Saturday, December 15, 2007

Syarat-syarat Pengeluaran KWSP Utk Pembayaran Ansuran Bulanan Rumah

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) hari ini mengumumkan bahawa pencarum yang mempunyai simpanan sekurang-kurangnya RM600 dalam Akaun 2 boleh membuat pengeluaran untuk membayar ansuran bulanan pinjaman perumahan mereka mulai 1 Jan 2008.

Jumlah minimum pengeluaran bulanan yang boleh dilakukan ialah RM100 bagi tempoh minimum tidak kurang daripada enam bulan, manakala jumlah maksimum pengeluaran bulanan tidak melebihi jumlah ansuran bulanan pinjaman perumahan.

Jumlah simpanan dalam akaun 2 yang diperuntukkan untuk pengeluaran ini tidak boleh dikeluarkan untuk pengeluaran-pengeluaran lain. Pencarum juga mesti belum mencapai umur 55 tahun dan tidak mempunyai tunggakan ansuran pinjaman perumahan.

Pencarum mesti sama ada membeli atau membina selain peminjam serta pemilik rumah kediaman atau rumah kedai dengan unit kediaman. Pencarum juga perlu mempunyai baki pinjaman perumahan daripada institusi pemberi pinjaman yang dibenarkan dan rumah tersebut telah dicagarkan dan pinjaman telah dikeluarkan sepenuhnya oleh pemberi pinjaman.

Pengeluaran adalah juga untuk mana-mana rumah tertakluk kepada sebuah rumah untuk setiap ahli dan tidak terhad kepada rumah yang pernah dibuat pengeluaran lain sebelum ini. Bagaimanapun, pengeluaran untuk kali kedua dan seterusnya hanya dibenarkan untuk rumah yang sama. Pembiayaan semula yang tidak berkaitan dengan pinjaman perumahan tidak dibenarkan bagi pengeluaran ini.

Bagi pencarum yang pertama kali membuat pengeluaran ini, mereka perlu mengisi borang KWSP 9P (AHL) dan mengemukakan dokumen sokongan yang disahkan iaitu salinan Kad Pengenalan, salinan penyata akaun bank yang masih aktif, surat pengesahan baki pinjaman perumahan, Surat Perjanjian Jual beli/Bina Rumah, surat kelulusan pinjaman perumahan dan Borang Gadaian dan Suratan Hakmilik atau Suratan Ikatan Serahhak.

Bagi pengeluaran seterusnya, pencarum hanya perlu mengisi borang EPF 9P (AHL) dan mengemukakannya berserta salinan Kad Pengenalan bersama-sama salinan buku/penyata akaun bank yang masih aktif dan juga surat pengesahan baki pinjaman perumahan terkini.

KWSP akan membatalkan pengeluaran bayaran bulanan sekiranya mendapati pencarum mempunyai hutang tertunggak dengan institusi kewangan, pinjaman telah batalkan/diselesaikan, rumah telah dijual/dilelong/telah dipindah milik kepada pihak lain dan sekiranya pencarum disabitkan menipu dengan mengemukakan dokumen/butiran palsu untuk pengeluaran berkenaan.

0 Comments:

Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]

<< Home