Sunday, December 16, 2007

Bangunkan Malaysia menerusi projek ‘wilayah’

IDEA pembangunan wilayah yang diperkenalkan di Malaysia bukanlah idea songsang atau idea optimis kerajaan. Sebaliknya ia adalah idea yang pernah dilaksanakan oleh kuasa besar China semenjak tahun 1978 lagi dan ternyata ia telah membawa China berdiri sebaris dengan negara-negara maju pada ketika ini. Malah model kejayaan pembangunan China itu dapat dijadikan sebagai model kepada Malaysia dalam menggerakkan proses pembangunan wilayahnya.

Perlu kita fahami, China merupakan sebuah negara yang lahir pada tahun 1949 berasaskan ideologi komunis dan mengamalkan sistem ekonomi sosialis. Dalam tempoh 1949-1978 China boleh dianggap sebagai negara yang lemah dan mundur akibat daripada perlaksanaan dasar tutup pintu oleh Mao Zedong. Walaupun China telah bergelar sebagai negara kuasa besar bersama-sama Amerika Syarikat, Britain, Perancis dan Rusia, namun China telah dipinggirkan oleh kuasa-kuasa besar lain kerana kelemahan dan kemunduran ekonominya.

Pelantikan Deng Xiaoping sebagai pengganti Mao pada tahun 1978 telah membawa era baru kepada China. Memandangkan sistem sosialis China telah membawa kepada kemunduran dan mengehadkan pembangunan ekonominya, idea pembangunan wilayah mula muncul bagi mengatasi masalah yang dialami. Deng telah mengambil pendekatan untuk mewujudkan sebuah wilayah yang kaya dengan ekonomi untuk menjana pembangunan di wilayah-wilayah lain.

Justeru, idea pembangunan wilayah ini telah menjadikan wilayah Barat sebagai Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) dalam usaha Deng membangunkan China secara menyeluruh. Perlaksanaan pembangunan wilayah ekonomi ini telah bertindak sebagai ‘wilayah magnet’ yang telah menyerap kemasukan dana kewangan dan pelaburan asing (FDI) ke China.

Sememangnya sumber dana kewangan adalah nadi kepada sesuatu agenda pembangunan khususnya Deng Xiaoping. Justeru, bagi mengurangkan bebanan pihak kerajaan dalam menjana dana pembangunan, China telah mengambil pendekatan untuk menggalakkan kemasukan pelaburan asing agar dapat membantu pergerakan dan pertumbuhan ekonomi di wilayah tersebut.

Kemasukan sumber dan dana pembangunan ini, secara langsung telah membolehkan proses pembangunan ekonomi bergerak pantas. Faedah dan kemakmuran yang dikecapi di wilayah ini telah menjana pula kemajuan di kawasan-kawasan lain termasuk di luar sempadan wilayah magnet.

Perbezaan pendirian antara pemimpin Deng Xiaoping dan Mao dan kedaulatan ideologi komunis tidak menghalang kemajuan dan pembangunan China melalui pembangunan wilayah istimewanya. Tindakan Deng yang menggabungkan sistem ekonomi sosialis dan kapitalis dalam sistem ekonomi China telah memastikan kemajuan dan kemakmuran China. Masalah ideologi bukan lagi halangan dalam membawa masuk pelaburan asing ke China, malah China terus membuka tangan kepada kemasukan pelaburan asing dalam usaha untuk mencapai matlamat sebagai sebuah gergasi ekonomi dunia.

Strategi China ini ternyata merupakan pendekatan terbaik yang memberi kesan besar kepada ekonomi China. Ini kerana hanya dalam tempoh 29 tahun sahaja iaitu antara 1978-2007, China telah mengecapi kemajuan sepertimana yang kita lihat pada hari ini. Laluan kejayaan dan kemajuan China ini adalah laluan yang amat berliku. Sekiranya kita mengukur kedudukan Malaysia pada ketika ini, ternyata negara mampu memastikan kejayaan pembangunan wilayahnya.

Ini kerana proses pembangunan China ini bermula daripada kosong iaitu tidak pernah mengamalkan sistem kapitalis dan menghadapi masalah kemunduran khususnya ketika era Mao Zedong (1949-1976), namun masih mampu mencipta kejayaan. Berbanding Malaysia yang telah mengenali dan mengaplikasi sistem kapitalis semenjak tahun 1957 lagi, ia sememangnya mempunyai kelebihan untuk memastikan kelancaran dan kecekapan membangunkan negara melalui pembangunan wilayahnya. Dengan kata lainnya, kemajuan dan kejayaan pembangunan wilayah Malaysia mampu dicapai sekiranya kita menyedari dan mengambil kira kelebihan yang kita ada.

Perlaksanaan pembangunan wilayah ini sememangnya akan memberikan impak positif dan negatif. Impak-impak negatif dapat dicegah dan dikawal dengan adanya campur tangan kerajaan yang akan mengawasi dan memantau kemunculan kesan-kesan negatif.
Ia merupakan situasi yang pernah dan sedang dilalui oleh China pada ketika ini. Ternyata kawalan dan pemantauan China terhadap proses pembangunan pesat ekonominya berjaya membendung perkembangan kesan-kesan negatif. Sehingga kini wilayah magnet China ini masih menjadi destinasi pelabur asing utama termasuk para pelabur dari AS yang merupakan antara negara pelabur terbesar di China.

Perlaksanaan pembangunan wilayah oleh kerajaan adalah idea yang akan menjadikan wilayah-wilayah ini sebagai wilayah magnet Malaysia yang akan menyerap masuk dana dan pelaburan asing. Ia adalah keputusan kerajaan yang cuba mempercepatkan proses peningkatan kadar pembangunan dan kemajuan negara. Semestinya wilayah-wilayah ini akan mencerna pembangunan dan pertumbuhan ekonomi di kawasan-kawasan pedalaman yang mana ia secara langsung dapat meningkatkan taraf hidup rakyat dan dapat mengurangkan kadar kemiskinan dan kemunduran.

Idea pembangunan wilayah yang dilaksanakan secara menyeluruh oleh kerajaan ini sememangnya amat diperlukan oleh masyarakat dan negara.

0 Comments:

Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]

<< Home