan dasar pensiswazahan, kerajaan bersetuju untuk mengambil kira pengalaman mengajar guru semasa dalam skim bukan siswazah D.G.A 29 untuk pertimbangan kenaikan gred secara "time-based" setelah berada dalam skim siswazah iaitu dari D.G.41 kepada D.G.44.

Kaedah yang akan digunakan ialah setiap tiga tahun pengalaman di Gred D.G.A.29 akan dikira sebagai satu tahun pengalaman di Gred D.G.41, tertakluk kepada had maksimum pengiraan sebanyak tiga tahun pengalaman D.G.41.Insentif ini merupakan satu tambahan kepada keputusan kerajaan sebelum ini untuk memberikan satu hadiah kenaikan gaji.

Asas pertimbangan sama iaitu menggalakkan guru melanjutkan pelajaran, kerajaan bersetuju meluluskan cadangan supaya guru Gred D.G.41 yang berasal dari skim bukan siswazah dan memegang jawatan guru besar, dipertimbangkan untuk kenaikan pangkat ke Gred D.G.44 selepas tiga tahun berkhidmat sebagai guru besar pada Gred D.G.41.

Kuota jawatan lebih 300 peratus dalam Skim Guru Cemerlang pada tahun 2006, dan untuk memastikan jawatan itu dapat dinikmati segera oleh guru, kerajaan bersetuju untuk menambah baik beberapa syarat bagi skim itu.

Pertama, bagi pengisian jawatan guru cemerlang D.G.A.32 dari gred asal D.G.A.29 dan jawatan guru cemerlang D.G.44 dari gred asal D.G.41, syarat tempoh kelayakan dipendekkan dari tujuh tahun kepada lima tahun pengalaman mengajar.

Kedua, bagi pegawai yang telah dinaikkan pangkat guru cemerlang di sesuatu gred, boleh dipertimbangkan kenaikan pangkat ke gred selanjutnya tanpa perlu menunggu tempoh tiga tahun perkhidmatan dalam gred yang sedang disandang.

Perdana Menteri berkata pada Hari Guru tahun lepas, beliau telah mengumumkan Skim Cemerlang baru iaitu Guru Besar Cemerlang D.G.A. 38 dengan sebanyak 1,700 jawatan.Bagi membolehkan skim itu dinikmati oleh guru bukan siswazah secara meluas, kerajaan telah bersetuju untuk memperuntukkan 10 peratus daripada kuota sedia ada untuk diberikan kepada pengelola dan guru yang berkhidmat di Kementerian Pelajaran, Jabatan Pelajaran Negeri dan daerah dengan syarat mereka menunjukkan prestasi cemerlang.

Abdullah berkata kerajaan juga telah bersetuju untuk menaikkan gred Pegawai Pelajaran Daerah (PPD) dari Gred D.G.48 ke Gred D.G.52 dan D.G.54, dan menyeragamkan struktur Pejabat Pelajaran Daerah di seluruh negara dengan memansuhkan Pejabat Pelajaran Gabungan bagi Sabah dan Sarawak."Selain kenaikan Gred PPD, penambahbaikan itu juga akan mewujudkan ratusan jawatan kenaikan pangkat baru untuk guru yang berkhidmat di Pejabat Pelajaran Daerah," katanya.

Beliau berkata kerajaan juga bersetuju untuk mengembalikan bayaran insentif Perkhidmatan Kritikal kepada pegawai perkhidmatan pendidikan siswazah (ketukangan) dan pegawai perkhidmatan pendidikan lepasan diploma (ketukangan) memandangkan terdapat kewajaran untuk menetapkan kedua-dua perkhidmatan sebagai perkhidmatan kritikal, berkuatkuasa Januari 2008.

Perdana Menteri berkata kerajaan juga telah meluluskan cadangan penstrukturan baru Kementerian Pelajaran yang kali terakhir distrukturkan pada 1995.Katanya peringkat awal kelulusan ini akan melibatkan pertambahan jawatan dan kenaikan gred bagi jawatan pengurusan tertinggi dan ketua bahagian dari Gred 54 hingga ke Jusa A.

Sebagai contoh, kesemua jawatan Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran kini diseragamkan pada Gred Jusa A berbanding sebelum ini yang berbeza pada Gred Jusa A,B,C dan D.G.54.

Abdullah berkata penambahbaikan dan penstrukturan semula itu disasarkan akan dapat memantapkan sistem penyampaian pendidikan di setiap peringkat.Terdahulu, Abdullah berkata menjadi tanggungjawab kerajaan untuk memperkasakan profesion perguruan kerana ia penting untuk melahirkan modal insan terbaik yang diperlukan negara pada masa depan.Beliau mahukan guru melaksanakan tanggungjawab mereka dengan berkesan untuk mendidik anak-anak dengan baik supaya mereka menjadi insan yang cemerlang.Katanya ini termasuklah menjadikan sekolah tempat yang aman dan bahagia yang sentiasa mampu menarik minat pelajar untuk belajar.

Pada majlis itu, Abdullah menyampaikan Anugerah Tokoh Guru 2008 kepada empat penerima iaitu bekas Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Rashidi Ramlan, 61, bekas Timbalan Pengarah Pelajaran Perak, Datuk Dzulkarnain Abdul Rahman, 69, bekas guru Abu Bakar Shawkat Ali, 63, dan bekas guru K.Krishnasamy, 68.-- BERNAMA

Monday, May 5, 2008