Thursday, January 10, 2008

Masa untuk tumpu aktiviti pembelajaran

SESI persekolahan 2008 sudah memasuki minggu kedua. Walaupun kebanyakan sekolah sudah memulakan aktiviti pengajaran dan pembelajaran (P&P), masih kedengaran keluhan ibu bapa mengenai bebanan yang terpaksa mereka pikul dalam membuat persediaan persekolahan anak-anak mereka.

Antara keluhan yang paling hangat diperkatakan itu ialah mengenai yuran tambahan yang dikenakan pihak sekolah terutama yuran persatuan ibu bapa dan guru (PIBG), yuran komputer, caj pakaian sukan dan beberapa caj tambahan lain yang bagi mereka tidak wajar dikenakan pihak sekolah. Oleh kerana media turut memaparkan mengenai permasalahan itu, menjadikan isu berkenaan terus diperkatakan sehingga kini.

Isu berkaitan pendidikan sememangnya tidak pernah sunyi daripada menjadi perhatian masyarakat. Sama ada ia mengenai kejayaan pelajar, apatah lagi jika isu itu berkaitan kegagalan atau kelemahan pihak tertentu kerana ia turut menyentuh soal kepentingan pendidikan anak mereka.

Sebab itulah saban tahun, setiap kali bermulanya sesi baru persekolahan, isu pembiayaan persekolahan anak-anak sering menjadi tumpuan. Daripada isu kecil seperti kenaikan harga makanan di kantin sekolah hinggalah kepada kenaikan tambang bas dan harga uniform pelajar sering mendapat liputan media dan yang paling banyak diperkatakan ialah mengenai isu yuran persekolahan. Sama ada suka atau tidak, pendidikan akan terus menjadi fokus masyarakat sepanjang tahun. Soal disiplin, keselamatan pelajar, makanan, tambang bas, kebersihan sekolah, buku, prestasi akademik, asrama malahan semuanya akan menjadi perhatian ibu bapa dan masyarakat.

Tahun ini isu yuran persekolahan yang menjadi perbualan sejak September 2007 lagi, menjadi tumpuan utama berbanding tahun sebelum ini berikutan kerajaan mengumumkan pemansuhan yuran khas sekolah dalam pembentangan Bajet 2008 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Tanpa mendapat maklumat secukupnya mengenai nilai sebenar yuran khas sekolah yang dimansuhkan itu, ibu bapa menaruh harapan begitu tinggi bahawa langkah kerajaan akan dapat meringankan beban yuran yang terpaksa dibayar setiap tahun, lebih-lebih lagi apabila dikaitkan pula dengan pendidikan percuma untuk semua di mana Perdana Menteri turut mengumumkan perluasan Skim Bantuan Buku Teks kepada semua pelajar tanpa mengira pendapatan seisi rumah seperti yang disyaratkan sebelum ini. Malahan ada segelintir ibu bapa beranggapan pengumuman mengenai pemansuhan yuran khas sekolah itu bermakna ibu bapa tidak perlu membayar apa-apa langsung apabila sesi persekolahan baru 2008 dibuka.

Sehubungan itu, seperti yang dilaporkan media, ada sebilangan ibu bapa yang terperanjat dan keliru apabila tiba di sekolah mereka ditunjukkan senarai panjang yuran yang perlu dilunaskan, sama seperti tahun sebelum ini, malahan di sesetengah sekolah yurannya melebihi yuran yang perlu dibayar pada tahun sebelumnya apabila ada sekolah yang menaikkan yuran PIBG, serta beberapa caj tambahan lain. Bagi pihak yang mengetahui keadaan sebenar, kekecohan yang berlaku itu sudah dijangka berikutan maklumat yang tidak mencukupi sampai ke pengetahuan ibu bapa. Lebih memburukkan keadaan terdapat pula sekolah yang mengenakan caj tambahan yang tidak wajar seperti caj tandas.

Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, ternyata agak kecewa dengan apa yang berlaku. Barangkali ramai yang masih ingat, beliau pernah menyatakan kerajaan terpaksa menyediakan sejumlah peruntukan tambahan yang besar bagi menampung pemansuhan yuran khas sekolah, pemansuhan yuran peperiksaan serta perluasan Skim Pinjaman Buku Teks kepada 5.7 juta pelajar berbanding 4.5 juta juta sebelum ini. Harapan beliau ialah jangan ada di kalangan rakyat yang tidak menghargai bantuan yang dinikmati itu kerana bantuan yang disalurkan kerajaan untuk pendidikan adalah besar. Misalnya bagi menampung kos pemansuhan yuran peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR), Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan yang terbaru Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM), kerajaan terpaksa menanggung perbelanjaan sejumlah RM210 juta setahun.

Berikutan perluasan Skim Bantuan Buku Teks percuma kepada semua pelajar pula, kerajaan terpaksa menyediakan peruntukan tambahan sejumlah RM128 juta. Manakala pemansuhan yuran khas sekolah yang bernilai RM4.50 bagi murid sekolah rendah dan RM9 bagi sekolah menengah, kerajaan perlu menyediakan peruntukan tambahan berjumlah RM36.7 juta mulai tahun ini. Daripada jumlah itu, RM22.7 juta membabitkan yuran khas sekolah menengah, manakala RM14 juta lagi untuk sekolah rendah. Tahun ini juga, kerajaan akan mengagihkan uniform percuma untuk kegiatan kokurikulum kepada pelajar dari keluarga yang berpendapatan seisi rumah kurang daripada RM1,000 sebulan bagi memastikan setiap pelajar berpeluang membabitkan diri dalam kegiatan kokurikulum beruniform. Peruntukan yang harus disediakan bagi tujuan itu berjumlah RM188.8 juta. Terdapat banyak lagi bantuan lain yang disediakan kerajaan sepanjang 2008, antaranya bantuan makanan di asrama dengan peruntukan sejumlah RM1.14 bilion, rancangan makanan tambahan (RM276 juta), skim bantuan tuisyen (RM181.94 juta), bantuan makanan SBT (RM65.02 juta), program susu sekolah (RM26.7 juta), biasiswa (RM268.47 juta), pelajar kurang upaya (RM13.8 juta) dan tabung KWAPM (RM214.69 juta).

Kita harap isu yuran persekolahan tidak akan berpanjangan, sebaliknya dapat ditangani secepat mungkin. Biarlah selepas ini guru dapat memberi tumpuan sepenuhnya kepada aktiviti pembelajaran demi kemajuan anak-anak kita. Jika ada pihak yang masih tidak berpuas hati, mereka haruslah duduk semeja dengan pihak sekolah supaya masalah mereka dapat ditangani secara muafakat. Marilah kita bekerjasama dengan pihak sekolah dalam menjayakan pelbagai program yang dirancangkan sepanjang tahun ini, sama ada kegiatan akademik mahupun kokurikulum. Banyak sekolah yang memerlukan sokongan sumber kewangan bagi mengisi dana untuk menjalankan pelbagai program berkenaan. Oleh itu setiap ibu bapa wajar memberi kerjasama dan jangan hanya pandai mencari kelemahan pengurusan sekolah.

Akhir sekali, ‘Selamat Tahun Baru 2008’ kepada semua guru. Jadikanlah setiap pengalaman suka duka yang dilalui sepanjang 2007 sebagai cabaran untuk mencatat kejayaan lebih gemilang pada 2008, demi kemajuan pendidikan anak bangsa.

0 Comments:

Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]

<< Home