Tuesday, December 25, 2007

Jackie Chan berlakon dalam Tok Gajah Mat Kilau?

PASTI ramai yang tertanya-tanya sama ada benar atau tidak pelakon aksi komedi hebat dari Hong Kong iaitu Jackie Chan bakal beraksi dalam filem termahal negara.

Dan tentunya peminat filem tempatan berteka teki apakah filem termahal yang dimaksudkan.
Filem yang dimaksudkan ialah Tok Gajah Mat Kilau yang dikatakan bakal menelan belanja sebanyak RM7 juta sekali gus menjadi filem termahal negara.
Pemilik Syarikat Ikajaya Sdn. Bhd., Datuk Zulkifli Mohamad yang juga merupakan penerbit filem itu ketika dihubungi Mega baru-baru ini memberitahu, filem tersebut dibuat untuk mengisi ruang kosong yang ketandusan filem-filem bercorak patriotik di negara ini.

“Filem ini masih dalam perancangan dan kita bercadang untuk mendapatkan kerjasama dengan Kerajaan Negeri Pahang, Pemuda UMNO dan Persatuan Anak-anak Pahang,” kata beliau.
Menurut Zulkifli, filem tersebut dibuat dengan mengambil kira bukti-bukti sejarah dari Arkib Negara dan maklumat-maklumat penting yang diperolehi daripada Persatuan Waris Dan Keturunan Tok Gajah Mat Kilau.

Ditanya tentang dana besar yang bakal dibelanjakan untuk filem ini, kata Zulkifli: “Sebagai filem yang memaparkan nilai sejarah, segala fakta dan butiran untuk memberi gambaran sebenar dalam sesebuah filem amat penting.

“Ia melibatkan props seperti lembing, bot, pakaian dan sebagainya perlu diambil kira. Kami mahu menjadikan filem ini sebagai filem sejarah yang berkualiti bukannya sekadar memenuhi ruang kosong.

“Jadi, untuk menghidupkan jalan cerita filem ini, pelakon-pelakon juga kami akan import contohnya yang memegang watak Yap Ah Loy, kami bercadang untuk mengambil Jackie Chan, sama juga untuk watak orang Inggeris dan Indonesia kami akan cari pelakon-pelakon dari luar.

“Tujuannya, bila kita ambil pelakon-pelakon hebat dari luar, filem kita akan lebih senang dibawa ke negara mereka. Secara tidak langsung kita turut mempromosikan filem, pelakon dan negara kita pada masyarakat luar,” jelas beliau.
Filem tersebut akan memaparkan gambaran sebenar tentang peristiwa yang berlaku sepanjang perjuangan Tok Gajah dan anaknya Mat Kilau sepanjang tempoh 30 tahun perjuangan mereka bermula dari 1861 hingga 1891 dimana peristiwa seperti peperangan dan persepakatan pelbagai kaum juga turut dipaparkan.

Justeru, Zulkifli telah meminta pengarah berpengalaman, Shuhaimi Baba sebagai penasihat kepada mereka bagi mengenal pasti beberapa lagi pengarah dan mereka yang boleh menghasilkan skrip yang baik.

“Pengarah filem ini, kita tak boleh nak tentukan lagi sebab itu saya minta bantuan Shuhaimi untuk memberi pandangan dan nasihat sebab sebelum ni dia ada pengalaman membuat cerita sejarah iaitu 1957 Hati Malaya.

“Jadi, untuk filem yang melibatkan banyak babak dan jalan cerita seperti ini akan ada beberapa orang pengarah, mungkin lima orang yang masing-masing akan mengarahkan bahagian peperangan, teknikal, pakaian dan prop, dialog dan juga muzik,” jelasnya.
Ditanya apakah beliau sanggup menanggung risiko jika filem yang menelan belanja besar ini tidak mendapat sambutan seperti kebanyakan filem-filem sejarah atau patriotik yang pernah diterbitkan?

Kata Zulkifli; “Apa sahaja yang dibuat, bagi saya kalau tidak untung pastinya rugi. Memang bajet bagi filem-filem di negara ini kebanyakannya tak lebih dari RM1.5 juta. Tapi jika dah melibatkan banyak prop, ramai pelakon termasuk dalam dan luar negara pastinya kos tersebut meningkat.

“Namun, saya percaya jika sesuatu perkara yang kita buat berdasarkan ketelitian yang tinggi, penceritaan dengan nilai dan fakta sejarah yang tepat pasti ia dapat menarik minat penonton untuk menonton filem sebegini,” kata beliau.

Sementara itu, menurut Zulkifli satu majlis dialog yang bertajuk ‘Tok Gajah, Mat Kilau - Pahlawan Atau Penderhaka?’ akan diadakan tidak lama lagi.

Panel-panel yang terlibat antaranya tokoh sejarah, Prof. Emeritus Datuk Dr. Khoo Kay Kim dan beliau sendiri yang mewakili Persatuan Waris dan Keturunan Tok Gajah Mat Kilau.

“Keputusan dari dialog itu nanti, kita akan serahkan kepada Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah,” kata beliau.

0 Comments:

Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]

<< Home