Sunday, December 9, 2007

Transkrip Penuh Wawancara RTM Dengan Dr Mohamad Khir

Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamad Khir Toyo bercakap panjang lebar mengenai tuntutan kaum India dalam negara, dan kaitannya dengan peristiwa yang berlaku di Kampung Medan, Jalan Klang Lama pada tahun 2001 serta insiden di Kampung Rimba Jaya, Shah Alam baru-baru ini ketika beliau diwawancara dalam program "Bersama Menteri" menerusi RTM1 Sabtu malam. Wawancara itu dikendalikan oleh pengacara Sabaruddin Ahmad Sabri.
Berikut transkrip penuh wawancara itu:

S: Menteri Besar Selangor Datuk Seri Khir Toyo bersama kita hari ini untuk menjelaskan dua isu. Pada 2001 satu insiden besar iaitu peristiwa di Kg Medan yang berlaku pada masa baru dua bulan menjawat jawatan Menteri Besar. Apa perbezaannya insiden di Kg Medan dan insiden di Kg Rimba Jaya.

MB: Banyak perbezaannya antara dua insiden ini... Sebab insiden di Kg Medan disebabkan oleh perkara-perkara yang telah lama berlaku antara kaum India dan kaum Melayu di situ dan keadaan rumah setinggan yang tidak teratur menyebabkan kedua-dua kelompok itu tidak gembira dan mengambil tindakan dengan tangan sendiri. Disebabkan punca perbalahan ini di Kg Medan ini, kerajaan Selangor melaksanakan program yang mensasarkan Setinggan Sifar di Selangor pada 2005.Melalui program itu keadaan di Kg Medan sudah bertukar... sekarang nampak kawasan perumahan yang lebih teratur dan lebih memberi keuntungan kepada mereka bilamana nampak jelas kadar sosial kaum di situ lebih baik, dan yang lebih penting terdapat peningkatan mendadak kualiti dan pencapaian pendidikan anak-anak di Kg Medan.Ini yang amat memberi semangat kepada Kerajaan negeri Selangor untuk meneruskan usaha mencapai sasaran setinggan sifar di Selangor... kini 97 peratus perumahan baru setinggan telah diselesaikan, cuma hanya ada 1,000 lebih lagi keluarga yang belum selesai (perpindahan) sebab masalah perundangan yang terpaksa diselesaikan melalui mahkamah. Sebab itu kita meneruskan projek ini.Masalah di Kg Rimba Jaya pula, ramai yang salah faham mengenai tindakan merobohkan kuil di kawasan itu yang dikatakan dilakukan sebelum Deepavali. Sebenarnya kita telah menghentikan perobohan kuil itu sebelum Deepavali lagi dan hanya diteruskan selepas lima hingga enam hari perayaan itu, iaitu pada 15 November 2007.Isu kuil ini ramai tidak faham, saya ingin menjelaskan bahawa tanah ini merupakan tanah milik swasta, yang dimiliki rakan kita dari kaum Cina, Syarikat Ho Hah Development Sdn Bhd pada 1977.Pada 1988, Ho Hah mendapat keputusan mahkamah untuk mengeluarkan setinggan di kawasan ini, termasuk kuil dan bangunan yang lain tanpa sebarang pampasan.Pada 2003, syarikat ini disenarai hitam (kerana bankrap) dan kita cuba selesaikan masalah kerana sebahagian besar setinggan kerap bertanya kepada kerajaan apa akan jadi pada mereka. Masalahnya tanah ini bukan tanah kerajaan, sebaliknya tanah persendirian, maka adalah tidak munasabah jika kerajaan memberikan tanah tersebut kepada mereka dan syarikat itu pula telah dimasuk dalam senarai hitam. Maka kerajaan negeri berbincang dengan beberapa syarikat termasuk PKNS, maka syarikat yang berjaya ialah Kem Rimba Jaya yang menawarkan untuk membeli tanah RM2.5 juta.Tetapi kerajaan negeri juga mensyaratkan jika mahu membeli kawasan tersebut, perlu menyediakan kawasan rumah untuk setinggan yang tinggal di situ, tapak untuk rumah ibadah, dan dua lagi tadika, iaitu tadika KEMAS dan tadika untuk masyarakat India.Mereka juga diwajibkan untuk menyediakan sebuah dewan tempat perhimpunan orang ramai. Syarikat itu bersetuju untuk menyediakan semua keperluan kerana kerajaan negeri amat prihatin dengan mereka yang tinggal di setinggan sebab itu walaupun kerajaan Persekutuan menetapkan bayaran bagi rumah kos rendah RM45,000, kerajaan negeri menurunkannya lagi kepada RM35,000 dan duit perpindahan bayaran sewa untuk dua tahun dan sebagainya.Apabila syarikat setuju dan kita tawarkannya kepada setinggan, ada 1,220 keluarga setinggan yang tinggal di situ, dan ada sebuah surau dan sebuah kuil besar serta dua buah kuil kecil.Apabila telah setuju, kira-kira 800 daripada 1,000 lebih keluarga itu setuju untuk terima, dan mereka ini berpindah ke kawasan perumahan milik kerajaan, rumah pangsa Seksyen 26, Kampung Baru Hicom.Maka mereka tinggal dan sewa terpaksa dibayar oleh syarikat (Kem Rimba Jaya) dan oleh kerajaan negeri. Apabila hendak ambil tindakan pada 2003, kita tidak boleh ambil tindakan kerana mereka ambil tindakan mahkamah, jadi kita tunggu sampai 2005 pun tak boleh lagi. Jadi sewa ini terpaksa dibayar oleh kerajaan dan pihak syarikat.Kemudian pada tahun 2007, kita bawa kes ini kepada Mahkamah Rayuan, dan hakim secara consensus menolak keputusan hakim mahkamah sebelumnya. Dan kita mengambil tindakan sewajarnya dengan berbincang dengan pemilik kuil.Sebenarnya pemilik kuil asal telah setuju kerana kerajaan mengarahkan pihak syarikat untuk menyediakan tapak kuil yang lebih strategik dan juga pampasan akan diberikan sejumlah RM40,000 kepada kuil ini, dan kita ambil tindakan setelah persetujuan dicapai... tetapi kita mendapat tentangan kerana ada orang luar yang menganggu keputusan ini, dan kita menangguhkan perkara ini hingga selepas Deepavali baru kita ambil tindakan.Sebenarnya bukan orang tempatan tetapi orang luar, iaitu anggota-anggota Hindraf (Hindu Rights Action Force) yang telah menguasai kuil ini dan tidak membenarkan sami lama masuk kuil. Ini adalah tindakan yang saya anggap memesongkan fakta dan menyemaikan rasa ketidakpuasan hati di kalangan orang India. Hindraf menghasut orang ramai khasnya orang India untuk mengambil tindakan di luar undang-undang dan menyebabkan sehingga 10 orang anggota penguatkuasa kita dimasukkan ke hospital pada ketika itu.Saya melihat isu ini adalah satu isu tempatan yang telah kita selesaikan tanpa penglibatan Hindraf.Hindraf adalah pertubuhan pelampau Hindu yang telah lama bergerak dan ia bukan sahaja ada di Malaysia, malah di England dan beberapa negara lain... ramai yang tidak tahu. Mereka ini bergerak dan merupakan golongan pelampau yang patut diambil tindakan tegas oleh kerajaan sepertimana tindakan yang diambil ke atas pelampau-pelampau Islam atau yang lain. Mereka yang terlibat dengan pelampau-pelampau itu perlu sedar tindakan itu perlu diambil untuk menjaga keamanan negara.Isu kuil ini tidak timbul kerana ia telah diselesaikan dengan baik, kecuali bila ada pelampau-pelampau ini menghasut orang ramai, maka mereka ini yang mudah emosinya dinaikkan, maka mereka membuat dakwaan. Saya telah membuat penerangan dan mereka ini telah melihat kewajaran tindakan kerajaan.Rumah-rumah kos rendah ini (di Kampung Medan) hampir 90 peratusnya telah siap dan mungkin boleh mula diduduki tahun depan. Jadi ini menunjukkan bahawa kerajaan Selangor tidak pernah menyisihkan mana-mana kaum dan semua keluarga India yang tinggal di kampung ini ditawarkan rumah kos rendah seperti kaum-kaum lain.Jadi tuduhan Hindraf konon berlakunya `etnic cleansing' di Kg Medan, saya hendak jelaskan, saya terlibat secara langsung di sini dan saya berada di kawasan itu daripada pukul 8 malam hingga 6 pagi dan saya pernah duduk di dalam kuil di kawasan itu untuk memastikan orang-orang Islam tidak mengapa-apakan orang India sepanjang malam itu.Saya melihat pada ketika itu, mereka ini dihasut orang tertentu menyebabkan mereka mengambil tindakan di luar dugaan. Dakwaan terdapatnya 100 orang India dibunuh tidak betul, hanya ada beberapa yang cedera dan meninggal, dan orang-orang Melayu juga turut cedera.Malah pada masa saya bertemu dengan orang-orang Melayu yang terlibat dalam pertelagahan di sebelah malamnya, apabila mereka mengatakan akan mengambil tindakan terhadap orang India, saya melarang dan menjelaskan kita ada undang-undang dan perlu mengawal keadaan itu.Alhamdullillah kita dapat mengawalnya dengan baik dan punca perbalahan itu dapat diselesaikan dan kini kawasan perumahan di Kg Medan jauh lebih baik sebab kerajaan pro-aktif dan cuba menyelesaikan masalah yang timbul. Tiada satu keluarga pun dari kaum India dipindahkan dari Kg Medan dan kini akhirnya mereka hidup dengan lebih selesa berbanding sebelumnya.

S: Dalam isu ini maksudnya ramai yang terkeliru... Tetapi sejauh mana kebenaran dakwaan bahawa di Selangor jumlah kuil melebihi jumlah penduduk kaum India yang menyebabkan kaum-kaum lain merasa tidak senang hati?(Visual pecahan rumah ibadat mengikut agama di Selangor)1. Islam - 1,3662. Buddha - 1,0153. Hindu - 8104. Kristian - 27

MB: Melihat statistik jumlah rumah ibadat ini, inikah yang dikatakan kerajaan hari ini tidak memberikan kerjasama kepada agama lain untuk mengamalkan aktiviti keagamaan mereka? Jika kita lihat, daripada kira-kira 4.8 juta penduduk Selangor, 2.5 juta terdiri daripada orang Melayu, ada 358 masjid dan (kira-kira) 1,000 surau, Cina (1.3 juta) ada tokong 1,015, orang India 647,000 ada kuil 810, dan gereja hanya 27 buah bagi kira-kira 50 ribu penganut Kristian.Jika dilihat kadar pembahagian kuil yang melebihi kadar rumah agama lain, menunjukkan kerajaan negeri tidak pernah amal diskriminasi agama.Jika Hindraf kata ini masih tidak adil - ini pembohongan besar sebab jika kita tidak adil kenapa ada 810 kuil di Selangor sendiri. Kita beri peluang kepada mereka (untuk mendirikan rumah ibadah) asalkan mengikut undang-undang, tidak bolehlah bina atas tanah milik persendirian.Berdasarkan statistik ini boleh dilihat betapa kerajaan hari ini cukup toleran, orang Islam wajib bersikap adil bukan hanya kepada orang Islam tetapi juga pada yang bukan Islam, jika tidak, ini tidak amanah.Saya harap rakan-rakan kita kaum India jangan mudah terpengaruh dengan Hindraf, mereka ada agenda sendiri dan saya amat bimbang bila mereka ini dikaitkan dengan LTTE, ini satu perkara yang amat menggerunkan dan menunjukkan mereka ini sah kumpulan pelampau yang perlu diambil tindakan.Jangan kita terhasut dengan pujukan mereka ini, harus diingat kita sudah 50 tahun merdeka dan hidup dalam keadaan baik. Kerajaan Selangor tidak pernah mengabaikan tanggungjawab untuk memberi kemudahan kepada semua kaum termasuk kaum India.Umpamanya kita beri bantuan pendidikan kepada anak-anak orang India yang tercicir, beri duit poket, asrama percuma, ini terbukti beri kejayaan kepada mereka. Kita turut tubuhkan tabung untuk anak-anak pekerja estet di Selangor, ini pun untuk pastikan anak-anak mereka tingkatkan kualiti pengetahuan, di Selangor kita juga beri bantuan kepada rumah ibadah bukan Islam, ini kerana kita bersikap adil kepada semua agama.Hindraf sebenarnya memainkan perasaan oleh kerana ramai daripada kita tidak mengikuti perkembangan, maka mereka tertarik dengan Hindraf dan akhirnya terjebak dalam sebuah pertubuhan pelampau yang sedang dibenteras oleh kerajaan.

S: Demonstrasi baru-baru ini turut melibatkan pekerja-pekerja estet khususnya di Selangor yang tidak tahu apa sebenarnya yang berlaku. Apa langkah kerajaan untuk pastikan mereka ini tidak mudah dihasut?

MB: Sebenarnya mereka ini ditawarkan RM1 juta seorang sebab mereka ada tuntut RM3 bilion, bila dengar, mereka berceramah membenci kerajaan dan Umno. Kita telah mengambil langkah untuk terangkan kepada mereka dan harap mereka sedar. Teguran (juga) daripada Tuanku Sultan Selangor yang kecewa dan marah dengan Hindraf yang beri imej buruk kepada negara di dunia.Mereka cuba mendapatkan sokongan daripada luar negara dengan mengatakan kita melaksanakan pembersihan etnik, satu perkara yang saya lihat tidak masuk akal. Jika kita melakukan itu pastilah kita tidak beri bantuan.

S: Pecahan rumah ibadat yang dirobohkan - mengapa tindakan ini dilakukan.(visual pecahan rumah ibadat mengikut agama yang telah dirobohkan)1. Masjid/surau - 162. Kuil - 383. Tokong - 194. Gereja - Tiada

MB: 38 buah kuil yang dirobohkan itu adalah kerana ia dibina di tanah milik persendirian yang menjadi masalah kepada kaum yang lain. Kita meruntuhkan masjid dan surau kebanyakannya kerana untuk membina jalan.Apa yang kita robohkan ini kita berikan tempat yang baru dan ini tindakan yang cukup adil kepada orang ramai. Di Kg Rimba Jaya juga sama, kita alihkan ke tempat yang lebih baik lagi.

S: Itulah antara luahan penduduk Kampung Rimba Jaya... kalau kita lihat mereka sebenarnya tiada masalah, tapi isu ini digembar-gemburkan dan disebarkan secara meluas dan ini menyebabkan imej kita di mata luar nampak seperti kita tidak begitu begitu tolerate.

MB: Ini adalah satu pembohongan yang dibuat oleh mereka yang tidak percayakan negara, sebab itu orang luar perlu datang melawat Malaysia. Tahun ini Tahun Melawat Malaysia, kalau mereka rasa tidak pasti, kita jemput mereka datang. Lihat sendiri bagaimana kita hidup secara aman dan bahagia dengan pelbagai kaum di sini. Sebenarnya kita melihat isu ini dimainkan oleh pihak-pihak tertentu yang ingin mencari kesempatan untuk mereka mempopularkan diri mereka lebih-lebih lagi menjelang pilihan raya akan datang. Jadi inilah tujuannya. Dan mereka tidak lebih daripada itu. Kalau kita lihat 18 tuntutan Hindraf yang dipohon itu tidak masuk akal. Minta bantuan pendidikan RM20 bilion, compensation (pampasan) RM10 juta dan sebagainya. Sebenarnya perkara ini tidak timbul. Dia hanya cuba untuk menimbulkan kebencian di kalangan rakyat. Politik benci inilah sebenarnya yang membawa kemusnahan kepada negara. Dan ia dimainkan pada hari ini.Ini yang sedang dibuat. Ia bukan sahaja dimainkan di kalangan orang India bahkan orang Melayu pun ada. Saya nak jelaskan jika kita main politik kebencian, sebenarnya tidak ada satu faedah atau kebaikan. Tidak ada sesiapa yang untung. Jika mereka menang, benci tetap ada. Saya amat syukur dengan tindakan (Perdana Menteri) Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang begitu sabar mengambil tindakan supaya ia tidak menimbulkan suasana yang lebih mengeruhkan keadaan. Politik ini dimainkan oleh mereka yang bersikap cauvinis yang sepatutnya tidak boleh diamalkan dalam negara kita. Dan kita harus ingat bahawa suka ataupun tidak, negara ini adalah milik bersama. Milik orang India, Cina dan juga Melayu. Tidak ada sebab untuk kita bergaduh. Perpaduan dan rasa kesetiaan antara kita itu cukup penting. Kalau prejudis antara kita, maka sebenarnya kita menuju ke arah kehancuran. Menentang politik kebencian ini adalah satu kewajipan kepada rakyat Malaysia. Kita sebagai rakyat yang berpendidikan yang terdedah dengan pelbagai teknologi, kita mesti berfikir dahulu apakah yang akan jadi kepada diri, keluarga dan negara kita, jangan kita terikut-ikut dengan kegiatan pelampau yang menggunakan politik kebencian untuk meraih sokongan. Kita fikirkan kita akan sedar dan kita akan jadi orang yang bijak, kerana kita tahu apa yang kita mahu, apa yang kita ingin bina di negara kita pada masa akan datang.

S: Politik kebencian ini amat berbahaya. Jika kita lihat peristiwa 13 Mei yang telah berlaku itu adalah akibat kebencian, kebencian yang bermula akibat satu pihak cuba membuat sesuatu benda yang saya rasa akan menyakitkan hati pihak lain. Di sini ada banyak juga SMS menunjukkan semangat bersatunya kita. Kalau kita perhatikan Selangor ini, amat mudah untuk dikumpulkan orang kerana kebanyakan orang kita berada di sini.

MB: Penyebaran SMS yang tidak bertanggungjawab ini perlu kita `deny' (nafikan). Yang penting rakyat Selangor perlu bijak. Kita tidak setuju dengan politik kebencian, politik demonstrasi jalanan, tidak setuju dengan politik yang membawa perpecahan. Jadi kita jangan ikut dan kita bukan nak tunjuk siapa yang kuat, kalau nak tunjuk siapa kuat, pasti kita akan berlengan antara kita. Kita tak ke mana-mana. Kita harus bijak menanganinya untuk mencari satu situasai yang membawa kemenangan kepada semua. Dalam zaman hari ini yang berlengan ini bukan cara yang terbaik. Kepada orang Melayu pun, kita beritahu, bukan kita nak tunjuk siapa yang kuat, siapa yang lemah, tetapi kita nak tunjuk siapa yang lebih bijaksana dalam mengendalikan masalah. Ini kita harap SMS dan pelbagai yang diedarkan hari ini, janganlah kita jadikan ia sebagai satu asas untuk bertindak di luar undang-undang, dan kalau kita terima janganlah kita hantar tempat lain. Kadang-kadang kita dapat, kita pun panjangkan. Jadi kerajaan yakin dengan keupayaan polis untuk mengawal keadaan. Dan janganlah kita terlalu sangat cuba menunjukkan siapa kuat, kerana ini tidak membawa sebarang faedah.

S: Betulkah ada dakwaan bahawa kerajaan negeri Selangor merobohkan kuil-kuil India tiga hari sebelum Deepavali? Apakah pandangan Datuk Seri mengenai demonstrasi yang dibuat oleh Hindraf dan apakah pandangan (Datuk Seri) tentang kejadian ini daripada (perspektif) parti MIC dan NGO daripada kaum India yang tidak menyatakan pendirian mereka secara terang, tentang apa pendirian mereka terhadap demonstrasi yang dibuat oleh Hindraf.

MB: Kemungkinan NGO India dan MIC berasa bimbang kerana pelampau-pelampau ini amat agresif dan sanggup mengambil tindakan tertentu. Yang keduanya mungkin pilihan raya sudah hampir maka mereka perlu fikir strategi bagaimana untuk mengutarakan pengaruh mereka di kalangan orang India. Saya harap kepada mana-mana parti ataupun NGO, dalam kita berkongsi kuasa, kita tidak boleh cuba untuk menyembunyikan pendirian kita. Kita perlu menyatakan secara tegas dan jelas bahawa kita menentang politik Hindraf. Ini boleh dinyatakan oleh semua orang, dalam suratkhabar ataupun di mana-mana media. Kita tidak boleh lagi mengambil jalan tengah kerana dalam hidup ini tiada tengah-tengah. Sama ada putih atau hitam, syurga atau neraka, tiada tengah-tengah. Jadi kita harap mereka buat, dan saya lihat ada beberapa pemimpin MIC telah membuat kenyataan secara jelas, dan juga pemimpin DAP juga sudah jelas menentang politik pelampau ini. Cuma kita harap bahawa kita perlu menangani dengan cepat dan pastikan bahawa rakyat tidak terpengaruh dengan politik ini, dan kita akan menghadapi masa depan yang lebih baik.Kita sebenarnya tidak meruntuhkan (kuil) sebelum Deepavali, tetapi pada 15 Nov lepas, inipun selepas mendapat arahan daripada mahkamah, dan kita ambil tindakan. Ia tidak ada isu di kawasan itu. Petang tadi saya pergi pun saya lihat semuanya dalam keadaan yang baik dan mereka ternanti-nanti bila nak pindah ke rumah baru.Kita memang memberikan ruang yang luas kepada mereka. Seperti yang saya kata tadi sebelum apa-apa tindakan kita perlu ambil pendekatan perbincangan, keputusan telah dibuat, barulah kita ambil tindakan, itulah cara kita. Kita membenarkan mereka mengamalkan agama mereka tanpa sebarang halangan. Kita harus ingat bahawa kita perlu pandai jaga hati orang jika mahu orang menjaga hati kita. Itu konsep kita. Jadi kalau kita harap orang menjaga hati kita, dan kita tak pandai menjaga orang, itu bagi saya satu konsep yang kurang jelas. Jadi di negeri Selangor kita amalkan, dan kita ada jawatankuasa khas rumah ibadat bukan Islam ini, yang dipengerusikan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri dan Exco agama tertentu akan menjadi ahli, dan juga pertubuhan agama, kita masukkan dalam jawatankuasa khas ini, dan kita berbincang, dan akan buat keputusan yang terbaik dan laksanakan keputusan itu. Cuma yang menjadi masalah apabila golongan seperti Hindraf ini menghasut orang untuk mengambil tindakan di luar undang-undang dan mereka mengambil tindakan yang amat merugikan kita. Dan ini cukup penting. Setiap tindakan selepas dibincangkan oleh jawatankuasa, dan semua yang terlibat kita bincangkan, persetujuan diambil, dan kemudian kita bincang balik dengan mereka bagaimana hendak pindahkan, dan kita telah setuju, kemudian ambil tindakan yang kita bincangkan tadi.Kita beri mereka peruntukan khas bukan sahaja kepada kaum India, tetapi juga kaum lain. Ini kita buat bukan kerana Hindraf, tetapi dah buat tiga, empat tahun lepas. Impaknya semakin ketara. Harap semua kaum tampil ke hadapan untuk mereka memajukan diri mereka. Tidak ada orang boleh mengubah nasib seseorang. Tuhan juga tidak mengubah nasib kita kecuali kita berusaha untuk mengubahnya. Peluang diberikan, tetapi jika peluang itu kita tidak gunakan dengan sebaik-baiknya, maka peluang takkan jadi makna kepada kita.Yang penting hari ini kita kena kerja keras tanpa mengira bangsa. Walaupun orang Melayu umpamanya jika mereka malas dan tidak bekerja, mereka akan gagal. Yang penting adalah semangat untuk mengubah nasib. Peluang ada di mana-mana. Lebih-lebih lagi dalam kerajaan Barisan Nasional, terlalu banyak peluang diberikan, hendak berniaga, lanjutkan pelajaran, semua ada peluang. Kerajaan Negeri akan beri peluang, kementerian beri peluang. Yang penting bagaimana untuk kita menggunakan peluang itu untuk mengubah nasib kita. Jadi kita tak boleh menyalahkan orang lain bila kita gagal kerana sikap inilah yang menjadi punca mengapa politik kebencian tersebar begitu mudah di kalangan kita. Masalah kita kena selesaikan sendiri.Saya harap rakyat Selangor dan rakyat Malaysia, jangan tanya apa peluang yang ada. Kita cari peluang itu dan kita gunakan untuk mengubah nasib kita. Barulah kita berjaya. Jangan salahkan orang lain kerana kelemahan kita. Sebenarnya rakyat Malaysia diberi peluang yang sama untuk mencapai dan membina kejayaan, cuma tekad dan kesungguhan itu yang membezakan sama ada kita berjaya ataupun tidak. 50 tahun kita merdeka, kita akan hadapi lonjakan kedua sama ada ia akan memberikan keyakinan kepada kita ataupun memberi keraguan kepada kita. Ia bergantung bagaimana kita menggunakan peluang untuk meningkatkan kualiti diri kita, keluarga dan masyarakat. Harus diingat bahawa dengan kejayaan inilah kita akan menempuh kejayaan di dunia dan di akhirat.

S: Harapkan rakyat (dapat) mengambil kesempatan, dan banyak lagi ruang yang boleh digunakan. Perdana Menteri juga sedang membangunkan koridor-koridor, dan bagaimana, mereka di luar sana masih tidak mendapat kesempatan terhadap peluang ini?

MB: Saya hendak jelaskan bahawa setiap tahun kerajaan negeri mampu menarik pelabur dan pelaburan RM10 bilion, dan kita berjaya menyediakan peluang pekerjaan 25,000 ke 30,000 setiap tahun. Kita lihat pembangunan negeri Selangor berlaku dengan pantas kerana kita telah mencapai tahap terbaik. Rakyat atau pelabur asing cukup gemar melabur di Selangor dan kita harap rakyat Selangor janganlah terlalu memilih kerja. Kerja ini memberikan pendapatan dan pengalaman yang akan mencorak masa depan. Memberikan ketahanan dan keyakinan pada kita, untuk menempuh cabaran di masa akan datang.Janganlah kita mengambil jalan mudah. Sebenarnya hidup ini tidak susah, hanya kita menyusahkan hidup kita. Saya harap rakyat Selangor khususnya, janganlah kita terpengaruh dengan golongan pelampau yang menyebarkan politik kebencian di antara kita. Bila hati kita penuh dengan rasa benci, hati kita jadi hitam legam dan kita tidak tahu di mana untuk mencari penyelesaiannya. Eloklah kita mengamalkan hidup yang bertoleransi. Paling penting sekali kita kena tahu bagaimana untuk mencari dan menikmati kegembiraan. Banyak masalah sosial dan masalah keluarga berlaku kerana kita tidak gembira.

0 Comments:

Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]

<< Home