Monday, December 3, 2007

Guru-guru tidak perlu bimbang ke sekolah pedalaman

Guru-guru tidak perlu bimbang ke sekolah pedalaman. Saya ingin merujuk kepada kata dua Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Noh Omar baru-baru ini, kepada para guru yang diarahkan untuk bertugas di pedalaman, terutamanya di Sabah dan Sarawak. "Mahu pergi atau berhenti terus".

Agak keras juga bunyinya namun harus diterima dengan hati yang terbuka oleh semua pihak. Mungkin beliau amat kecewa dengan situasi yang berlaku dewasa ini. Jika tiada guru yang sanggup mengajar di pedalaman, siapa lagi yang diharapkan mengajar anak-anak bangsa kita ini? Mungkin di pedalaman, banyaknya intan dan permata yang belum digali dan digilap lagi.

Siapa tahu? Saya sebagai pelajar yang pernah menimba ilmu di sekolah pedalaman amat memahami keadaan ini. Dulu, kami kekurangan tenaga pendidik yang berkelayakan. Kami belajar dalam serba kekurangan. Tidak dapat dielakkan, untuk mengatasi keadaan ini, khidmat guru sandaran tidak terlatih (GSTT) terpaksa digunakan. Sehingga sampai di tingkatan lima, kami masih menggunakan khidmat GSST. Jika dibandingkan dengan rakan-rakan kami di bandar, keadaannya amat jauh berbeza. Mereka bertuah kerana mendapat tunjuk ajar daripada guru-guru terlatih, sedangkan kami pelajar di sekolah pedalaman terus terumbang-ambing dan dalam serba kekurangan daripada segi kelengkapan.

Namun, kami terus berjuang sehingga berjaya walaupun kekurangan guru. Sebagai pelajar yang pernah merasai suasana menimba ilmu di pedalaman, saya amat berharap para guru sanggup untuk menyahut cabaran mengajar di sekolah pedalaman. Tanpa guru-guru yang bertauliah, anak-anak bangsa akan terus ketinggalan daripada segi ilmu dan pengetahuan. Tiada apa yang perlu dirisaukan untuk mengajar di pedalaman. Keselamatan terjamin. Makan minum mencukupi. Jadi, janganlah hampakan harapan anak-anak bangsa pedalaman yang dahagakan ilmu. Mereka menanti dengan penuh harapan kedatangan anda semua untuk mendidik mereka, sebagaimana kami dahulu.

Apa pun, saya mengucapkan berbanyak terima kasih kepada guru-guru yang telah mendidik saya dahulu, walaupun betapa susahnya mereka datang ke tempat saya. Tanpa mereka tidak mungkin saya dapat belajar di UTM.

Ayuh! bakal guru dan guru semua, usah bimbang jika dihantar ke sekolah pedalaman. Anak-anak bangsa di sana menanti anda dengan seribu harapan. Berikanlah tunjuk ajar yang penuh tulus dan ikhlas kepada mereka, demi masa depan bangsa, agama dan negara. Sesungguhnya yang Maha Esa, faham dan mengerti akan penat lelah anda semua.

0 Comments:

Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]

<< Home