Friday, November 30, 2007

Tali Pinggang Keledar Diwajib Kepada Penumpang Tempat Duduk Belakang

Pemakaian tali pinggang keledar untuk penumpang tempat duduk belakang kenderaan akan diwajibkan mulai tahun depan sebagai usaha meningkatkan keselamatan dalam kenderaan, kata Ketua Pengarah Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR), Datuk Suret Singh.Beliau berkata berdasarkan kajian oleh Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya (Miros) baru-baru ini, pemakaian tali pinggang keledar bagi penumpang tempat duduk belakang dapat mengurangkan risiko kecederaan jika berlaku kemalangan.

Katanya ia sejajar dengan usaha kerajaan yang mahu memastikan penurunan kadar kemalangan jalan raya dapat terus dilakukan pada tahun-tahun akan datang."Kajian Miros mengenai keperluan pemakaian tali pinggang keledar untuk penumpang tempat duduk belakang sudah siap dan akan dibentangkan dalam mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Keselamatan Jalan Raya untuk kelulusan tidak lama lagi."Pelaksanaannya tidak menjadi masalah kerana ia hanya perlu pindaan kecil kepada Peraturan Tali Pinggang Keledar di bawah Akta Pengangkutan Jalan dan tidak perlu di bawa ke Parlimen kerana ia dibawah bidang kuasa Kementerian Pengangkutan," katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.Turut hadir ialah Ketua Pengarah Miros, Prof Dr Radin Umar Radin Sohadi dan Pengarah Penguatkuasa Jabatan Pengangkutan Jalan, Salim Parlan.

Sebelum ini, Menteri Pengangkutan Datuk Seri Chan Kong Choy berkata kementeriannya akan membentangkan kertas cadangan bagi mewajibkan pemakaian tali pinggang keledar untuk penumpang tempat duduk belakang bagi meningkatkan keselamatan dalam kenderaan.Sehubungan itu, penumpang yang tidak mematuhi peraturan itu akan disaman seperti pemandu dan penumpang hadapan.Di samping itu, Suret berkata pihaknya akan mempertingkatkan lagi kempen pemakaian tali pinggang keledar untuk penumpang tempat duduk belakang.

0 Comments:

Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]

<< Home