Thursday, January 17, 2008

Makanan 'menanti' di muka pintu


SEBELUM ini, mungkin kebanyakan kita menganggap hanya beberapa restoran makanan segera saja yang menawarkan perkhidmatan penghantaran ke rumah. Sebenarnya bukan hanya restoran makanan segera saja yang dapat menghantar makanan segera terus ke pintu rumah anda. Hidangan yang sebelum ini anda fikir hanya boleh dinikmati di ruang restoran yang berhawa dingin juga boleh dinikmati dalam suasana santai di rumah.

Perkhidmatan Room Service Deliveries (RSD) membuatkan anda tidak terseksa keluar menghadapi kesesakan jalan raya dan beratur menanti giliran semata-mata untuk menikmati makanan yang diidamkan di restoran kegemaran anda. Setakat ini, RSD adalah satu-satunya perkhidmatan penghantaran makanan terbesar untuk rangkaian restoran terpilih di ibu negara mulai jam 11 pagi hingga 11 malam setiap hari. Konsep perkhidmatan seperti ini sebenarnya sudah lama dipraktikkan di bandar maju seperti London dan New York. Di Malaysia juga ia bukan sesuatu yang terlalu baru sebaliknya sudah mula diperkenalkan sejak 2002.

"Perkhidmatan ini semakin mendapat sambutan sejak tiga tahun lalu. Kini, kami menjalankan perkhidmatan penghantaran untuk lebih 100 restoran terkemuka yang menyediakan pelbagai hidangan lazat. "Malah, pelanggan tetap RSD juga sudah mencecah 10,000 orang," kata Steven Chew yang bertindak sebagai Pengurus Pembangunan Perniagaan Asian Room Service Sdn Bhd, syarikat yang menjayakan perkhidmatan ini. Idea membawa perkhidmatan ini ke Malaysia adalah berikutan ketiadaan perkhidmatan penghantaran ke rumah dan pejabat oleh kebanyakan restoran sedangkan permintaan untuk perkhidmatan berkenaan wujud. Ia juga didorong oleh perubahan dalam gaya hidup masyarakat hari ini yang kian sibuk.
"Golongan yang sibuk biasanya tidak mempunyai banyak masa untuk memasak di rumah dan selalunya tidak berkesempatan untuk menikmati hidangan kegemaran ketika bekerja atas faktor waktu yang terhad. "Makanan yang boleh dipesan melalui penghantaran pula kebanyakan makanan segera. Sesekali pastinya mereka teringin untuk menikmati hidangan istimewa di restoran. Perkhidmatan yang dijalankan RSD ini dapat memenuhi keinginan mereka itu," katanya. Kata Chew, untuk membuat pesanan, pelanggan hanya perlu merujuk menu yang disediakan dan membuat pesanan melalui panggilan telefon.
"Sebelum itu, mereka harus melengkapkan butiran diri yang diperlukan seperti nama, alamat kediaman atau pejabat dan nombor telefon. "Maklumat ini akan menjadi rujukan untuk pesanan yang seterusnya," katanya. Harga pesanan minimum adalah RM20 dan setiap penghantaran akan dicaj RM10. Bagi setiap pesanan, RSD memberi beberapa jaminan seperti penghantaran dalam tempoh kira-kira satu jam atau satu jam 15 minit di zon yang lokasinya agak jauh dari pusat bandar. Mereka akan memastikan hidangan yang dihantar kepada pelanggan masih berkeadaan panas. Pelanggan turut dibenarkan membuat beberapa pesanan dari restoran berlainan.
"Setiap hari, purata panggilan yang diterima RSD adalah sekitar 100 panggilan. Kebanyakannya datang dari kawasan Bangsar dan beberapa kawasan sekitar Kuala Lumpur. "Peningkatan bilangan pelanggan mungkin dipengaruhi pertambahan bilangan restoran yang berada di bawah perkhidmatan kami, yang mana secara tidak langsung memberi lebih banyak pilihan hidangan untuk pelanggan. "Ketepatan masa penghantaran juga menyumbang kepada peningkatan ini," katanya. Selain penghantaran makanan, RSD merancang untuk meluaskan perkhidmatan mereka kepada penghantaran barangan runcit dan juga penghantaran ke dobi. Ia dijangka dilaksanakan tahun ini. "Kami juga bercadang untuk meluaskan perkhidmatan ini ke Singapura tahun depan memandangkan ia antara pasaran strategik di rantau ini.
"Tahun berikutnya kami akan meneroka ke negara lain pula," ujar Chew sambil menambah, tiada had maksimum untuk jumlah hidangan yang ingin dipesan dan pelanggan juga boleh membayar menggunakan kad kredit. RSD akan mengadakan promosi istimewa sempena Tahun Baru Cina dan Hari Kekasih Februari ini. Untuk maklumat lanjut, layari www.roomservicedeliveries.com
Hidangan tetap panas, lazat Ribuan pelanggan Room Service Deliveries (RSD) di sekitar Lembah Klang yang berada di sekitar Lembah Klang mempunyai menu RSD yang menyenaraikan pilihan hidangan dan restoran yang dibahagikan mengikut kawasan iaitu sekitar Kuala Lumpur & Ampang, Bangsar & Petaling Jaya, Subang & Sunway serta Pulau Pinang. Menu ini dihasilkan dan diedar setiap enam bulan agar senarai restoran dan menu dapat dikemaskini sekali gus memperluaskan lagi pasaran. Pelanggan hanya perlu mendapatkan menu, memilih restoran kegemaran mereka, memilih nombor hidangan yang diingini, kemudian menghubungi 03-6201 2400. Wakil khidmat pelanggan akan mengambil pesanan, memberitahu jumlah yang perlu dibayar pelanggan serta tempoh penghantaran pesanan berkenaan. RSD akan menghantar dua salinan faks pesanan itu kepada restoran supaya mereka (restoran) menyediakan hidangan dalam tempoh 20 ke 25 minit berikutnya. Seorang daripada kakitangan penghantaran RSD akan mengambil hidangan yang dipesan dari restoran itu bersama satu daripada salinan faks dan terus menghantarnya kepada pelanggan yang membuat pesanan dalam masa satu jam. Setiap pesanan yang hendak dihantar diletakkan di dalam 'Hot Bags' yang direka khusus untuk memastikan pelanggan menerima makanan yang panas, lazat dan sedia untuk dinikmati.
Ketika pesanan diambil dari restoran, kakitangan penghantaran itu mesti membuat panggilan FOB (food on board) kepada pusat khidmat pelanggan RSD dan membuat panggilan sekali lagi ketika pesanan sudah dihantar kepada pelanggan. Cara ini membolehkan pusat khidmat pelanggan RSD mengawasi dan memastikan pesanan dapat diterima pelanggan dalam tempoh yang dijanjikan. Fokus perkhidmatan RSD adalah kepada pelanggan yang ingin menikmati makanan mereka di rumah.
Oleh itu, perkhidmatan ini tidak memberi persaingan kepada operasi perniagaan di restoran yang mengambil bahagian malah menjana pendapatan tambahan kepada mereka serta membantu untuk memaksimumkan pengeluaran dari dapur restoran. Waktu puncak penghantaran iaitu antara jam 6 petang hingga 8 malam juga tidak berselisih dengan waktu puncak kesibukan di restoran (sekitar jam 8 hingga 10 malam). Biasanya, RSD akan sibuk menerima panggilan dari pelanggan ketika cuaca hujan, berlangsungnya perlawanan bola sepak atau ketika cuaca tidak baik yang mana waktu begini kebanyakan individu lebih senang berada di rumah.

0 Comments:

Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]

<< Home