Thursday, December 13, 2007

Apa nak Buat Dengan Ganjaran Bonus Atau Honorarium 2007

PENGHUJUNG tahun biasanya menjadi fasa yang dinanti-nantikan kebanyakan orang. Waktu beginilah seseorang yang bekerja mengharapkan adanya imbuhan berbentuk bonus dari pihak majikan. Kebanyakan majikan menjanjikan bonus tahunan untuk kakitangan mereka sekiranya syarikat mencapai peningkatan dalam prestasi atau keuntungan. Imbuhan bonus yang diberikan mungkin sebanyak gaji sebulan atau lebih, mengikut berapa banyak keuntungan yang diperoleh syarikat.
Hari ini merupakan gaji bagi kakitangan awam. Mungkinkah mereka mendapat imbuhan pada tahun ini?

Inilah antara faktor yang menjadi motivasi kepada seseorang pekerja untuk melaksanakan tugas mereka dengan baik dan setia kepada majikan dan syarikat. Menunggu ‘munculnya’ wang lebihan yang anda tunggu-tunggu selama ini memang membuat seseorang tidak sabar dan asyik memikirkannya. Sebelum menerima bonus lagi, ramai individu sudah pun sibuk berencana dan berfikir bagaimana untuk membelanjakannya. Mereka yang ‘gila’ membeli-belah tentunya sudah tidak sabar-sabar untuk membeli barangan yang diidam-idamkan, lebih-lebih lagi bila berlangsungnya pula karnival beli-belah yang menawarkan potongan diskaun yang cukup mengujakan.

Tidak dinafikan, sebagai manusia, ramai antara kita yang lebih tertarik dengan kualiti hidup jangka pendek berbanding kualiti hidup jangka panjang. Oleh itu, kita cenderung melakukan tindakan yang kurang bijak dan akhirnya memberi kesan negatif kepada diri sendiri. Walaupun bonus boleh dianggap sebagai rezeki tambahan atau ganjaran kepada penat-lelah bekerja selama ini, tidak bererti ia boleh digunakan sewenang-wenangnya tanpa sebarang pertimbangan yang wajar. Lebih menguntungkan sekiranya seseorang itu tidak ‘rambang mata’, sebaliknya berfikir dengan baik dan membuat keputusan yang dapat memberikan manfaat jangka masa panjang. Sekiranya anda tidak terikat dengan mana-mana tanggungan atau komitmen penting serta sudah mengenepikan dana yang sepatutnya menjadi simpanan, tidak salah jika anda bercita-cita untuk menggunakan bonus yang ada untuk memanjakan diri atau menikmati hiburan.

Berikut dikongsi beberapa tips dan idea menggunakan ganjaran bonus yang mungkin boleh dijadikan panduan.

1) Selesaikan hutang Percutian atau membeli-belah sememangnya suatu idea yang menyeronokkan. Namun, jika wang yang diperoleh digunakan untuk menyelesaikan hutang-piutang yang ada, ia lebih ‘mendamaikan’ jiwa dan fikiran. Sebelum tarikh yang anda jangka akan menerima ganjaran bonus itu, periksa dulu hutang-piutang yang ada. Tunggakan bil, kad kredit, pinjaman bank, hutang dengan mana-mana individu atau hutang pinjaman pelajaran barangkali? Jika hutang yang ditanggung lebih daripada satu, selesaikan mana yang terpenting dulu ataupun mana yang kadar bunganya lebih tinggi.

2) Pelaburan Jika anda bebas daripada sebarang bebanan hutang, ia suatu perkara yang baik. Mungkin anda boleh salurkan ia ke skim pelaburan yang dapat memberikan pulangan menguntungkan dalam jangka masa panjang.

3) Keperluan Buat satu senarai keperluan. Adakah anda memerlukan mesin basuh baru, adakah mana-mana bahagian dalam kediaman yang rosak dan perlu dibaiki atau adakah anak anda memerlukan uniform sekolah yang baru?

4) Kehendak Semak pula mana-mana perkara yang anda ingin lakukan namun belum berkesempatan. Contohnya, bercuti ke destinasi pelancongan popular atau memiliki komputer bimbit yang baru dan canggih. Jika tiada tanggungan lain, wang bonus yang diperoleh nanti bolehlah digunakan untuk mana-mana kehendak yang sekian lama dipendam ini.

5) Simpan Alangkah baiknya jika anda dapat mendisiplinkan diri dengan menyimpan jumlah ganjaran bonus yang diperoleh itu setiap tahun. Kepuasan menyimpannya akan anda peroleh selepas sesuatu tempoh dan ia sudah pasti berbaloi. Wang berkenaan dapat digunakan untuk banyak perkara yang anda boleh fikirkan nanti atau boleh juga digunakan di saat kecemasan. Apapun, pastikan anda memilih institusi kewangan yang memberi keuntungan kepada simpanan anda itu.

6) Anak-anak pada yang sudah berkeluarga, masa depan anak-anak seharusnya menjadi keutamaan anda sebagai ibu atau bapa. Kini, terdapat pelbagai skim pelaburan yang disediakan khusus untuk menjamin masa depan dan pelajaran anak-anak. Siapa tahu, wang yang dilaburkan sekarang ini dapat meringankan beban anda di masa akan datang.

7) Gembira Apa pun keputusan yang anda lakukan, pastikan anda gembira melaksanakannya kerana nyata, apa yang digunakan itu adalah hasil titik-peluh anda selama ini.

0 Comments:

Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]

<< Home