Saturday, December 29, 2007

Kemahiran pelajar lemah elok diasah

PENINGKATAN pelajar yang memperoleh gred E dalam semua mata pelajaran Peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) 2007 seperti yang dilaporkan dalam Buletin Utama kelmarin adalah sesuatu yang mengejutkan. Dalam usaha kerajaan memperkenalkan pelbagai bentuk perancangan untuk meningkatkan kualiti pendidikan negara, masih ada segelintir pelajar gagal untuk mencapai tahap pencapaian minimum. Kumpulan pelajar ini, walaupun kecil peratusannya, tidak boleh dipandang ringan oleh Kementerian Pelajaran. Lebih membimbangkan lagi ialah bagaimana kumpulan pelajar ini akan meneruskan pengajian ke Tingkatan Empat dengan pencapaian itu. Sudah pasti ia bukan saja membebankan kumpulan pelajar ini, bahkan juga guru untuk melaksanakan kurikulum pengajian yang tentunya lebih mencabar di tingkatan lain.

Kita tidak pasti apakah kumpulan ini masih berminat meneruskan pelajaran. Jika mereka tidak berminat, tugas guru untuk menanam minat dan mendidik pelajar kumpulan ini menjadi satu cabaran besar. Apa yang membimbangkan jika mereka tidak berminat dalam meneruskan pengajian ini tetapi masih tetap ke Tingkatan Empat dalam keadaan mental yang tidak bersedia, kemungkinan membawa nilai negatif kepada sekolah dan mempengaruhi pelajar lain. Akhirnya, wujud gejala negatif seperti ponteng sekolah, merokok, melanggar peraturan sekolah, tidak menghormati guru dan sebagainya.

Justeru, di sebalik pencapaian akademik yang tidak cemerlang, pendekatan terbaik harus dirangka bagi memastikan mereka menghargai tempoh dua tahun lagi persekolahan mereka dan seterusnya mampu merangka hala tuju kerjaya dan menjadi insan lebih bermakna kepada negara. Kajian yang dilakukan ke atas institusi latihan kemahiran awam (ILKA) seperti Akademi Binaan Malaysia, Institusi Latihan Perindustrian, Institut Kemahiran Belia Negara, Institut Kemahiran Mara dan Pusat Giat Mara khusus kepada latihan yang ditawarkan untuk sektor binaan, jelas menunjukkan bahawa terdapat kekosongan yang ketara dan maklumat mengenai tawaran latihan di ILKA ini diketahui umum. Bidang latihan yang ditawarkan di ILKA tidak didedahkan dengan jelas di sekolah. Guru kaunseling di sekolah hanya menumpukan maklumat kepada pelajar yang mempunyai peluang ke institusi pendidikan tinggi (IPT) dan tidak mempunyai maklumat menyeluruh berkaitan peluang latihan di ILKA yang seharusnya lebih tertumpu kepada pelajar kurang cemerlang. Majoriti responden, berasakan mengikuti latihan di ILKA tidak mempunyai prospek kerjaya selepas selesai menamatkan latihan.
Saya ingin mencadangkan agar mata pelajaran vokasional di sekolah dipertingkatkan. Guru berkaitan harus diberi pendedahan mengenai industri berkaitan supaya penyampaian menjadi lebih bermakna dan dikaitkan dengan bidang sesuai di ILKA.

Guru kaunseling bukan sekadar bertanggungjawab untuk menangani masalah pelajar yang mempunyai masalah disiplin semata-mata atau memberi nasihat berkaitan bidang serta institusi pengajian tinggi yang sesuai tetapi perlu melengkapkan diri dengan maklumat berkaitan peluang latihan di ILKA yang lebih tertumpu kepada kumpulan yang mempunyai tahap akademik yang sederhana dan kurang cemerlang.

Wujudkan guru kerjaya khusus di setiap sekolah atau sekurang-kurang di setiap daerah.
Sekolah perlu mempunyai hubungan baik dengan ILKA bagi menyalurkan maklumat berkaitan. Kerajaan perlu memberi pengiktirafan sewajarnya terhadap sijil kemahiran vokasional dengan menguatkuasakan peraturan yang mana industri mesti diwajibkan mengambil tenaga kerja yang mempunyai sijil kemahiran vokasional dan tidak terlalu bergantung kepada tenaga kerja dari luar yang tidak memiliki kemahiran yang jelas. Institusi latihan seperti Pusat Giat Mara yang wujud di setiap daerah perlu dinaikkan taraf dengan menyediakan kemudahan penginapan lengkap. Ini penting bagi memberi imej positif untuk menarik minat pelajar mengikuti latihan kemahiran vokasional. Kumpulan ini akan berasakan mereka mempunyai tempat untuk mengasah bakat dan kemahiran mereka selepas tamat Tingkatan Lima.

Kembalikan semula fungsi sekolah vokasional seperti dulu.

0 Comments:

Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]

<< Home