Thursday, January 3, 2008

Cari kawan di hujung jari

PERJALANAN kehidupan sering membawa seseorang ke arah dan haluan berbeza. Secara tidak langsung, ia turut menjarakkan sesebuah jalinan persahabatan.

Setiap individu yang muncul dalam kehidupan seseorang sebenarnya memberi sumbangan dalam kisah kehidupan mereka. Ada di antaranya memainkan peranan yang besar serta meninggalkan kesan mendalam dalam ingatan.

Apabila sesebuah persahabatan terlerai kerana masing-masing mengharungi jalan hidup berlainan yang sudah 'dicaturkan' buat mereka, jarang sekali jalinan persahabatan itu dapat bercantum semula, apatah lagi jika perpisahan berkenaan meniti jarak waktu yang panjang.

Ambil masa sejenak dan imbas semula zaman persekolahan anda. Berapa ramai rakan yang muncul di ingatan anda dan berapa ramai pula yang masih berhubungan dengan anda. Tidak begitu ramai bukan? Kadangkala, apabila kenangan dulu terlintas di fikiran, timbul rasa untuk mengetahui apakah khabar rakan lama itu dan apa agaknya yang mereka lakukan ketika ini. Bagi yang 'proaktif', ingatan yang hadir itu tidak dibiarkan berlalu begitu saja tetapi dijadikan penggerak untuk mereka menjejaki semula rakan yang pernah mengharungi suka duka bersama-sama mereka suatu ketika dulu.

Ketika penggunaan telefon bimbit belum meluas dan sebelum wujud internet berserta pelbagai kemudahan berupa laman sembang dan juga jaringan sosial di dalamnya, ramai yang merasakan sukar untuk mereka mengekalkan sesebuah ikatan persahabatan. Tamat persekolahan, hanya maklumat seperti alamat dan nombor telefon kediaman biasanya yang boleh diharapkan tapi bila jarang berhubung dan ada pula di antara rakan yang sudah berpindah ke tempat lain, persahabatan yang ada boleh terputus begitu saja. Karier, komitmen sosial dan keluarga adalah antara faktor yang selalunya membuatkan sesebuah jalinan persahabatan terputus.

Namun, sejak meluasnya penggunaan internet dan adanya medium seperti laman jaringan sosial yang boleh dikatakan menjadi suatu trend kebelakangan ini, ramai individu kini berasa 'terpanggil' untuk mencari semula rakan sekolah, sepermainan atau sekerja yang sudah lama tidak ditemui. Kata orang, walaupun semakin jauh perjalanan hidup dan semakin banyak persahabatan yang dijalinkan, rakan yang bersama-sama ketika meniti usia remajalah yang paling diingat-ingat kerana dengan merekalah bermacam pengalaman pahit manis mengenai kehidupan kita tempuhi dan pelajari.

Matlamat menjejak semula rakan lama biasanya subjektif. Sesetengah orang ingin menyambung semula hubungan persahabatan yang pernah terpisah, ada pula yang mahu mengimbas kisah menarik yang pernah dilalui bersama dan tidak kurang juga yang terdorong oleh rasa rindu selepas sekian lama tidak berjumpa. Bagi anda yang berhasrat untuk menjejak semula rakan lama, internet boleh dijadikan saluran untuk anda merealisasikannya.

Anda boleh memulakannya dengan menggunakan 'khidmat' enjin pencarian. Carian yang mudah dapat membantu anda. Ramai menyatakan enjin pencari popular seperti Google dan Yahoo! memudahkan usaha mereka mendapatkan maklumat terkini mengenai rakan lama. Ini kerana, sesebuah enjin pencarian mengandungi berbillion laman bermaklumat. Taip saja nama penuh atau nama panggilan rakan lama anda di enjin pencarian. Hasil pencarian itu berkemungkinan akan menemukan anda dengan maklumat seperti pekerjaan, tempat tinggal atau kegiatan yang dilakukannya sekarang ini. Jika tidak pun, tidak mustahil akan ada maklumat yang berguna untuk anda menjejaki rakan anda itu. Bagi maklumat yang lebih tepat, taipkan carian yang lebih terperinci. Laman seperti Classmates.com umpamanya, menjadi medan bagi lebih 40 juta pengguna (kebanyakannya di Amerika Syarikat dan Kanada) untuk mencari rakan, dari peringkat prasekolah sehinggalah ke universiti melalui maklumat seperti profil diri dan latar belakang akademik yang diisi setiap pemegang akaun ketika mendaftar.

Ramai yang berjaya bersatu semula dengan kumpulan rakan lama mereka dan dapat bersahabat seperti dulu. Di peringkat tempatan pula, ada beberapa laman jaringan sosial yang menjadi saluran, antaranya ekawan.com yang disertai 150,000 pengguna berdaftar dan membolehkan ahlinya berhubung dengan kenalan baru, rakan sekelas, rakan sekerja dan rakan yang telah lama terputus hubungan. Selain dua laman yang dinyatakan ini, terdapat banyak lagi laman jaringan sosial yang boleh menjadi ruang untuk anda menjejak semula rakan lama anda. Friendster.com. Myspace.com, Facebook.com atau pelbagai laman seumpamanya adalah antara contoh laman yang dilihat efektif dalam menghimpunkan komuniti atau jaringan rakan, baik yang lama mahupun yang baru. Penggunanya boleh mencari rakan lama mereka menerusi data profil seperti nama, sekolah yang pernah dihadiri ataupun hobi dan minat rakan lama mereka yang masih diingati.

Tidak dinafikan, proses ini akan mengambil sedikit masa lebih-lebih lagi jika kebanyakan rakan yang dicari itu tidak menyertakan maklumat yang tepat mengenai diri mereka ketika mendaftar di laman web tempat anda mencari mereka itu, namun apabila usaha gigih anda itu membuahkan hasil, ia tentunya bermakna buat diri anda dan rakan. Melalui laman seperti ini juga sebenarnya, anda boleh membuat pengumuman terbuka mengenai pencarian rakan lama anda itu. Mungkin ada pengguna lain di komuniti yang sama mengenali rakan yang anda cari itu Mungkin pada pandangan sesetengah anda, kehilangan rakan lama ini tidak memberi sebarang kesan pun dalam kehidupan mahupun masa depan. Namun, tidak salah rasanya jika anda pertimbangkan juga kelebihan yang diperoleh apabila bertemu semula dengan rakan lama. Pertemuan berkenaan barangkali boleh menjadi permulaan kepada sesuatu yang positif.

Contohnya, jika ada di antara rakan lama anda yang berjaya dalam sesuatu bidang yang kebetulan anda juga mempunyai minat mengenainya, anda boleh mendapatkan pandangan atau nasihat daripada mereka. Begitu juga dengan peluang pekerjaan atau perniagaan. Oleh kerana anda dan rakan sudah saling mengenali, mungkin lebih mudah bagi anda dan rakan untuk menjalankan sesebuah kerja atau perniagaan bersama. Apapun, anda tetap perlu berhati-hati dalam berkongsi maklumat diri dalam sesebuah laman web (biarpun bertujuan mencari rakan lama). Hanya kongsi maklumat yang dirasakan benar-benar perlu saja kerana apa saja maklumat yang dipaparkan di dunia siber menghadapi risiko untuk dieksploitasi pihak tidak bertanggungjawab. Mungkin banyak lagi manfaat dan keuntungan yang boleh diperoleh dan hanya diketahui sebaik saja anda dan rakan lama dapat bergandingan semula. Sebagai langkah pertama, sertailah laman komuniti di web yang anda rasakan 'strategik' dan bersedialah untuk bersatu semula dengan 'geng kamceng' anda dulu!

5 tips jejak insan dirindui SESEKALI mungkin anda tertanya-tanya apa agaknya yang rakan lama anda lakukan sekarang ini. Untungnya, kehadiran internet memudahkan kita menjejak semula rakan lama. Di sini terdapat beberapa langkah yang dapat membantu anda berhubung semula dengan rakan lama:

  • Fikirkan semula siapakah rakan lama yang sering anda kenang dan rindukan.
  • Gunakan medium yang ada di internet seperti laman web jaringan sosial atau laman web khusus untuk menghimpunkan rakan yang belajar di sekolah yang sama. Di samping itu, jangan lupa juga untuk menyemak buku panduan telefon.
  • Apabila sudah memperoleh maklumat yang boleh dipercayai (alamat atau nombor telefon), jangan teragak-agak untuk cuba menghubungi. Seseorang harus memulakan langkah pertama.
  • Pastikan sama ada rakan lama anda itu masih berminat untuk berkawan dengan anda. Cuba ajak rakan itu bertemu. Jika beliau kelihatan seperti tidak berminat, usah kecewa. Sekurang-kurangnya anda sudah berusaha.
  • Jika anda berjaya menghubungi dan bertemu semula dengan rakan lama anda, jadilah sahabat yang baik dan memahami. Apapun, beri mereka sedikit masa dan ruang untuk membiasakan diri dengan kemunculan anda di dalam hidup mereka semula. Hormati persahabatan berkenaan, kongsi sebanyak mana maklumat yang boleh dan tidak mustahil persahabatan yang terjalin kembali ini akan menjadi lebih baik daripada yang dulu.

0 Comments:

Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]

<< Home