Kenyataan Media Ketua Polis Negara Mengenai Hindraf
Berikut ialah kenyataan penuh Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan mengenai Hindu Rights Action Force (Hindraf) yang dikeluarkan oleh Ibu Pejabat Polis Bukit Aman Kuala Lumpur hari ini.
1. Semenjak 28 Julai 2007, pihak polis telah memantau kegiatan Hindu Rights Action Force (Hindraf), sebuah badan tidak berdaftar yang diterajui oleh enam orang penggerak utama terdiri dari lima orang peguam dan seorang eksekutif kanan syarikat swasta, bergiat aktif menyemai sentimen perkauman di kalangan orang India dengan membangkitkan kebencian dan penentangan terhadap kerajaan. Tindakan mereka juga berpotensi untuk mencetuskan perbalahan antara kaum di negara ini.
2. Sentimen berbahaya ini telah disebarkan secara berterusan menerusi majlis-majlis forum, pengedaran buku dan risalah, penggunaan laman-laman web dan SMS bagi mendapatkan sokongan kaum India. Mereka juga mendalangi penentangan segelintir orang India terhadap pihak berkuasa tempatan merobohkan kuil-kuil yang dibina secara haram dan mendakwa tindakan tersebut sebagai penindasan terhadap kebebasan beragama di negara ini. Mereka juga merancang untuk menggunakan kumpulan "Gangster" bagi menghalang perobohan kuil oleh pihak berkuasa di masa hadapan.
3. Dalam hal ini, kerajaan juga telah dituduh meminggir dan menafikan hak-hak kaum India dalam bidang ekonomi, pendidikan dan jawatan dalam kerajaan sehingga menjadikan mereka mundur walaupun negara telah 50 tahun merdeka. Sesungguhnya, semua tuduhan tersebut palsu, tidak berasas dan berupa fitnah.
4. Hindraf juga telah menunjukkan sikap degil mereka apabila menganjurkan perhimpunan haram pada 25 November 2007 walaupun tidak mendapat permit. Mereka juga menipu kaum India yang hadir apabila tidak menyerahkan petisyen kepada Suruhanjaya Tinggi British sebagaimana dirancang walaupun mempunyai peluang. Ini menunjukkan matlamat sebenar ialah untuk mencetuskan keadaan huru hara di ibu kota. Sebaliknya mereka memutarbelitkan insiden dengan menuduh pihak polis bertindak ganas ke atas penyokong-penyokong mereka.
5. Perkembangan terkini mendapati pengerak Hindraf juga melobi sokongan antarabangsa dari India, Britain, Amerika Syarikat, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan negara-negara Eropah. Dalam usaha meraih sokongan ini, mereka memberi gambaran yang salah mengenai kedudukan orang India di negara ini. Sebagai contoh, E-mel Hindraf kepada Gordon Brown, Perdana Menteri Britain menyebut berlakunya "Ethnic Cleansing" di mana orang-orang India dibunuh setiap hari oleh kerajaan ekstremis Islam Malaysia.
6. Sejak akhir-akhir ini terdapat tanda-tanda Hindraf sedang berusaha untuk mendapatkan sokongan dan bantuan dari kumpulan "Terrorist". Pihak Hindraf telah juga menubuhkan sebuah dana dengan cara memperdayakan orang ramai untuk membiayai aktiviti mereka.
7. Situasi ini amat membimbangkan masyarakat berbilang kaum di negara ini. Pihak polis memandang berat perkembangan tersebut dan tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas bagi mempastikan ketenteraman awam dan keselamatan negara terus terpelihara.
8. Saya juga ingin menasihatkan orang ramai supaya tidak terpengaruh dengan dakyah-dakyah dan khabar-khabar angin yang disebarkan menerusi internet dan SMS oleh pihak-pihak tidak bertanggungjawab untuk menimbulkan kegelisahan kepada masyarakat yang boleh memburukkan lagi keadaan. Mereka yang menyebarkan khabar angin dan berita palsu ini melakukan kesalahan di bawah Sekyen 23 Akta Keselamatan Dalam Negeri (AKDN) 1960, di mana apabila disabitkan kesalahan boleh didenda tidak melebihi sepuluh ribu ringgit ataupun penjara tidak melebihi tiga (3) tahun atau kedua-duanya sekali.
0 Comments:
Post a Comment
Subscribe to Post Comments [Atom]
<< Home