Monday, November 17, 2008

Perkahwinan Bukan Bermodalkan Cinta Sahaja

Sekarang dah musim cuti sekolah, musim hujan dan musim orang artis berkahwin . Kesempitan akibat ekomoni bukanlah alasan, majlis perkahwinan tetap meriah.

Ramai yang memasuki gerbang perkahwinan hanya dengan bermodalkan cinta semata-mata. Sedangkan perkahwinan yang bermula dengan cinta membara bukan jaminan untuk ia terus bertahan.
Dan, surat nikah pula bukan jaminan kebahagiaan kerana ia ibarat lesen kereta yang belum tentu menjamin keselamatan jalan raya jika kita tidak mematuhi peraturan lalu lintas. Dalam perkahwinan kita membawa beraneka kelakuan dan kebiasaan. Kelakuan itu sama ada baik mahupun buruk, kelebihan atau kelemahan serta kedewasaan atau kanak-kanak.
Perkahwinan adalah tindakan orang dewasa walaupun ketika memasuki gerbang perkahwinan, kita belum cukup dewasa. Sepatutnya, apabila diijab kabul, kita yakin kepada diri sendiri bahawa kita dalam dunia orang dewasa. Dalam perkahwinan, kita mungkin terbawa sikap keanak-anakan atau perangai ganjil dan mementingkan diri sendiri. Malah, perkahwinan bukan jaminan kita akan meninggalkan semua sifat itu. Namun, apabila kita mampu mengimbangi kelakuan yang sukar itu, perkahwinan menjadi perpaduan yang menyenangkan.
Terdapat juga seseorang yang begitu lama mempunyai sikap keanak-anakan tiba-tiba berubah menjadi orang dewasa apabila memasuki alam perkahwinan. Kadangkala perkahwinan itu melukai kita tetapi perkahwinan juga menyembuhkan kita. Banyak pasangan suami isteri yang bahagia mempunyai cerita betapa sulitnya mereka ketika dalam masa penyesuaian. Malah, mereka hampir terhempas dan karam. Tetapi, mereka mampu menghadapi semua cabaran itu dan akhirnya perkahwinan menjadikan mereka dewasa.
Dalam perkahwinan kita beruntung kerana mempunyai seorang kawan tempat kita mengadu, membahagikan masa dan menghadapi hari-hari yang tidak dapat dipastikan sama ada seronok atau sebaliknya. Walaupun kadangkala perangai suami menyakitkan hati, tetapi dia masih boleh menjadi suami yang baik malah kadangkala dalam kesepian, dapat juga kita melabuhkan kepala ke bahu atau dada suami.
Memang selalu kita dengar keluhan yang menakutkan mengenai perkahwinan. Misalnya, seorang wanita bercerita, “selama 20 tahun saya menjadi isterinya, hidup saya benar-benar terseksa. Barulah sekarang kami bahagia”. Mendengar keluhan begini, tentu ada yang beranggapan bahawa begitu lama untuk mencari penyesuaian, jika begitu lebih baik tidak berkahwin. Sebenarnya, kejadian yang begitu dramatis tidaklah selalu terjadi untuk mencapai penyesuaian dalam perkahwinan.
Sebagai bukti, ketika hidup bersama keluarga, ayah, ibu, kakak, abang dan adik atau dalam pergaulan sehari-hari, teman sebilik juga memerlukan keseimbangan. Malah, kejadian sehari-hari seperti itu adalah latihan untuk hidup bersama pasangan anda dalam perkahwinan.

Tanda-tanda Akhir Zaman

1. Sembahyang diabaikan (diringan-ringankan).
2. Keinginan nafsu syahwat digalakkan dan berleluasa disebarkan melalui iklan, buku, gambar, risalah atau filem.
3. Penjenayah menjadi pemimpin dan kebanyakannya jahil mengenai agama dan banyak memberi fatwa yang menyesatkan pengikutnya.
4. Perkara benar menjadi salah dan salah menjadi benar. Sukar untuk membezakan perkara halal dan haram kerana yang haram dianggap halal serta sebaliknya.
5. Berbohong menjadi satu keperluan dalam hidup dan menganggap jika tidak berbohong sukar untuk hidup senang.
6. Membayar zakat (harta, perniagaan dan pendapatan) dianggap beban.
7. Orang yang hidup mengikut kehendak agama ditindas dan hati mereka sentiasa merintih kerana maksiat berleluasa tetapi mereka tidak mampu mencegahnya.
8. Turun hujan di luar musimnya dan hujan tidak memberi keuntungan kepada makhluk di muka bumi.
9. Fenomena lelaki berkahwin dengan lelaki (homoseksual) dan perempuan berkeinginan kepada perempuan (lesbian) semakin menjadi-jadi.
10. Perempuan menguasai lelaki dengan memakai ubat guna-guna, sihir dan amalan syaitan lain.
11. Anak-anak mengingkari dan menderhaka ibu bapa (ibu bapa menjadi kuli dan anak menjadi tuan).
12. Kawan baik dilayan dengan kasar, manakala musuh diberi layanan baik. Kawan disangka lawan dan musuh dianggap sahabat serta memusuhi orang yang mengajak berbuat kebaikan.
13. Dosa dipandang ringan malah bangga melakukannya seperti zina, minum arak, bergaul bebas antara lelaki dan perempuan, meninggalkan sembahyang, mendedahkan aurat dan berjudi.
14. Masjid dihias indah tetapi kosong, terpulau, berkunci dan banyak berlaku kecurian barang masjid yang berharga.
15. Ramai yang sembahyang tetapi munafik dan berpura-pura. Di dalam sembahyang berjanji akan mengikut suruhan Allah tetapi di luar sembahyang melanggar perintahNya,
16. Akan datang golongan manusia dari Barat menguasai mereka yang lemah (iman) dan ramai terpengaruh dengannya seperti mengikut cara mereka berpakaian, bergaul dan suka berpesta.
17. Al-Quran dicetak dengan indah tetapi hanya dijadikan perhiasan dan jarang dibaca serta diamalkan kehendaknya.
18. Amalan riba berleluasa hingga orang alim pun terjebak sama.
19. Darah manusia tidak berharga, sering berlaku pembunuhan, peperangan dan jenayah.
20. Penganut Islam tidak mahu mengamalkan suruhan agama dan tidak mahu membela serta menyebarkannya.
21. Akan bertambah banyak penyanyi wanita (wanita yang tidak beriman adalah senjata syaitan yang baik).
22. Ramai orang kaya pergi umrah dan haji dengan tujuan melancong, yang sederhana pergi untuk berniaga dan yang miskin bermaksud meminta sedekah.

Perlukah contohi AS?

SETELAH mendengar dan membaca dolak-dalih Datuk Tan Lian Hoe yang menyalahkan wartawan (Utusan Malaysia terutamanya) dan orang lain kerana memutar-belitkan kenyataannya sebelum ini, saya terus terpanggil untuk terus menulis. Apatah lagi isu pemilikan ekuiti bumiputera sebanyak 30 peratus (Dasar Ekonomi Baru) masih belum reda setelah berkali-kali ia disarankan oleh MCA, DAP dan Gerakan agar ia dihapuskan.
Terbaru, timbul pula cerita lama yang secara sengaja dibangkitkan semula oleh ketiga-tiga parti politik Cina ini. Mereka mahukan negara kita meniru atau mencontohi trend yang berlaku di Amerika Syarikat (AS) yang memilih Barack Hussein Obama, seorang pemimpin berkulit hitam menjadi Presiden negara tersebut, memecah tembok perkauman antara kulit putih dan kulit hitam selama lebih 200 tahun.
MCA, DAP dan Gerakan mahukan negara kita turut memecah tembok perkauman ini dengan melantik bukan Melayu sebagai ketua negara atau ketua syarikat-syarikat milik kerajaan (GLC) atau kerajaan negeri seperti.
Apa yang saya lihat, kerajaan telah banyak membuka ruang dan peluang sebegini, cuma saya belum melihat respons syarikat-syarikat yang diterajui oleh bukan Melayu membuka ruang dan peluang kepada orang Melayu. Kalau adapun hanyalah sebagai syarat untuk mengaburi mata orang Melayu sahaja atau melariskan perniagaan mereka dalam sektor makanan dan perkhidmatan.
Lebih menyedihkan lagi ada yang tidak diberikan kesempatan masa untuk bersembahyang dan solat Jumaat.
Permainan politik ini membuatkan saya teringat kepada kata-kata bekas Presiden MCA, Tun Tan Cheng Lock yang meluahkan pandangannya terhadap seorang pemimpin Melayu seperti yang dinukilkan oleh teman seangkatannya, Thio Chan Bee. Chan Bee dalam artikel bertajuk The Foundation of Racial Harmony, merakamkan perbualan Cheng Lock dengan seorang pemimpin Melayu ketika MCA hendak ditubuhkan.
"Orang Cina sudah mempunyai kuasa ekonomi manakala orang Melayu mempunyai kuasa politik. Jika orang Cina menolong orang Melayu membantu meningkatkan status ekonominya, sudah pasti orang Melayu akan berkongsi kuasa politik dengan orang Cina.
Jika orang Cina mahu memberikan kerjasama dengan orang Melayu, orang Melayu pasti mengalu-alukan kerjasama itu. Sebaliknya, jika orang Cina bertekad untuk menentang orang Melayu, sudah tentu secara spontan orang Melayu akan membalas tindakan tersebut".
Mendengar sahaja kata-kata itu, Cheng Lock berasa gembira dan mengumumkan penubuhan MCA dengan matlamat utama untuk menggalakkan dan mengekalkan hubungan harmoni antara kaum di Malaya. Asas hubungan kerjasama telah disepakati (Bulletin MCA, The Guardian. Vol 2. June 2006: 5). Dengan tertubuhnya MCA juga, semakin ramai orang Cina tidak dihantar balik ke negeri asal mereka di China.
Inilah bentuk pakatan politik yang dikatakan telah berjaya menyatukan kaum Melayu-Cina ketika itu. Orang Melayu berpegang kepada prinsip more power more say, manakala orang Cina dengan budaya more money more say. Tunku Abdul Rahman, Perdana Menteri pertama, amat optimis dengan formula ini dan pernah meluahkan kata-kata yang sama, let Malay handle the power, the Chinese take care of the business (Comber, 2007). Tunku juga merasakan formula ini akan membawa kejayaan kepada Tanah Melayu dan ia perlu dikekalkan.
Kenyataan ini turut diperakui oleh Comber (2007: xxii) yang memetik kata-kata Tunku Abdul Rahman pada tahun 1969 yang menyebut bahawa "Orang- orang Melayu telah memperolehi kuasa politik untuk diri mereka sendiri. Orang- orang Cina dan India telah memenangi kuasa ekonomi."
Namun, keadaan berlaku sebaliknya. 'Formula' Tunku ini semakin meretakkan hubungan baik antara Cina-Melayu kerana orang Cina tidak mahu mematuhi perkara yang telah dipersetujui itu. Orang-orang Cina lebih terpengaruh dengan kempen Malaysia untuk orang Malaysia atau Malaysian Malaysia yang dipelopori oleh PAP sebelum itu yakni konsep sama rasa dan sama rata. Setelah ekonomi dikuasai, PAP juga mahukan jawatan tertinggi negara turut dibuka kepada mereka, termasuk jawatan Perdana Menteri.
Kebaikan
'Formula' Tunku ini ditentang oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad ketika itu. Dr. Mahathir mengkritik secara terbuka terhadap Tunku Abdul Rahman dengan melabelkan Tunku sebagai Chinese lover. Penguasaan kuasa ekonomi dan kuasa politik mengikut garis kaum ini tidak akan mendatangkan kebaikan kepada kedua-dua belah pihak, malah akan merumitkan lagi keadaan pada masa akan datang.
Hari ini, apa yang nyata, formula ini tidak boleh diterima pakai. Keadaan sudah jauh berubah dan jauh berbeza. Menurut Lee Boon Kok (temubual, 8 Januari 2007), kata-kata biarlah orang Melayu memegang kuasa politik dan orang Cina, memegangkan kuasa ekonomi sudah tidak relevan lagi.
Orang Cina mahu lebih daripada itu. Mereka bukan hanya mahukan kuasa ekonomi, tetapi juga kuasa politik. Dengan adanya kuasa politik, barulah kegiatan ekonomi boleh berkembang dan berjalan dengan lancar.
Orang Cina tidak akan berhenti menuntut dan mendesak selagi tidak wujud konsep sama rata dan sama rasa. Melalui sistem perkongsian kuasa dengan dalam Barisan Nasional (BN), kuasa juga mereka telah perolehi, tetapi mereka terus meminta lebih kuasa.
DAP terus membangkitkan bahawa jawatan Menteri Kewangan, malah jawatan Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri, perlu dibuka kepada orang Cina. Begitu juga desakan jawatan-jawatan tinggi dalam kerajaan termasuk institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan sektor perkhidmatan awam.
Orang Cina terus mendesak agar jawatan-jawatan ini diberikan kepada mereka selain dibolot daripada orang Melayu. Pendek kata, apa yang dirasai oleh orang Melayu, mesti juga dirasai oleh orang Cina.
Inilah sifat kiasu atau mahu sentiasa menang yang mula bersarang pada generasi hari ini. Sifat kiasu ini adalah baik jika digunakan pada tempatnya yang betul. Tetapi dalam konteks yang berlaku masa kini, sifat ini berlaku dalam keadaan yang amat menakutkan. Sekadar mempunyai kuasa ekonomi tidak cukup, ia mesti disertai dengan kuasa politik, barulah boleh mendapat segala-galanya.
Saya tidak menafikan sumbangan orang Cina terhadap perkembangan ekonomi negara kita. Tanpa orang Cina, Malaysia tidak seperti adanya pada hari ini. Jika dicabut semua bangunan orang Cina di Kuala Lumpur sahaja, kita dapat lihat bagaimana hodohnya wajah Kuala Lumpur seolah-olah seperti berada pada zaman pra-merdeka.
Saya fikir semua orang mengakui bahawa orang Cina telah memberikan sumbangan yang begitu besar terhadap perkembangan dan kegiatan ekonomi negara ini.
Namun, apa yang saya persoal adalah yang melampaui batas seperti kaduk naik junjung atau seperti enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing. Lihatlah realiti sejarah dan keadaan sebenarnya Malaysia.
Kita perlu ingat, keadaan di AS berlainan dengan keadaan kita. Begitulah juga dengan sejarahnya. Malaysia bukan AS dan AS bukan Malaysia. Mengambil contoh AS, adalah pemikiran ultra kiasu yang bahaya dalam politik di Malaysia. Inilah akibatnya apabila masih ramai warganegara buta sejarah, seperti mana yang disebut oleh Lian Hoe.
Lian Hoe yang tampil mempertahankan diri, mengatakan bahawa mereka yang mempolitikkan ucapannya sebagai buta sejarah dan mempunyai mentaliti kelas ketiga.
Selaku seorang pengkaji, saya terus mencari biodata Lian Hoe untuk melihat kepakaran bidang beliau. Setelah diselidiki maka barulah saya tahu bahawa beliau memiliki ijazah pengajian Melayu daripada Universiti Malaya, pernah menjadi guru dan penolong kanan sekolah sebelum bergiat secara aktif dalam politik. Bermakna beliau bukanlah pakar bidang sejarah.
Sejarah
Seorang pakar adalah mereka yang mengkhusus dalam bidang diceburi dengan mendapat ijazah sarjana dan doktor falsafah. Apatah lagi bidang antara bahasa Melayu dan sejarah agak jauh berbeza. Trend buta sejarah atau sengaja membutakan sejarah mula berleluasa dalam masyarakat bukan Melayu hari ini. Dunia sudah terbalik. Golongan pakar bercakap sesuatu di luar kepakarannya. Manakala yang pakar tidak bercakap tentang kepakarannya. Ini yang disebutkan sebagai pakar atau profesor kangkung. Budaya merujuk pakar sudah tidak berlaku lagi.
Hari ini, semua orang mahu mendapatkan keuntungan politik dan menjadi jaguh, maka bercakaplah mereka walaupun terkeluar daripada bidang mereka. Dengan harapan, mudah-mudahan apa yang dikeluarkan itu dapat menambah undi dan terus memegang kuasa.
Keadaan menjadi semakin buruk apabila ia disokong oleh sistem pendidikan perkauman yang tidak banyak membantu mencelikkan mereka yang buta sejarah.
Apa yang wujud adalah, yang buta sejarah terus menjadi buta. Manakala yang tidak buta, buat-buat buta, sehingga menjadikan kenyataan-kenyataan yang dihamburkan amat pahit untuk diterima oleh mereka yang faham sejarah. Apatah lagi dalam kes Lian Hoe (Gerakan), Low Tiong Lai (MCA) dan Lim Kit Siang (DAP), yang saya fikir sengaja membutakan sejarah.
Semua ini berlaku disebabkan kita gagal melahirkan generasi yang mempunyai semangat nasional yang tinggi. Apa yang ada hari ini ialah rakyat yang mempunyai semangat perkauman yang amat menebal. Ini disebabkan oleh sistem pendidikan perkauman yang terus- menerus dibiarkan terasing daripada arus perdana.
Secara umumnya, terdapat dua jenis kumpulan bukan Melayu di negara ini berasaskan pendidikan perkauman.
Dalam hal ini, saya hanya mengambil contoh kumpulan orang Cina sahaja yang mewakili 26 peratus keseluruhan penduduk, yakni berjumlah 6.5 juta orang, selaku majoriti kedua terbesar.
Kumpulan pertama orang Cina, mewakili 85-90 peratus, berlatar belakangkan perkauman Cina, berpegang kepada tiga rukun, menyertai pertubuhan-pertubuhan Cina, bersekolah Cina dan membaca/mendengar/menonton media Cina. Rata-rata berpendapat bahawa hanya sekolah Cina sahaja yang dapat mengekalkan kecinaan mereka.
Kumpulan ini kebanyakan tidak bergantung kepada kerajaan. Mereka banyak berdikari dengan menjalankan perniagaan persendirian.
Manakala selebihnya mewakili kumpulan kedua, 10-15 peratus, adalah kumpulan yang mendapat pendidikan Inggeris yang tidak mendapat pendidikan Cina. Kebanyakan mereka ada yang beragama Kristian, Cina Peranakan dan menyertai kelab Lions dan Rotary. Kumpulan kedua ini banyak mensosialisasikan diri mereka dengan persekitaran Melayu, berbanding majoriti kumpulan satu hanya mensosialisasikan diri mereka dengan kelompok Cina sahaja.
Melalui kajian yang saya lakukan, kebanyakan di kalangan mereka langsung tidak mempunyai kawan berbangsa Melayu, apatah lagi untuk bergaul antara satu sama lain. Pendek kata majoriti hidup dalam kepompong dan tempurung mereka sahaja.
Proses sosialisasi itu telah berlaku sekian lama dalam kesemua bidang, ekonomi, politik, sosial, media dan sebagainya.
Akibatnya, kita hanya berjaya melahirkan rakyat yang hidup dalam kepompong perkauman, hanya meletakkan kepentingan bangsa atau etnik di hadapan, dengan mengenepikan kepentingan nasional.
Tidakkah sepatutnya dalam sebuah negara berbilang kaum, kepentingan nasional mesti diletakkan di hadapan berbanding dengan kepentingan etnik?

Sunday, November 9, 2008

Binasa Diri

PESANAN kepada perokok tegar — jika sayangkan keluarga, berusahalah untuk berhenti. Jika ia terlalu sukar, langkah terbaik anda boleh lakukan ialah merokok di luar rumah supaya isteri dan anak, khususnya yang masih kecil, terhindar daripada bahaya asap rokok. Apabila merokok, anda bukan hanya menjejaskan kesihatan diri tetapi secara tidak langsung dan tanpa disedari, asap rokok yang anda nikmati memudaratkan kesihatan orang di sekeliling, terutama ahli keluarga.B ahaya atau kesan langsung asap rokok terlalu kerap dibincangkan dan semua orang tahu. Yang mungkin masih kurang jelas ialah kesan terhadap perokok pasif atau sekunder, iaitu orang yang tidak merokok tetapi terpaksa menghidu asap rokok.Agensi Penyelidikan Kanser Antarabangsa (IARC) mendapati bukti kaitan rokok dengan kanser pada perokok aktif dan pasif.

Perokok sekunder juga berisiko mendapat kanser paru-paru pada kadar 20 peratus di kalangan wanita dan 30 peratus bagi lelaki yang tinggal serumah dengan perokok. Perokok sekunder yang terdedah kepada asap rokok di tempat kerja juga mempunyai risiko ini pada kadar 16 hingga 19 peratus dan risikonya bertambah dengan peningkatan pendedahan kepada asap rokok. Agensi Perlindungan Alam Sekitar California menganggarkan asap rokok menyebabkan 3,000 kematian setahun akibat kanser paru-paru di kalangan bukan perokok. Selain itu, orang yang terpaksa menghidu asap rokok mempunyai risiko 25 hingga 35 peratus mengalami kesengsaraan akibat penyakit arteri koronari (jantung) akut. Malah, masalah pernafasan kronik banyak dilaporkan di kalangan perokok pasif. Kesihatan kanak-kanak yang ada ibu bapa merokok di rumah juga terancam kerana terdedah kepada risiko jangkitan saluran pernafasan bawah dan otitis media (jangkitan telinga tengah), lebih kerap mendapat serangan asma serta sindrom mati mengejut di kalangan bayi.Rokok adalah punca utama lebih 90 peratus kes kanser paru-paru, 75 peratus kes bronkitis kronik dan emfisema (paru-paru rosak) serta 25 peratus penyakit jantung. Sebenarnya, merokok juga mendekatkan kita dengan pelbagai risiko kesihatan lain dari hujung rambut sampai hujung kaki seperti.
Kesan buruk asap rokok kepada bukan perokok:
l Rambut — berbau.
l Otak dan kesan mental — strok.
l Mata — berair dan pedih.
l Hidung — berasa tidak selesa dan rengsa.
l Pernafasan dan paru-paru — kanser paru-paru; memburukkan masalah pernafasan sedia ada seperti asma, penyakit saluran pernafasan kronik (COPD) dan emfisema.
l Jantung — melemahkan salur darah ke jantung, sakit dada dan serangan jantung.
l Rahim — bayi dilahirkan kecil (kurang berat), bayi meninggal selepas dilahirkan.

Secara global, jumlah perokok di seluruh dunia makin meningkat kerana pengaruh iklan dan kawan, walaupun pelbagai usaha kesedaran dilakukan. Di negara kita contohnya, ada yang menyifatkan kempen kesedaran dan program anti merokok sebagai pembaziran, tetapi jika diperhalusi ia sebenarnya memberi kesan positif, terutama pada golongan muda. Bagaimanapun, untuk melihat penurunan jumlah perokok mengambil masa lama kerana usaha berhenti merokok bukan mudah. Boleh dikatakan ramai perokok ingin berhenti, malah ada yang mencuba berkali-kali, tetapi masih gagal. Menurut Timbalan Pengarah Kesihatan Wilayah Persekutuan, Dr Sallehudin Abu Bakar, keinginan berhenti merokok perlu disertakan dengan semangat kuat, kesungguhan dan sokongan keluarga serta rakan untuk berjaya. Kajian menunjukkan perokok berumur dan ada latar belakang pendidikan baik mempunyai peluang lebih tinggi untuk berhenti merokok. Usaha berhenti ini lebih mudah di kalangan perokok sosial yang merokok sekali sekala berbanding perokok tegar. Malah, lebih memeranjatkan ialah perokok wanita lebih sukar berhenti merokok berbanding lelaki. Setiap tahun lebih 46 peratus perokok Amerika Syarikat cuba berhenti tetapi hanya lima peratus berjaya menahan diri daripada merokok setahun selepas mencuba. Peratusan kejayaan sama ditunjukkan di negara yang menjalankan program kawalan tembakau seperti Kanada, Australia dan United Kingdom. “Ada perokok berjaya berhenti dengan sekali cubaan, tetapi ramai perlu mencuba berkali-kali. Bagaimanapun, jika ada kesedaran dan keinginan berhenti, segera dapatkan bantuan kerana cubaan sendiri biasanya menemui kegagalan.“Kini ada 294 klinik berhenti merokok di seluruh negara yang sentiasa bersedia membantu anda. Atau dapatkan nasihat doktor di klinik berhampiran supaya anda boleh dirujuk ke klinik berhenti merokok.“Kebanyakan perokok memerlukan terapi penggantian nikotin untuk berhenti merokok. Selain itu mereka akan dibantu daripada segi kaunseling dan dipantau tiga hingga enam bulan.“Sehingga kini seramai 3,000 perokok berjaya berhenti merokok sejak klinik itu ditubuhkan pada 2000. Secara purata, peratus kejayaan berhenti merokok sekitar 15.6 peratus,” katanya. Ketua Program Penyedia Perkhidmatan Berhenti Merokok Bertauliah (CSCSP), Profesor Madya Dr Mohamad Haniki Nik Mohamad, berkata ketagihan nikotin jauh lebih teruk dan sukar dihentikan berbanding ketagihan dadah seperti kokain, amfetamin dan opiat. Ini kerana apabila nikotin memasuki otak, ia melekat pada reseptor nikotin untuk menghasilkan hormon dopamin iaitu hormon yang membuatkan seseorang berasa gembira dan puas. Kesan ini lama kelamaan mengubah pengaturan otak yang menyangka ia memerlukan nikotin untuk membolehkan seseorang gembira.“Dalam proses berhenti merokok, perokok akan mengalami pelbagai perubahan fizikal dan emosi yang dikenali sebagai sindrom ketagihan seperti resah, kecewa, marah, sukar tidur, selera makan bertambah, emosi berubah-ubah, berasa kurang sabar dan mudah terganggu.“Kebergantungan terhadap nikotin menyebabkan ramai terus merokok. Justeru, perokok diberi kaunseling untuk memahami masalah kebergantungan terhadap nikotin bagi meningkatkan kejayaan rawatan,” katanya.

Risiko
> Rambut berbau dan bertukar warna.
> Otak dan kesan kepada mental — strok, ketagihan, mengubah keseimbangan kimia dalam otak dan resah
> Mata — mata pedih, berair dan lebih banyak berkelip; kebutaan akibat kemerosotan makular dan katarak.
> Hidung — hilang sensasi dan kepekaan deria bau.
> Gigi — berubah warna menjadi kuning dan berkarat, plak, risiko kehilangan gigi dan penyakit gusi (gingivitis).
> Mulut dan tekak — kanser bibir, mulut, tekak dan anak tekak; sakit tekak; deria rasa berkurang dan nafas berbau.
> Kulit — berkedut dan cepat tua.
> Pernafasan dan paru-paru — kanser paru-paru; batuk berkahak, nafas menjadi pendek; mudah dapat selesema, pneumonia dan asma; penyakit saluran pernafasan kronik; penyakit tibi bertambah teruk.
> Hati — kanser hati.
> Buah pinggang dan pundi kencing — kanser.
> Sistem pembiakan lelaki — menyebabkan kecacatan sperma; kemandulan dan mati pucuk.
> Sistem pembiakan wanita — senggugut; menopaus awal; kanser serviks, kurang subur dan susah hamil.
> Luka dan pembedahan — luka lambat sembuh; lambat baik selepas jalani pembedahan.
> Kencing manis — risiko dapat kencing manis.
> Kaki — jika ada kencing manis, merokok kurangkan kepekaan kaki, penyakit salur darah.
> Tangan — kelancaran aliran darah terjejas; kuku menjadi kuning.
> Jantung — melemahkan saluran darah ke jantung; merangsang masalah salur darah tersumbat dan serangan jantung.
> Abdomen — ulser perut; kanser perut, pankreas dan usus serta salur darah bengkak.
> Tulang — osteoporosis; keretakan tulang belakang dan pinggul.
> Darah — leukemia.
> Sistem imun — jadi semakin lemah.

Saturday, November 1, 2008

PERSEKOLAHAN 2009

Kumpulan B
Penggal Cuti dan Hari Persekolahan Mula Akhir Hari
I Hari Persekolahan 05.01.2009 30.01.2009 20
Hari Persekolahan 01.02.2009 27.02.2009 20
Hari Persekolahan 01.03.2009 13.03.2009 10
Cuti Pertengahan Penggal 14.03.2009 22.03.2009 9
Hari Persekolahan 23.03.2009 31.03.2009 7
Hari Persekolahan 01.04.2009 30.04.2009 22
Hari Persekolahan 01.05.2009 29.05.2009 21
Cuti Pertengahan Tahun 30.05.2009 14.06.2009 16
II Hari Persekolahan 15.06.2009 30.06.2009 12
Hari Persekolahan 01.07.2009 31.07.2009 23
Hari Persekolahan 03.08.2009 21.08.2009 15
Cuti Pertengahan Penggal 22.08.2009 30.08.2009 9
Hari Persekolahan 31.08.2009 1
Hari Persekolahan 01.09.2009 30.09.2009 22
Hari Persekolahan 01.10.2009 29.10.2009 22
Hari Persekolahan 02.11.2009 20.11.2009 15
Cuti Akhir Tahun 21.11.2009 03.01.2010 44
Jumlah 285
Jumlah Hari Persekolahan Termasuk Cuti Am 208
Jumlah Hari Cuti Penggal 77