Monday, March 10, 2008

BN paling banyak berjasa kepada rakyat

KEPUTUSAN Pilihan Raya Umum Ke-12, menyaksikan Barisan Nasional (BN) gagal membentuk kerajaan negeri di Pulau Pinang, Kedah, Selangor, Perak, manakala Kelantan, tetap setia dengan pembangkang. BN, sama ada penyokong atau pemimpinnya, tentu tidak menjangka mengalami kekalahan di negeri terbabit kepada pembangkang. Malah, pembangkang sendiri juga terkejut dengan perubahan mendadak itu hinggakan sesetengahnya bagaikan tidak percaya. BN seperti diketahui sudah menunaikan tanggungjawabnya dengan baik dan membawa pembangunan yang sepatutnya bagi faedah semua kaum tanpa mengira di bandar atau luar bandar.

Namun, apabila negeri terbabit sudah membangun, rakyat berasakan mereka memerlukan pembangkang untuk merasai nikmat diperintah pembangkang pula? Apakah politik pembangunan sudah tidak relevan lagi kepada BN? Sukar untuk dijawab. Tanpa pembangunan, Malaysia akan terus ketinggalan. Pembangunan yang bagaimana rakyat inginkan? Apakah pembangunan yang tidak seimbang di dunia dan akhirat? Apakah rakyat inginkan pembangunan akhirat semata-mata? Soalan lain ialah apakah rakyat sudah muak dengan konsep perkongsian kuasa ala BN?

Apakah rakyat lebih suka cara demonstrasi jalanan? Apakah rakyat sudah menolak hak istimewa orang Melayu sebagai perjuangan politik mereka? Apakah rakyat lebih suka parti yang menabur janji untuk menurunkan harga minyak sedangkan ia mustahil? Apakah rakyat yakin pembangkang boleh menurunkan harga minyak? Jika diperhatikan, negeri yang jatuh ke tangan pembangkang itu sudah maju berbanding negeri lain. Jika BN tidak buat kerja, tentulah negeri tidak maju. Jadi apa kecacatan BN dan apa pula kelebihan pembangkang? Saya tidak tahu apakah isyarat yang cuba disampaikan rakyat di negeri terbabit? Apa-apa pun, dalam negara demokrasi ini, saya ingin ucap syabas kepada pembangkang atas kejayaan mereka 'menggoda' rakyat negeri terbabit.

Umno, MCA dan MIC dalam BN, saya masih menganggap BN adalah parti yang paling berjasa untuk Malaysia. Sabarlah dengan dugaan Pilihan Raya Umum ke-12 ini. Kepada pucuk kepemimpinan parti, teruskan perjuangan.

0 Comments:

Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]

<< Home