Apa itu COPD?
BAGI perokok, batuk adalah perkara biasa dan tidak perlu dibimbangkan. Malah, ada yang menganggap apa sangat masalah batuk berbanding nikmat apabila bahan kimia dalam asap rokok meresap masuk ke dalam otak dan paru-paru. Namun, hakikatnya batuk bukan perkara biasa, terutama bagi orang yang sudah lama (sehingga berbelas atau berpuluh tahun) merokok. Malah, anda perlu bimbang jika akhir-akhir ini anda mula berasa sukar bernafas dan cepat mengah apabila melakukan aktiviti ringan, termasuk berjalan. Jika tanda ini ada pada anda, terutama perokok tegar berumur 40 tahun ke atas, segera berjumpa doktor untuk menjalani pemeriksaan fungsi paru-paru kerana dikhuatiri anda menghidap penyakit sekatan pulmonari kronik atau COPD.
COPD yang juga dikenal sebagai batuk perokok ialah gangguan saluran pernafasan kronik dan 85 peratus kes COPD di seluruh dunia disebabkan asap rokok.
COPD melemahkan fungsi paru-paru dan menyekat laluan udara yang membawa oksigen untuk dimasukkan ke dalam darah. Gejala COPD paling utama ialah batuk, terutama pada waktu pagi, susah bernafas dan berkahak. Berdasarkan laporan tahunan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), dianggarkan 600 juta orang di seluruh dunia menderita akibat COPD dengan 2.9 juta kematian setiap tahun. Dalam laporan WHO pada 1990, COPD menduduki tangga ke-12 sebagai penyakit yang banyak mendatangkan beban dan dijangka melonjak ke kedudukan kelima menjelang 2020.
Di Malaysia, seramai 448,000 perokok dikenal pasti menghidap COPD teruk dan sederhana teruk. Secara purata, seramai 16,000 orang dimasukkan ke hospital di negara ini akibat COPD yang menyebabkan 1,000 kematian setiap tahun. Rasanya kepada perokok, angka ini bagai tiada makna. Malah, kalau disenaraikan semua jenis penyakit pun masih belum dapat menyentuh hati mereka untuk berhenti merokok.Merokok adalah ketagihan yang sukar dihentikan, kata Pengarah Institut Perubatan Respiratori (IPR), Datin Dr Aziah Ahmad Mayahiddin ketika pelancaran Hari COPD Sedunia Ke-6, baru-baru ini. Ramai perokok tidak memandang COPD sebagai penyakit berbahaya kerana ia terbentuk secara perlahan-lahan dan mengambil masa lama. Selain itu, COPD menunjukkan gejala tidak berbahaya seperti batuk, sukar bernafas, cepat letih dan peningkatan pengeluaran mukus, terutama kahak. Punca utama COPD (85 peratus kes) adalah rokok dan bakinya disumbangkan faktor genetik, pencemaran udara (terutama jika terlalu banyak sulfur dioksida dan asap hitam) serta asap bahan kimia seperti kadmium, arang dan habuk silika yang boleh merosakkan paru-paru.
Merokok boleh menyebabkan keradangan dan merosakkan saluran udara serta paru-paru. Asap rokok merangsang badan menghasilkan banyak mukus (cecair) pada saluran pernafasan yang lama kelamaan boleh mengakibatkan saluran udara ini tersekat.Dalam kebanyakan kes, pesakit COPD ada sejarah merokok hebat dengan anggaran 20 batang rokok sehari. Kata Dr Aziah, perokok bukan saja memberi risiko COPD kepada diri sendiri, tetapi secara tidak langsung ‘menghadiahkan’ risiko penyakit ini kepada isteri dan anak.WHO melaporkan, risiko merokok pasif (individu yang tidak merokok tetapi kerap menghidu asap rokok) mendapat COPD meningkat antara 10 hingga 43 peratus setahun. Lagi lama mereka tinggal bersama perokok tegar, lagi tinggi peluang mereka mendapat penyakit ini.“Memang diakui sukar mengajak perokok berhenti merokok. Jadi, langkah yang perlu diambil perokok ialah menjalani pemeriksaan fungsi paru-paru setiap tahun untuk mengesan sama ada mereka menghidap COPD atau sebaliknya.“Ujian ini dipanggil spirometri. Ia ujian paling mudah dan berguna. Yang perlu dilakukan perokok hanya menarik nafas dalam-dalam dan menghembus nafas.“Secara semula jadi, fungsi paru-paru berkurang dengan peningkatan umur. Ujian ini membolehkan doktor membezakan antara penyakit COPD dan asma kerana kedua-duanya mempunyai gejala hampir sama,” katanya. Antara ujian lain untuk mengesan COPD ialah sinar-X dada, analisis kahak dan pemeriksaan gas darah membabitkan pengambilan sampel darah daripada arteri untuk mengetahui kandungan oksigen dalam darah.Selain ujian klinikal, doktor membuat diagnosis berdasarkan gejala dialami pesakit dan sejarah merokok. Gejala yang dikaitkan dengan COPD ialah merokok, sukar bernafas, batuk teruk pada waktu pagi dan banyak kahak.JenisCOPD boleh dibahagikan kepada tiga iaitu:
COPD ringan — iaitu apabila fungsi paru-paru nampak tidak normal, tetapi pesakit tidak mengalami gejala. Perkembangan penyakit COPD boleh dihentikan jika berhenti merokok ketika ini. Pesakit mengalami batuk berkahak dan berasa semput sedikit apabila melakukan kerja.
COPD sederhana — Pesakit kerap batuk dan mengeluarkan kahak, berasa cepat semput apabila melakukan kerja berat serta mengambil masa lama untuk sembuh daripada demam, selesema atau jangkitan paru-paru.
COPD serius — Batuk teruk dan berkahak, sesak nafas pada siang dan malam. Pesakit juga mengambil masa beberapa minggu untuk sembuh daripada selesema atau jangkitan paru-paru, tidak dapat melakukan kerja di rumah, tidak dapat menaiki tangga atau berjalan dengan baik dan mudah penat.Kebanyakan pesakit hanya datang berjumpa doktor apabila penyakit memasuki peringkat serius, tetapi selalu memberi pelbagai alasan apabila disuruh berhenti merokok.RawatanDr Aziah berkata, rawatan paling asas dan penting ialah berhenti merokok. COPD boleh dirawat jika pesakit datang awal pada peringkat awal. Paru-paru pesakit COPD menjadi hitam akibat kesan tar dan nikotin daripada asap rokok. Paru-paru yang rosak tidak dapat dibaiki atau dipulihkan, tetapi rawatan mampu melambatkan proses kerosakan seterusnya. Rawatan untuk setiap pesakit adalah berbeza; bergantung kepada tahap penyakit. Antara rawatan untuk COPD ialah bronkodilator yang berfungsi membuka (mengembangkan) saluran pernafasan dalam paru-paru. Ia melegakan masalah sesak nafas.Ada beberapa jenis bronkodilator di pasaran. Setiap satu ada kegunaan dan fungsi tersendiri. Kebanyakan ubat bronkodilator perlu disedut untuk memberi kesan lebih cepat dan tepat. Dua jenis bronkodilator yang biasa digunakan ialah:
Antikoligernik — Ubat yang digunakan bertindak melalui sistem saraf yang mengawal saiz saluran pernafasan. Ia menjadi pilihan pertama dalam rawatan COPD.
Beta2-agonis — Ubat bertindak melalui sistem saraf yang mengawal tisu otot pada saluran pernafasan.Selain bronkodilator, doktor mungkin memberi anda ubat antikeradangan dan antibiotik untuk mengurangkan keradangan dan menghentikan jangkitan bakteria pada saluran pernafasan.Bagi kes teruk, pesakit perlu bergantung kepada tabung oksigen bagi membantu mereka bernafas. Keadaan sebegini dikategorikan sebagai pesakit COPD yang ‘cacat hidupnya’ kerana perlu membawa tabung oksigen ke mana saja mereka pergi.Kebanyakan pesakit COPD kronik juga menjadi kurus kering kerana menggunakan banyak tenaga hanya untuk bernafas. Malah, ada yang terpaksa dimasukkan ke hospital tiga atau empat kali sebulan kerana mengalami jangkitan kuman pada saluran pernafasan.Jika gejala COPD dibiar tanpa rawatan, keadaan penyakit akan bertambah buruk. Pesakit mungkin hilang keupayaan melakukan rutin harian mudah. Malah, ia juga menyukarkan pesakit bercakap. Pada peringkat akhir, pesakit boleh mengalami masalah jantung kerana untuk mengepam darah jantung memerlukan oksigen dan ketidakcukupan oksigen boleh menyebabkan kegagalan jantung.Jadi, bagi perokok tegar yang susah hendak berhenti walaupun pernah cuba berkali-kali, pergi jalani ujian spirometri tahun sekali.Jika mahu berhenti, dapatkan bantuan doktor supaya anda dirujukkan ke mana-mana klinik berhenti merokok yang sentiasa menerima kedatangan anda dengan hati terbuka. Untuk keterangan lanjut, anda boleh menghubungi IPR di talian 03-40232966.Soalan mengenai COPD
Adakah anda kerap batuk pada kebanyakan hari?
Adakah batuk anda berkahak pada kebanyakan hari?
Adakah anda lebih mudah sesak nafas berbanding rakan sebaya?
Adakah anda berumur lebih 40 tahun?
Adakah anda perokok atau bekas perokok?
Adakah anda mudah mendapat selesema yang berlarutan lebih lama berbanding orang lain?Jika menjawab Ya kepada tiga soalan, anda dinasihatkan berbincang dengan doktor untuk diberikan ujian spirometri.
0 Comments:
Post a Comment
Subscribe to Post Comments [Atom]
<< Home