Monday, December 31, 2007

Muhasabah diri sambut tahun baru

BERMULANYA Tahun Baru 2008 dengan semangat baru. Malah, ramai orang mengharapkan tahun baru membawa tuah kepada diri dan keluarga masing-masing. Tidak kurang juga yang berazam dan bertekad pada tahun baru dengan bermacam agenda dan perancangan teliti. Sewajarnya bagi setiap orang merenung ke dalam diri, bermuhasabah dan mengimbas kembali perjalanan hidup tahun yang lalu.

Jadikan rancangan tahun sebelumnya sebagai asas perbandingan pada 2008. Apa yang perlu kita sedar ialah perubahan kehidupan perlu dilakukan ke arah yang lebih baik demi mencapai kualiti kehidupan berbanding tahun sebelumnya. Setiap tingkah laku dan agenda yang dirancang mestilah bertunjangkan sikap dan pemikiran positif dalam memastikan perjalanan hidup sepanjang tahun baru lebih bermakna dan dapat membentuk wajah diri yang baru.

Ramai yang kurang peduli dengan kepentingan perubahan dalam kehidupan khususnya remaja sekarang, leka dengan hiburan yang keterlaluan sehingga hilang nilai jati diri sebenar. Gejala sosial yang melanda anak muda kian parah, malah pada tahap yang membimbangkan. Mereka semakin hanyut dengan dunia keseronokan masing-masing tanpa memikirkan masa depan mereka yang terbuang tanpa diisi dengan perancangan positif. Dalam institusi keluarga, visi dan misi perlu diterjemahkan dengan sebaik-baiknya kerana peranan kedua-dua konsep ini membantu dalam memenuhi peranan setiap ahli keluarga secara berkesan. Bagi mereka yang sudah berkeluarga penting mempunyai azam demi memastikan hala tuju keluarga dapat dicapai, terutamanya bagi memastikan anak sedang meningkat remaja dapat dikawal agar tidak terpengaruh dengan gejala sosial yang semakin menular jika tidak diambil perhatian sepenuhnya oleh ibu bapa.

Anak remaja memerlukan pemantauan tingkah lakunya. Apa yang terjadi pada hari ini, setiap ahli keluarga lebih bersikap individualistik dalam setiap tindakan. Malah, ada segelintir ibu bapa tidak memberi perhatian sepenuhnya terhadap perkembangan anak terutama bagi anak yang sedang meningkat remaja. Azam dan perancangan tahun baru seharusnya mengambil kira peranan dan tanggungjawab secara holistik terhadap keluarga. Bagi yang tidak berkeluarga, sesuatu perancangan hendaklah rasional dengan mengikut kemampuan diri sendiri. Kesungguhan dalam melaksanakan azam pada tahun baru ini sudah pasti akan membawa perubahan diri ke arah yang lebih baik.

Bagi merealisasikan azam yang dibuat, kesungguhan, fokus dan tetap kepada sasaran perlu diutamakan bagi mencari titik perubahan yang menyeluruh dalam kehidupan. Kita tidak boleh lagi mengambil sikap menunggu sesuatu yang terbaik akan berlaku, tapi tidak berusaha ke arah memperolehnya. Sebaliknya kita hendaklah mula melakukan sesuatu dan kemudian berdoa agar kita mencapai kejayaan. Buanglah sikap suka menangguhkan tugas atau kerja.

Yang elok, wajar diteruskan secepat mungkin. Yang tidak elok ditinggalkan atau disingkirkan. Jangan diungkit keburukan atau kelemahan diri sendiri atau orang lain. Lebih penting, kita harus melangkah masuk ke tahun baru ini dengan sepenuh keyakinan bahawa kita juga mampu mencapai kejayaan seperti orang lain.

Bagi yang bekerja, tanamkan azam baru untuk memperbaiki diri dalam kerjaya dan bagi mereka yang masih belajar terutama yang akan menghadapi peperiksaan pada tahun baru ini, yakin bahawa anda juga antara mereka yang bakal mendapat keputusan terbaik pada 2008.
Selamat Tahun Baru.

0 Comments:

Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]

<< Home